Showing posts with label Sahabat. Show all posts
Showing posts with label Sahabat. Show all posts

Wednesday, August 17, 2011

Tidak Upaya Tetapi Ceria

Ini lah gambar-gambar sekitar ziarah Riza bersama rakan-rakan dari Pesona Seni Kuala Lumpur ke rumah perlindungan kanak-kanak kurang upaya AZWAR. Berat mata memandang, berat lagi gelodak rasa ibu-ibu yang menjaga mereka sejak dilahirkan. Tatapi dan hayatilah... Dengarkan bicara Riza tentang mereka dan bagaimana untuk kerumah mereka di Radio Bicara Lusuh pada jam 11 malam ini, 2 pagi dan 10 pagi esok (18 Ogos).
























Tuesday, August 16, 2011

Pusat Perlindungan & Jagaan Anak Kurang Upaya AZWAR

Riza akan upload gambar-gambar sewaktu menziarah bersama Persatuan Pesona Seni Kuala Lumpur ke Pusat Perlindungan Dan Jagaan PSIAKU AZWAR pada Sabtu 13 Ogos.

Sementara Riza edit gambar-gambarnya, silalah dengar sedikit bicara tentang lawatan ke rumah tersebut dari Radio Bicara Lusuh SM di blog Diari Lusuh Shahriza Mahmud pada hari ini, jam 12pm dan ulangannya pada jam 2pm, 5pm, 8pm dan 11pm.

Terima kasih atas keprihatinan anda...

Selamat berpuasa!

Tuesday, August 02, 2011

Hitam atau Putih ~ Salina Mohd Sobri ~

Hari ini, Riza ketengahkan seorang anak seni yang punya bakat tetapi tidak disebarkan apa yang terpendam. Salina ni boleh juga menulis dan mencipta lagu. Dia sedang mencuba untuk menulis skrip teater yang tak siap-siap lagi. Hehehe... enjoy! :)

Hitam atau Putih?
bukan menjadi persoalannya...
Yang dicorak dalam kehidupan kita,
hitam dikatakan kotor penuh celanya,
putih melambangkan suci dan bersihnya,
namun itu bukan ikhlas sebenarnya,

Hitam atau Putih?
Biar di sini jemari seni mencoretkan,
sebuah kisah hidup penuh cabaran,
hidup penuh dengan seribu perdebatan,
dengan jiwa penuh kegusaran,
namun langkah perlu diteruskan,

Hitam atau Putih?
Perlu diteliti penuh keterperincian,
luar saja nampak suci dan bersih,
pekat kejinya tidak kelihatan,
hidup hipokrit atau sukar memilih,
boneka hanya drama kepura-puraan,

Hitam atau Putih?
Untuk mengharungi ranjau kehidupan,
bukan ketentuan Ilahi sebenarnya,
jika hidup penuh dengan keimanan,
kita berhak mewarna dan mencoraknya,
supaya realiti kehidupan penuh tujuan.

~ SALINA MOHD SOBRI ~

Monday, July 25, 2011

Al-fatihah


Sekitar jam 8 pagi, Riza menerima panggilan telefon dari Rohaiza Iza, ibu Farra Noradzlina Idola Kecil, dari Sungai Petani. Berita tidak enak Riza terima, katanya ayah kepada Mira telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang akibat serangan stroke yang tiba-tiba menyerang. Dia jatuh di rumah dan terus koma ketika dibawa ke hospital. Keadaannya tidak menunjukkan sebarang tanda untuk pulih. Dia kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sungai Petani dan masih di dalam wad ICU. Mira dan Fara sering bersama ketika membuat persembahan pentas. Riza temui mereka sewaktu Konsert Gegar RTM di Sungai Petani beberapa tahun yang lalu. Waktu itu Mira baru berusia antara 6 ke 7 tahun.

Mira dan Fara telah memenangi pertandingan Karaoke anjuran Riza. Sejak itu kami sering berhubung dan rapat. Mereka selalu turun ke Kuala Lumpur menyertai pelbagai aktiviti yang Riza anjurkan bersama SENIMAN. Ayah Mira cukup komited dalam memberi ilmu yang ada di dalam dirinya kerana beliau juga merupakan seorang pemuzik dan penyanyi. Walaupun dia tidak terkenal tetapi dia tetap seorang anak seni yang berhati kental. Kedua-dua anaknya mewarisi bakat beliau.

Sejam kemudian, Riza terima panggilan kedua. Ibu Fara memaklumkan bahawa ayah Mira , Azhar bin Nordin yang baru berusia 42 tahun sudah menghembuskan nafas terakhir. Innalillah.... :( Semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan mereka yang terpilih. Aminnnn... Takziah buat isteri dan anak-anak Allahyarham....

Al-Fatihah...

Sunday, July 24, 2011

Kamu Sumber Inspirasiku


Salam pagi Ahad wahai rakan2ku
kamu yang kurindui setiap waktu
langkahku lemah bila rindu kamu
kamulah pembakar jiwa semangatku

jangan kamu lari dariku, kerna
ia hanya akan membunuh rasaku
tatkala melihat kamu berlalu pergi
membawa sepenuh cintaku yang merdu
hanya ngilu sum-sumku saja yang tahu
ada nada luka berlagu kehilangan kamu

Shahriza Mahmud
10.45am, KLBA
Ahad 24 Julai 2011

Saturday, July 23, 2011

Tips Lakonan


Riza akan menyiarkan pelbagai tips lakonan melalui Radio Bicara Lusuh SM mulai esok Ahad 24 Julai 2011, jam 1pm dan ulangannya pada pada jam 10pm InsyaAllah. Jika anda mempunyai soalan yang berkaitan, boleh ajukan di dalam kotak Bicara Lusuh SM (chat box) di blog Diari Lusuh Shahriza Mahmud atau anda boleh rekodkan suara anda jika mahu Riza keudarakannya. InsyaAllah apa yang terdaya akan Riza cuba bantu.

Tidaklah tinggi sekolahnya, tidak juga banyak ilmunya, namun apa yang ada, yang sesuai boleh saja dikongsi bersama, InsyaAllah.

Friday, July 22, 2011

Pendekatan Bijak

Pendekatan bijak amat ditakuti oleh pihak musuh. Mereka yang naif umpama kain putih yang sudah dicemari dengan pelbagai agenda. Di'brainwash' dengan pelbagai propaganda negatif yang tidak boleh mereka analisa dengan akal yang terbuka. Minda mereka telah ditutup rapat. Umpama remaja yang dimasukkan ke sekolah budak-budak nakal, kita tidak boleh menentang mereka dengan cara kenakalan yang sama. Di sini pentingnya kecekapan dan kebijaksaan anak-anak pelapis pewaris bangsa..

Lihat mereka yang termakan hasutan dengan mudah, bayangkan mereka sebagai ahli keluarga kita, atok kita, nenek kita, ibu kita, ayah, adik, abang yang telah di'psiko' mindanya oleh anasir luar. Tidak adakah rasa kasihan di hati kita? Pasti kita mahu membawa mereka kembali kerumah kita. Mereka barangkali nampak tegar dari luar namun umpama kerak nasi, akan lembut jua dengan air yang mendinginkan. Ada kalanya kita mesti lantang dan berkeras tetapi ada waktunya kita harus bertindak seperti menarik rambut di dalam tepung.

InsyaAllah keikhlasan tanpa disogok dengan busuk hati yang membara, hati mereka pasti menjadi milik kita! Allah lebih mengetahui segalanya, kita yang harus menilainya. Terkadang mereka yang terbaik dan terpelajar juga tidak boleh lari dari terpesona. Kita punyai hak yang sama tetapi janganlah kita salah mempergunakannya.

Thursday, May 26, 2011

Bila Minda Semakin Pulih... :)


Gambar oleh: Adda Rosli, yang melakonkan watak Tun Fatimah.

Alhamdulillah, rasa yang mencucuk bisa di tulang pinggul kiri Riza terasa berkurangan sedikit. Walaupun belum pulih sepenuhnya, sekurangnya hari ini Riza sudah boleh duduk lama di atas kerusi sambil menaip. Jika semalam dan hari-hari sebelumnya, hanya Tuhan yang tahu keperitannya, duduk tak kena, baring tak boleh. Jika berdiri baru terasa lega...hemm...lama mana pula nak berdiri? Mahu tak mahu, Riza paksakan juga untuk tidur lebih awal semalam selepas menyapu bahagian tulang yang sakit dengan minyak Habbatussauda yang emak belikan di Mekah tempohari. Kenapalah sebelum ni tak terfikir pun? Saja nak dijadikan penyebab agaknya.. ;) So, Riza minum sedikit pati minyaknya, selain mengurut perlahan di kawasan yang sakit dan Riza minum air zam-zam. Lepas tu lelap!

Walaupun tidur tidaklah nenyak, kerana asyik terjaga bila terasa ngilu setiap kali bergerak namun hari ini terasa bagai diberikan nafas semula! Riza rasa lebih selesa dan boleh berjalan lebih laju, boleh menaip lebih laju dan lebih penting dapat berfikir lebih cergas dan produktif apabila tubuh badan terasa pulih. Kalau tak dipaksa makan lebih semalam, mungkin hari ini masih lemah. Alhamdulillah!

Just about time. Esok Riza akan ke Putrajaya bagi meneruskan apa yang sepatutnya dilakukan. Katanya ada majlis penutup di Lorong Seni di sebelah petangnya pada jam 3pm dan pada hari Ahad 29 Mei, seperti yang Riza katakan sebelum ini, Riza akan berada di sana dari pagi untuk latihan bersama para pelajar Sekolah Menengah Seri Indah, Serdang ( Seri Indah Theatre - SIT ) yang akan mempersembahkan Teater Pendek dalam bahasa Inggeris pada pukul 2.30pm. Riza perlu ada seawal pagi kerana ada beberapa pertukaran yang perlu diteliti dan ini merupakan kali pertama mereka mengadakan persembahan kepada umum.

Para pelajar dari tingkatan 1 dan 2 ini tidak mempunyai asas di dalam bidang seni pentas. Ianya bermula kurang lebih dua bulan lalu apabila adik Riza yang merupakan seorang guru Bahasa Inggeris iaitu Marhafiza Mahmud meminta bantuan untuk Riza mendidik anak-anak muridnya di dalam bidang teater Inggeris sebagai medium pembelajaran Bahasa Inggeris, agar mereka akan lebih berminat dan tidak bosan. Mereka akan berasa seronok kerana setiap patah dialog yang diucapkan harus dihayati rasa dan sebutannya. Secara langsung mereka harus membuat kajian mengenai setiap watak dan makna perkataan. Sudah pasti ianya banyak membantu apabila watak yang dilakonkan juga cukup menarik. Apatah lagi skripnya yang ditulis sendiri oleh adik Riza, Fiza adalah tentang serikandi yang tersohor iaitu TUN FATIMAH.

Riza harap, rakan-rakan sudi lah hadir untuk memberikan sokongan kepada mereka kerana ianya sangat bermakna bagi penuntut yang berada di dalam lingkungan bukan dari kalangan kawasan elit yang seharian bertutur di dalam Bahasa Inggeris.

Nilai lah mereka sejujurnya demi melihat pelapis belia yang bakal bangkit dengan ilmu yang ditimba.

Jumpa Ahad ini 29 Mei, JAM 2.30 PETANG di:

Dewan Podium A,
Lorong Seni, Menara KBS,
Presint 4, Putrajaya.

************************

Friday, November 13, 2009

Tabung Amirul Fakir

Riza minta maaf kerana tidak dapat bersama menghadiri majlis amal yang cukup mulia ini. Salam kepada semua rakyat seni di IPOH. Riza mendoakan semoga sahabatku Amirul Fakir akan disembuhkan segera oleh yang Maha Esa.. Amin..

**Riza telah berlakon siri drama MENARA KACA terbitan EduwebTV bersama Amirul yang memegang watak sebagai suami Riza ( Mahyun yang sakit jiwanya ). Di kala itu, dia sudah tidak sihat.

Kepada anda yang berada di Ipoh, jengahlah acara-acara yang akan berlangsung esok!

Saturday, June 13, 2009

Pelancaran Akademi Polis


Pelancaran Akademi Polis musim yang ke-4 yang berlangsung di perkarangan Sri Pentas TV3 baru-baru ini telah berjalan dengan sempurna. Ianya telah dilancarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada 2hb. Jun 2009.

Pengarahnya Yusof Kelana cukup berpuashati dengan para pelakon yang terlibat kerana memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang pengambaran berlangsung. Antaranya Serina Ridzuawan dan Lando Zawawi.


Drama kepolisian ini telah mula ditayangkan pada hari Rabu yang lalu, jam 9 malam. Siri mingguan ini akan menjalani pengambaran musim ke-5 pada bulan Julai yang akan datang dengan membariskan pelakon-pelakon yang baru dan lama dengan penambahan beberapa jabatan khas di dalam siri ini.

Pada musim yang lalu, selain dari pelatih yang baru memasuki akademi, pelatih-pelatih yang telah berjaya melepasi ujian telah diserapkan ke jabatan 'Task Force' dengan tugasan yang cukup mencabar!

FAKTA: Rating Akademi Polis telah meningkat mendadak sehingga 1.8 juta penonton dan telah meletakkannya di tangga yang teratas bagi drama yang ditayangkan di Channel 9!

Tonton AKADEMI POLIS setiap RABU, 9 malam di CHANNEL 9!

P.S:
Lebih banyak gambar klik DI SINI.

Friday, June 12, 2009

Takziah. Hanya Doa Mengharapkan Ketenanganmu BersamaNYA..

Sewaktu latihan Teater Ya YB arahan Abdullah Zainol.

Dua hari telah berlalu sejak pemergiannya pada tanggal 10 Jun 2009 sekitar jam 1 petang. Bukan Riza tidak sempat untuk mencoretkan sesuatu tentang pemergian Allahyarham Shukri Hashim tetapi hati ini dan pemikiran ini serta jemari ini tidak tergamak untuk menyebut nama dan mengenangnya dek kerana kepiluan yang cukup ketara. Ini mungkin kerana Riza agak tersentak dengan berita pemergiannya.. :(

Riza pernah beberapa kali berlakon bersama Allahyarham dan telah lama mengenalinya. Sebagai pelakon dan sahabat di dalam bidang lakonan, Riza tidak pernah menyangka bahawa Allahyarham mempunyai hubungan keleluargaan dengan Riza sehinggalah sewaktu kami mempersembahkan teater YB di pentas MATIC. Riza telah menjemput Pak Lang dan Mak Lang Riza untuk menonton. Apabila selesai persembahan, Riza keluar ke depan dan melihat Allahyarham rancak berbual dan bergelak ketawa dengan Pak Lang Riza. Rupanya mereka saling mengenali, malah Pak Lang menyatakan bahawa kami punya hubungan keluarga.

Seingat Riza, sepanjang mengenalinya, tidak pernah ada cerita negatif atau apa saja ketidakpuasan hati dari sesiapa pun terhadap Allahyarham. Dia tidak pernah bercerita perkara yang buruk atau yang tidak baik tentang seseorang kepada Riza. Allahyarham cukup bersemangat apabila bercerita tentang dunia seni dan bagaimana untuk menangani segala permasalahan yang melanda anak seni jika berhadapan dengan sesuatu situasi yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal.

Hanya Allah yang mengetahui rahsia sebenar kenapa Allahyarham dijemput mendahului kita. Riza redha. Takziah kepada isteri dan keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan disayangiNYA... Amin...

Al-Fatihah..

*

Wednesday, April 01, 2009

Dubbers United, Holiday @ Redang Island!

Ketibaan dan permulaan perjalanan dari Kuala Terengganu..

Masing-masing penat. Menunggu feri 9.30 am dari 4.30 am.. **Dari kiri, Amai, Bujal & Abang Salleh.

Lega dah dapat naik feri..Tak sabar nak tengok Pulau Redang! **Yang sengih ni AB, yang tunggu masa nak lelap tu Bujal! ;)

Semua tidur dalam perjalanan selama lebih kurang hampir 2 jam. Riza? Ada saja yang dibuatnya.. **Yang peluk beg Sadik, sebelahnya Yatie, yang jenguk kamera Kak Su, sebelahnya sape lagi kalau bukan abangnya, Abang Salleh!

Sunday, March 22, 2009

Tiada Upaya..


Riza & Boboi

Salam terindah hanya buatmu sahabat!

InsyaAllah Riza akan menjadi sahabatmu yang terbaik jika diizinkan upaya minda ini untuk mengingati setiap dari kamu tapi mungkin sukar bagiku. Setiap hari Riza berharap dan berdoa agar diberikan keupayaan itu untuk tidak melupakan kalian. Dek kerana itulah, Riza rajin membalas setiap teguran kerana tahu kamu juga cuba untuk mengingatiku tapi tolonglah..jangan bersedih dan jangan terlalu berharap Riza akan singgah pada setiap rumah pada setiap hari kerana ianya tidak mungkin berlaku kerana beribu sahabatku yang berada di dalam kampung facebook-ku mahupun di mana jua..

Maafkan ya..Namun jika kamu menegurku, InsyaAllah akanku cuba sedaya mampu untuk singgah juga ke lamanmu..InsyaAllah..

Tidak dinafikan, Riza juga punya perasaan merajuk terkadang terlihat ada di antara rakan yang rancak berbual dan menegur rakan yang lain tetapi tidak menjengah Riza, jarang singgah ataupun ada yang tidak langsung pernah bertandang! :(

Riza tidak pasti samada yang tidak pernah bertegur sapa itu adalah rakan atau cuma teman sekampung yang tinggal jauh di pendalaman..

Malam ini Riza akan bertolak ke Pulau Redang bersama sahabat-sahabat 'dubbers' MY MELODY. Kami akan berada di sana selama 3 hari 2 malam. Jika dicampur perjalanan, 5 hari semuanya..

Semoga sahabatku di sini mengharungi hari-hari esok dengan tabah dan ceria ya! I will be back! Jika berpeluang, akan Riza laporkan apa yang sempat. Maaflah jika membebel di hari Ahad yang indah ini.

Hemm.. Angin sepoi menyapa pipiku. Langsir kuning cair di muka pintu balkoniku berbuai gemalai sekali.. fuh!

Alhamdulillah..
Terima kasih Tuhan..
Segala puji hanya bagiMU..
ALLAH tuhanku yang SATU..
Yang memberikan nikmat terbaik buatku..

Subhanallah ( Maha Suci Allah ) X 33..
Alhamdulillah ( Segala Puji Yang Terbaik Hanya Bagi Allah ) X 33..
Allahuakbar ( Allah Maha Besar! ) X 33..

Mendoakan yang terbaik buat kita semua!

AMIN...

Wednesday, March 18, 2009

Hasutan Ular - Part 2


Salam!

Hampir sebulan Riza berjanji untuk meneruskan penceritaan HASUTAN ULAR bahagian pertama yang tertangguh! Maaf dipinta kerana ia memang disengajakan kerana menunggu mood yang baik untuk melemparkan kata-kata dengan lancar apabila ianya mahu Riza ceritakan.

Bagi yang belum membaca bahagian pertama, klik saja link HASUTAN ULAR bahagian-1 ini.

Baik, sekarang Riza teruskan...

Sebelum pengambaran Ikan Kering Nasi Hangit bermula, kami harus turun padang untuk mencari lokasi dan membuat segala persediaan yang perlu. Riza kehulu-kehilir bersama pengarah dan beberapa tenaga produksi yang perlu. Penolong Pengurus Produksi ( PPM ) kepada Riza cuma sesekali mengikuti. Riza pun tak kisah sebab Riza boleh buat semuanya dengan mudah walaupun pada hakikatnya dia harus turut serta. Namun demi memandangkan bayarannya tidak seberapa dan dia mempunyai isteri yang sedang sarat mengandung, Riza ikhlas tak kisah.

Di hari pengambaran pertama, 'call time' bagi semua krew dan artis adalah pada pukul 7 pagi. Apabila Riza sampai di lokasi, pengarah sudah terpacak menunggu. Kemudian barulah yang lain-lainnya muncul seorang demi seorang. Riza menjadi serba salah bilamana penolong Riza ( PPM ) tidak sampai-sampai. Dia tidak menghubungi dan tidak juga dapat dihubungi.

Memandangkan semua kerja beres, masing-masing tidak perasan dan tidak begitu kisah dengan ketiadaan dia. Kurang lebih jam 11 pagi, PPM ini datang dengan muka selamba. Dia memberikan alasan terpaksa menghantar isterinya ke hospital. Riza terima.

Setiap hari berlalu dan alasan yang sama seringkali digunakan termasuk beberapa alasan lagi yang menyesak jiwa. Riza senang saja, kalau orang dah begitu, Riza teruskan semua kerja, tak payah minta pembantu menolong.

Akhirnya Riza tinggalkan dia di lokasi untuk menguruskan keperluan produksi di set, sementara Riza berlari ke sana sini dengan van yang disediakan untuk membeli barang keperluan, untuk menghantar tape, untuk mencari lokasi yang ditukar dan bermacam-macam lagi. Riza tak suka kalau mengarahkan orang yang akan menarik muka masam kerut seribu! Namun, itu bakal merupakan pertama dan terakhir lah! Riza cuma perlu bersabar sehingga pengambaran tamat.

Setiap pagi subuh Riza terpaksa memandu seorang diri dari Kuala Lumpur untuk mengambil artis yang tinggal jauh di pendalaman di Kelang dan di beberapa tempat di KL. Kadang-kadang bersama 'runner'. PPM sudah tak boleh diharap, jadi tak guna memaksa dia. Nak ditegur dia jauh lebih berumur dari RIza. Sepatutnya sekali cakap cukuplah.

Bayangkan betapa peritnya untuk menunggu pengambaran yang memakan masa lebih kurang dua bulan itu tamat dengan terpaksa melayan kerenahnya. Riza masih bersabar kerana Riza yang memperkenalkan dia dengan penerbit dan beria-ia mengatakan dia memang boleh diharap!

Hari kian berlalu, Riza tak ambil pusing gosip-gosip di lokasi. Riza tak mahu bersangka buruk pada sesiapa tapi seperti ada satu pandangan berbeza setiap kali Riza hadir ke lokasi. Riza tiada masa untuk berceloteh kerana masa suntuk untuk menyiapkan semua kerja sendirian. PPM goyang kaki di lokasi. Pengarah pun tak bersoal banyak kerana semua kerja selesai. Dia tak pernah bertanya lebih dan hampir tidak bertanya langsung!

Hari-hari terakhir pengambaran, Riza mendapat tajaan sebuah resort hotel di Port Dickson. Terima kasih yang tidak terhingga Riza ucapkan kepada sahabat yang memberi kepercayaan kepada Riza. Sahabat ini juga ada di dalam facebook Riza sekarang. Jika dia dapat membacanya mungkin dia akan faham duduk perkara yang sebenar di sebalik tragedi yang bakal Riza ceritakan seketika nanti.

Kami diberikan beberapa buah bilik untuk artis dan krew. Penggunaan kawasan pengambaran juga percuma di resort hotel bertaraf lima bintang itu. Riza berpesan kepada PPM agar sama-sama membantu menjaga nama baik produksi sepanjang pengambaran. Harus diingat di sini, walaupun Riza malas ambil pusing dengan kerenah PPM tapi Riza tetap memberikan arahan kepadanya untuk melakukan kerja-kerja yang perlu.

Riza mahu dia tahu bahawa Riza tetap percayakan dia dan masih boleh menerimanya TETAPI Riza tetap 'backup' dengan tindakan seterusnya jika dia gagal melakukannya.

Memandangkan minggu terakhir pengambaran, banyak kerja penutupan akaun dan pembayaran kepada pihak-pihak tertentu yang wajib Riza langsaikan. Sudah tentu Riza akan menjadi terlalu sibuk. Mahu atau tidak, Riza terpaksa meminta PPM untuk membantu di set ketika Riza menyusun kerja-kerja di dalam bilik.

Tidak sampai sejam di lokasi, tiba-tiba PPM pulang ke bilik dan tidak keluar-keluar. Riza bertanya kenapa tinggalkan set? Jawapannya mudah,"Mengantuk!". Besok pula jawapannya,"Pening!" dan seterusnya dengan seribu satu alasan!

Hanya tuhan yang tahu gelodak kemarahan hati Riza. Namun Riza bersabar lagi. Cuma tinggal beberapa hari saja lagi untuk menamatkan pengambaran. Beberapa kali Riza berulang alik ke biliknya untuk mengejutkan dia. Akhirnya Riza berjaya juga memaksanya bangun kerana Riza harus pulang ke Kuala Lumpur untuk menghantar resit-resit dan baucer pembayaran. Ini prosedur, jika tidak kami tidak akan diberikan tunai untuk melangsaikan pembayaran terakhir yang berkaitan produksi.

Riza pesan kepadanya yang Riza terpaksa pulang untuk mengambil wang dan menghantar tape yang telah siap. Riza minta dia mengawasi apa yang diperlukan di lokasi. Riza minta dia keluar membelikan makanan tengahari untuk semua. Waktu itu, dek karana terpaksa menjaga banyak perkara, Riza tidak sempat untuk pulang mengambil duit dan akibatnya Riza terpaksa menggunakan wang saku sendiri. Riza cuma ada sedikit wang terakhir di ketika ini. Riza berikan kepada PPM.

Riza pesan, kalau tak cukup untuk membeli nasi, pinjamkan dulu duit dia untuk ditambah sedikit tapi Riza minta dia cuba bajet agar tidak lebih dari peruntukan yang Riza beri. Riza tanya dulu,"Abang ada duit lebih tak?". Dia jawab ada dalam RM50. Dia bersetuju untuk meminjamkan jika perlu. Riza cakap bila Riza balik dari KL nanti, Riza akan pulangkan. Itulah merupakan kali pertama sepanjang pengambaran, Riza minta dia bersedia untuk meminjamkan wangnya jika perlu.

PPM masih berlagak macho dan mengangguk konon faham.

Disebabkan kenderaan semuanya digunakan di waktu itu, Riza terpaksa memandu van krew yang panjang dan bertutup rapat tanpa hawa dingin! Hanya tuhan yang tahu selepas pengambaran ini bagaimana rupa Riza. Berjemur, berpanas, berhujan, berembun dan sebagainya! Tidur tak payah cakaplah.. Nak dapat dua jam sehari pun payah! ;)

Sepanjang perjalanan, hati Riza sentiasa gelisah. Tak tahu kenapa. Riza berselawat berkali-kali untuk menghilangkan keresahan itu. Sewaktu di pejabat, Riza terima panggilan dari lokasi. Jurusolek kata,"Baik you balik cepat, kalau tidak masalah kita nanti.".

Tanpa banyak soal, setelah semua tugasan selesai, Riza terus memandu pulang ke PD. Hanya tuhan yang tahun betapa kencang debaran jantung ini di sepanjang perjalanan pulang. Apakah yang telah berlaku dan telah dilakukannya? Riza memandu dengan cukup laju. Cukup laju untuk memenangi perlumbaan lumba kereta di Batu Tiga!

Setibanya ke bilik, Riza nampak PPM berjalan ke bilik dengan muka bengis dan dahinya berdarah. Hati Riza yang resah gelisah bertambah kencang. Serentak dengan itu, Riza menerima panggilan dari pengarah agar segera ke set pengambaran yang ketika itu di restoran resort.

Setibanya Riza di restoran hati Riza menjerit,"Ya Allah! Apa ni?"..

Riza lihat pinggan mangkuk hotel yang asalnya tersusun rapi untuk buffet makanan tengahari berselerak di lantai.

Pengarah lepas tangan. Dia cuma kata,"You settlekan semuanya.". Kemudian dia berlalu!

Penolong Pengarah dengan hilang hormatnya telah menengking Riza,"You pergi mana? Kenapa you tinggalkan lokasi? Makan tengahari mana?"

Bertubi-tubi soalan yang menggegarkan dihantukkan ke otakku yang hampir meletup ini! Padahal, Riza dah pesan pada semua yang Riza terpaksa balik ke pejabat dan telah meletakkan tanggungjawab kepada PPM. Semua orang tahu.

Nak tahu apa yang telah membuatkan Penolong Pengarah naik angin dan bagaimana turutan tragedi itu sebenarnya? Riza akan menulis lagi di Bahagian ke-3!

Fuhh!! Tension mengenangkan kembali kepedihan ini.. Biarkan Riza pulihkan semangat dulu, nanti akanku sambung semula ya!

Salam!

GAMBAR:
Eizlan Yusof ( sebagai suami Maria Farida ) dan Kartina Aziz ( sebagai emak Eizlan ) dan Riza sendiri sebagai 'pelakon teater' yang diupah oleh ibu Eizlan untuk berlakon sebagai orang gaji yang berasal dari Indonesia untuk menyatukan mereka. - Genre komedi.

IMEJ 2
IMEJ 3

Tuesday, March 10, 2009

Semangat Sungai dan Bukit


Salam syukur!

Perkampungan Janda Baik, Pahang, bukannya jauh sangat dari Kuala Lumpur. Kalau nak ke sana, tiap-tiap hari pun boleh. Kalau kita fikir jauh, jauhlah jadinya. Bagi Riza, perjalanan keluar dari rumah ke persimpangan tol Gombak-Genting Highlands tak perlulah dikira. Ini kerana jalan-jalan di Kuala Lumpur ni, ikut manapun lebih kurang sama saja jaraknya. Pengembaraan sebenar bermula selepas tol Gombak! Untuk sampai ke Genting Sempah cuma mengambil masa sekitar 20 minit sahaja dan perjalanan ke Kampung Janda Baik lebih kurang 20 minit lagi! Kalau terperangkap di dalam kesesakan di KL, berjam-jam pun ada! Apalah sangat 40 minit? ;)

SANTAI LEPAK bersama rakan-rakan lama dan baru di Hawa Resort And Training Center, Janda Baik cukup meninggalkan kenangan yang tidak mungkin kami lupakan. Kami menggunakan jangkawaktu yang sesingkat 3 hari 2 malam untuk segala macam aktiviti yang kalau diikutkan rasa, memang memenatkan badan tapi kepuasan dan tenaga yang dikeluarkan sebenarnya memulihkan kembali kelesuan tubuh selama bertungkus lumus bekerja!

Izinkan Riza menyebut semua nama yang turut serta supaya tidak lupa di kemudian hari. Al-maklumlah..nak mengingati semua nama mungkin tidak akan semudah sekarang, pada 10 tahun akan datang di mana bukan saja diarinya sudah lusuh, malah mungkin ingatannya juga lusuh nanti.. ;)

Riza ke sana bersama rakan lama yang mana jatuh bangun kami tetap bersama sewaktu Riza di dalam kumpulan teater Artis Penjuru Alam ( A.P.A ), Wilayah Persekutuan. Bahar Mat Akhir dan Norwaty Mat, suami isteri yang kini telah menubuhkan kumpulan baru yang dikenali sebagai kumpulan PESONA Seni KL. Dua orang anak mereka, Daniel, 17 tahun, penggesek biola bersama orkestra remaja dan Mikhael yang baru berusia 13 tahun tetapi telah mahir bermain violin!

Azaiddy yang lucu telah lama mengembara mencari ilmu di United Kingdom kini kembali semula bersama teater dan minatnya cukup mendalam. Walaupun beliau merupakan seorang arkitek tapi boleh tahan juga 'gila'nya tu! hehe! Kalau nak cerita sejarah persahabatan kami memang berjela-jela! Lupakan dulu..Biar Riza kenalkan beberapa orang insan lagi yang turut serta. Saddiq, Anis, Idham, Mahathir, Sofiah, Afiq, Rafi, Hamdan dan isteri serta tiga orang anak-anak mereka yang comel!

15 orang semuanya termasuk Riza! 18 kalau dikira bersama 3 orang anak-anak kecil itu. ;)

7 Mac:

Riza, Saddiq dan Afiq sampai agak awal sekitar jam 10.30 pagi. Kami singgah di Pondok Pak Habib dulu. Jumpa Uncle ( yang citer misteri antu-antu kat NTV7 tu! ) hihi.. Uncle tengah sakit gigi, sama la pulak dengan Riza. Sepanjang perjalanan tahan je lah 'lalok' ubat penahan sakit. Borak-borak kejap, pastu jumpa Kak Fairus, anak angkat Pak Habib. Riza ajak dia makan tengahari di tempat kami sebab yang lain akan sampai lewat, sedangkan makanan telah ditempah untuk 15 orang! Riza pula bukannya boleh makan banyak sangat pun. Kalau gusi tak bengkak, boleh lah redah juga. ;)

Lewat petang menghampiri maghrib baru teman-teman yang lain sampai. Rezeki mereka memang langkah kiri. Makanan yang kami simpan telah diangkat untuk diganti dengan makanan malam! Rugi wo! Sedap sangat! Masakan ala kampung dengan sambal udang pedai, siput sedut masak lemak cili api, sayur campur dan daging masak kicap beserta ulam-ulaman. Sambal belacan tok sah citer lah! Kalau tengok menu mungkin nampak biasa je tapi enak rasanya...fulamak! Terangkat! Riza pun rasa rugi gak sebab tak boleh makan lebih.

Sebelah malamnya hujan turun mencurah-curah TETAPI kami tetap menjalankan aktiviti santai dengan acara yang menghiburkan hati masing-masing. Ada yang bermain ping pong, ada yang berlatih lakonan teater, menonton tv dan ada yang membaca buku bersama.

Mikhael Bahar sedang membaca buku Awang Vampiro karya Nizam Zakaria. Di luar hujan lebat dan angin kuat, jadi kami membaca di dalam bilik saja.

Riza memilih untuk membaca buku bersama Mikhael dan Saddiq. Kami membaca buku dengan gaya masing-masing. Buku yang kami pilih ialah Awang Vampiro dan karya Shakespeare. Dalam sakit-sakit gigi tu, sempat lagi menyakat Mikhael yang comel tu! Bila ada bahagian yang suspen di dalam novel, Riza dan Saddiq akan menggunakan suara kasar dan menyeramkan. Melompat lah Mikhael! hehe!

Bila masing-masing selesai dengan 'santai utama' pilihan masing-masing, kami bermain 'board game' dan berbual sampai awal pagi.

8 Mac:

Pagi yang menyehatkan! Jam 7 pagi kami semua berkumpul di depan bilik untuk acara SENAM SENI yang diketuai oleh Idham! Best! Bersenam menggunakan lagu-lagu dan langkah-langkah tarian tradisional Melayu Malaysia! Waktu ni, Riza masih tidak dapat mengikut sepenuhnya kerana masih di bawah pengaruh sakit gigi.. ;) TETAPI tetap nak ikut juga!

Selesai Senam Seni kami bersarapan nasi lemak kampung yang wallaaa!! Sedap! Sambalnya..fuh! Payah nak citer!

Lepas makan je, Riza berazam untuk sejukkan badan yang panas ini dengan berendam di dalam sungai. Memang tak pernah dibuat! Dari pagi sampai ke petang, baju yang melekat di tubuh hampir tak pernah kering! Sebabnya asyik berendam je! Naik ke atas untuk makan dan mengerjakan apa yang patut sahaja. Lepas tu tukar baju, terjun lagi!

Bila badan dah rasa lega sikit, di sebelah petangnya atas permintaan Riza, kami adakan satu sessi lagi SENAM SENI. Kali ini Riza buat sungguh-sungguh. Berpeluh-peluh badan. Seronoknya. Puas! Lupa sakit.

Antara aktiviti lain yang kami lakukan termasuklah menyusun batu di dalam sungai yang dibuat sebagai benteng. Best sangat! Ramai-ramai mengangkat batu kecil dan besar dan akhirnya pada hari ke-2 kami dapat membuat empangan air untuk berendam dan berenang!

Dipendekkan kisah yang panjang lebar ini, kami semua berpuashati dengan segalanya baik makan minum mahupun perkongsian persahabatan yang membawa kepada muafakat untuk bergembira melupakan duka di sana! ;)

Ikut hati nak menaip lagi ni..tapi tangan dah lenguh, kesan angkat batu dan terlebih berendam dalam sungai! ;) Nantilah..kalau teringat dan larat, akan Riza sambung lagi!

Oh ya! Hari ke-3 di sana, Riza pulih sepenuhnya! Kalau ada sisa-sisa ngilu di gigi mungkin cuma tinggal 5 peratus sahaja! Itulah dia, semangat sungai dan bukit ni, lain sikit perginya. Kalau nak rasa, jangan lupa mendekati dan memahami mereka. Kunjungilah mereka selalu agar semangat yang hilang bisa dipulihkan tanpa kita sedari! ;)

Wassalam!

Wednesday, March 04, 2009

Ada Antara Kamu



Salam Rabu yang terbaik antara yang termanis di celahan hari yang paling terindah buat kamu dan diriku.. ;)

Terkadang, ada di antara hari-hari yang kita lalui seperti tidak menyebelahi apa sahaja yang kita lakukan. Semuanya serba tak kena, semua serba berkecamuk! Alangkan bagusnya kalau boleh menjadi seperti Mr.Bean yang lurus dan riang menghadapi apa saja yang tidak sempurna dan mengarut pada pandangan orang lain.

Sebagai insan biasa, aku juga tidak pernah lepas dari hari yang serba tak kena yang tak tahu di mana punca dan penyebab yang menyebabkan sesuatu. Apalagi jika tiba-tiba orang lain yang melakukan sesuatu yang langsung tidak dapat diterima akal yang waras yang telah membuatkan aku juga terjebak! Aku pula yang berjangkit! Aku pula yang menjadi serba tak kena tanpa punca. Apabila ianya bermain dengan perasaan, maka ianya akan lekat di otak yang pendendam ini dan dilipat kemas untuk kubuka bila tiba waktunya.

Itu aku tidak mahu.

Itu kata di bibirku. Kata hatiku tetap keras dengan dendam yang tetap dibawa setiap hari. Ianya kerana aku dilayan dengan tidak adil. Aku berhak untuk berkasih dan dikasih. Aku harus ditatang sebagai seorang wanita yang berhati lembut dan dimanjakan. Biarpun pada mata kasar, fizikal dan pergerakan setiap mana-mana wanita berbeza, namun ianya tidak menunjukkan hati mereka yang sebenarnya. Aku tidak faham dengan lelaki yang mahu dilayan seperti seorang raja tetapi tindakannya tidak seperti seorang raja yang berdaulat!

Aku tidak boleh menerima seorang lelaki yang kuat merajuk mengalahkan wanita sedangkan lelaki yang harus menjalankan peranan dengan berdiplomasi dalam membentuk sebuah perhubungan. Aku tidak faham dengan lelaki yang tiada perancangan dan tiada persempadanan. Aku tidak faham banyak perkara. Aku tidak faham!

Wanita tetap wanita. Apabila bermain dengan rasa, jangan dimainkan hati wanita dengan alasan wanita kini tidak perlu lagi dibelai hanya kerana mereka sudah pandai hidup berdikari, pandai mencari makan sendiri, pandai membawa diri, pandai itu dan pandai ini. Pendek kata, itu semua alasan untuk lelaki melarikan diri dari tanggungjawab sebenar sebagai seorang lelaki yang telah diamanahkan untuk menjaga wanita..

Lelaki bandar banyak menggunakan alasan tersebut untuk kononnya, saling memahami. Kononnya isteri tidak kisah dia tidak dapat mencari nafkah sebab isteri faham kedudukan suami yang tiada punca pendapatan.

Tertakluk kepada situasi.

Kebanyakan lelaki mula merasa selesa dan semakin hari semakin enak dibuai mimpi bertilamkan wang ringgit dan kudrat isteri..

Itu hanya sebutir dari punca hilangnya kasih sayang yang menyebabkan terlerai ikatan.. Tak kira ikatan perkahwinan, pertunangan, kekasih 'sementara' mahupun hanya kekasih sementara yang tiada penghujung! ( dalam ertikata lain yang selalu digunakan teman tapi mesra yang tidak kugemari sebenarnya! )

**

image from:
www.littlebrown.co.uk