Saturday, May 16, 2009

FLASHBACK ~ GSI drama polis yang tidak membosankan


ARKIB UTUSAN MALAYSIA: 21/08/2006

GSI drama polis yang tidak membosankan

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MESKIPUN penonton tempatan sudah serasi dengan siri Gerak Khas yang disiarkan menerusi RTM 2 sejak beberapa tahun lalu, namun kehadiran sebuah lagi drama kepolisian di saluran tersebut tidak akan membosankan.

Ini kerana drama bersiri Gempur Sindiket Intelek (GSI) yang disiarkan pada 9 malam setiap Khamis bermula 17 Ogos lalu amat berbeza dengan cerita kepolisian yang sedia ada.

Drama terbitan Gemilang Network Sdn. Bhd dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu lebih banyak menonjolkan tugasan pihak polis dalam bidang penyamaran dan kehidupan keluarga polis.

Selain itu drama 13 episod arahan Azman Yahya atau Jinggo itu juga berkait antara satu sama lain dan segala persoalan akan terbongkar pada episod akhir. Sementara drama polis yang sedia ada ceritanya tamat pada setiap episod.

Menurut Jinggo, antara perbezaan yang ditonjolkan menerusi drama yang skripnya dihasilkan oleh Shahriza Mahmud itu ialah tugasan polis yang lebih ditumpukan pada usaha membanteras golongan intelek yang sering mengambil kesempatan terhadap golongan muda bagi meraih keuntungan.

“Jenayah yang dilakukan oleh golongan intelek ini lebih dahsyat. Justeru itulah dipaparkan tugas polis menyamar kerana penjenayah peringkat ini sering merancang sebelum mengambil tindakan,” katanya di majlis pelancaran drama tersebut yang dilaksanakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Rancangan) RTM, Adilah Shek Omar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jinggo juga menjelaskan sebelum penggambaran dilakukan, beberapa siri perbincangan dengan pihak berkuasa diadakan bagi memastikan setiap adegan tidak bertentangan dengan etika polis.

“Inilah drama yang pertama kali saya arah tidak dipotong oleh pihak RTM. Saya berterima kasih banyak pada pihak PDRM kerana banyak membantu dan memberi tunjuk ajar sepanjang 45 hari kami menjalani penggambaran,” katanya tentang drama yang menelan belanja sebanyak RM385,000.

Penggambaran yang dilakukan di seluruh bandar raya Kuala Lumpur itu pada Januari lalu menampilkan barisan pelakon seperti Sheila Rusly, Fauzi Nawawi, Jalaluddin Hassan, Zack Taipan, Baharin Abu Hassan, Zul Yahya, Jesse Lim, Roy Azman, Dayang Nabillah, Shahriza Mahmud dan Hairie Othman.


Sementara itu Ketua Unit Media PDRM, Kadet Asisten Supritendan (ASP) Arshad Mat yang turut hadir berkata, apa jua drama kepolisian yang diterbitkan tetap menonjolkan elemen sama.

Antara yang sering dikekalkan adalah untuk menunjukkan kepada orang ramai tentang tugasan sebenar pihak berkuasa.

Ini kerana katanya sejak dari kecil, kanak-kanak sering ditakutkan dengan ungkapan kalau enggan melakukan sesuatu yang disuruh pasti ditangkap polis.

“Kita sering dilontarkan dengan kenyataan kalau salah ditangkap polis. Sebenarnya polis bukan sembarangan menangkap orang. Drama ini bakal mempaparkan tentang tugasan polis dan pengorbanan yang perlu dilakukan oleh mereka dan ahli keluarga, sebab kerjaya ini penuh cabaran,” katanya yang sering memberi pandangan sejak awal hingga akhir drama menjalani penggambaran.

Bagi Sheila Rusly yang memegang watak Inspektor Tina berkata, setiap aksi lasak yang digayakan dalam drama tersebut adalah lakonannya

“Menerusi GSI baru saya berkesempatan melakukan adegan stunt. Dalam drama lain kalau saya nak buat, pengarah akan halang. Memandangkan drama ini arahan suami saya, jadi saya berpeluang melakukannya. Bila berjaya buat sendiri, hati rasa puas,” katanya yang mampu melakonkan pelbagai watak.

Sinopsis

GSI mengisahkan satu unit cawangan khas yang diketuai oleh DSP Mohammad (Hairie Othman), ASP Chan, Inspektor Tina, Detektif Ismail, Detektif Zainon ( Shahriza Mahmud ) dan Detektif Baharin. Ia ditubuhkan untuk melakukan tugasan risikan bagi menghapuskan Geng Lanun Bukit (GLB) yang diketuai oleh Tossai (Jalaluddin Hassan).

GLB menjalankan sindiket pengedaran dadah dan pelacuran yang beroperasi secara terancang dan mempunyai rangkaian di luar negara. Pelbagai rintangan dan dugaan terpaksa dihadapi oleh unit GSI, terutama Inspektor Tina yang perlu berhadapan dengan konflik keluarga.

No comments: