Showing posts with label News about me. Show all posts
Showing posts with label News about me. Show all posts

Wednesday, June 13, 2012

Akhirnya Tiada Perkara... ;)


Pengambaran RUBIAH , disolek sebagai MAK ALANG...
PHOTO BY: Rizal Halim

Kalau baca tagline blog *DIARI LUSUH Shahriza Mahmud* Riza, yang berbunyi"..Bila Terlalu Banyak Perkara, Akhirnya Tiada Perkara.."...maka ianya sangat bertepatan sekali dengan tenggelam timbulnya Riza dilaman blogger ini.. ;)

Disebabkan terlalu banyak perkara, terlalu banyak kerja barangkali atau sengaja mencari kerja-kerja untuk dilakukan demi memenuhkan semua masa yang terluang, maka sudah lebih empat bulan Riza tinggalkan DIARI LUSUH yang usang ini. Bukan tidak ada perkembangan diri dan bukan tiadak ada perkara yang hendak diperkatakan tetapi terlalu banyak perkara, sehingga tidak tahu mana satu yang hendak diceritakan... Akhirnya cukup sekadar update di Facebook dan Tweeter saja.. Bukan tak teringin nak update blog tapi bila kepenatan melanda dan ada waktu-waktu kebosanan jua menerjah, maka jari jemari ini juga mengikut jejak tuannya.. ;)

Ok, sewaktu mengambil keputusan untuk menaip kembali disini, macam-macam terbang melayang dalam kotak fikir ini. Nak tulis itu, nak tulis ini.. opss.. nak taip macam-macam bukan nak tulis.. hehe... Riza cuba listkan apa yang Riza terlepas untuk update disini: 

1. Pengambaran DIARI SIPENAMBANG, drama bersiri 13 episod di Sarawak pada Januari 2012. 
2. Pengambaran drama muzikal 13 episod RUBIAH.
3. Pengambaran 13 episod MASAK LOMAK CILI API 3. 
4. ...dan pelbagai rencah yang diselit2 untuk mencukupkan perisa jiwa... ;) 

 Riza akan cuba untuk menulis / menaip beberapa perkara pada hari ini juga.. opss... insyaAllah.. sebab baru teringat perlu menyiapkan beberapa sinopsis.. Hah! Satu lagi telemovie SUCI SEORANG NUR telah ditayangkan pada penghujung Mei lalu diTV1.. Script by me.. Ok lah.. Kejap lagi Riza akan sambung lagi... sebab alarm dah bunyi untuk menaip sinopsis baru! 

Jumpa later2 ye! Salam! ;)



Wednesday, August 24, 2011

Menanti Yang Tidak Pasti

Gambar ini Riza capture dari video promosi Filem HIDDEN The Movie yang telah menjalani pengambaran pada 4 tahun yang lalu di bawah arahan Sameet Baadkar, seorang pengarah dari India.

Di dalam facebook Riza pun, ada Riza upload gambar-gambar Riza yang disolek sebagai lembaga yang sedang menanti ini, yang menyebabkan ada di antara rakan-rakan yang menyuruh Riza gantikan gambar profile dengan gambar yang lain kerana tak sanggup melihatnya. ;)

Kenapa Riza kata Menanti Yang Tidak Pasti? ;)

Di dalam filem ini Riza menjadi lembaga wanita yang sedang menanti kehadiran anaknya (special appearance). Iye ke? :) Realitinya, Riza dan rakan-rakan yang terlibat di dalam pengambaran ini juga sedang menanti waktu tayangannya.

Apa yang membuatkan Riza menulis sedikit coretan ini adalah kerana, tadi tiba-tiba ada satu sms masuk ketelefon bimbit abi Riza menyatakan bahawa filem ini akan ditayangkan pada 13 Oktober tahun ini... Wallahualam... Riza belum mendapat jawapan pasti lagi.

Untuk filem HIDDEN ini Riza juga menyediakan bakat-bakat dari Malaysia, samada sebagai bakat tambahan mahupun yang special appearance cast. Apa yang pasti ramai yang terlibat di dalam filem ini telah 'membesar' :) ...samada di dalam kerjaya mereka ataupun usia mereka. Watak anak Erra Fazira sewaktu berusia lingkungan beberapa bulan kini sudah boleh bercakap dan berlari! Hehe!

Sama-sama kita menanti dengan sabar.... :)

LAKONAN:
CHRISTOPHER ATKINS, ERRA FAZIRA, ELLAN DALE dll...

ARAHAN & SKRIP:
SAMEET BAADKAR

Tuesday, July 26, 2011

Aksi Anak-anak Murid Yang KuSayang... (TUN FATIMAH)

Tun Fatimah merayu agar bapanya tidak dibunuh. Harapan terakhir untuk menyelamatkan ahli keluarganya setelah adik, bapa mertua dan suami dibunuh tanpa bicara.... Adda Rosdi membawakan wataknya dengan baik sekali dan bertambah baik setiap kali persembahan! Bapa Tun Fatimah, Tun Mutahir dilakonkan oleh Megat Aidil Putra. Tun Sura (tukang bunuh) oleh Prasanth. Sahabat Tun Fatimah , di kiri Ziera dan kanan Syafiqa. Semuanya bagus-bagus belaka. Berbaloi setiap hari kena marah! Hehe!

Tak perlu diperkatakan lagi. Gambar ini menceritakan segala-galanya... Yang pergi dirayu, namun segalanya tiada guna lagi. Dengan ini, Tun Fatimah bangkit membela bangsa dan keluarga! Adda, keep it up! Pesananku cuma satu, jangan lupa diri dan jangan cepat selesa dengan pujian.. :)

Walau hanya sebagai sahabat, jika tidak dihayati watak dengan sepenuh jiwa, ianya tidak akan dapat membantu 'Tun Fatimah'. Well done!

Babak ini, pasti ada penonton yang menangis. Ada ibubapa yang menangis setiap kali dipentaskan! Wow..... Alhamdulillah...

Belajar langkah silat demi kerana Tun Fatimah. Adda Rosdi seorang yang lasak tapi dek kerana Tun Fatimah, Adda harus menjadi gadis Melayu yang sopan, lembut dan tangkas dalam waktu yang sama!

Proses Nak 'Menyelimkan' Badan.. Huuhuu! Haha! :P

Tak nak! Tak nak! Lepas berdua, sejak dua menjak ni makin tak terkawal makan dan minum. Asal terhidang tak pernah tolak! :) Akibatnya, satu dua kilo dah tentu hasil yang terpaksa ditanggung.. Riza tak kisah tapi bila ada shooting last minute dan bila ada yang nak bergambar, hadoi...waktu lah rasa nak potong satu dua kilo tu kat situ jugak!

Pejam celik-pejam celik at last dapat benda ni! Eloklah tu, laki bini nak kena turunkan berat badan...so, setiap hari dok tidur kat dalam kotak ni siang malam! hehe... Instruction kata seminggu 3 kali, kami bantai 3 kali sehari! hahaha! :)

Harap-harap berkesanlah... hehe...

Apapun, Riza dapat yang termurah di pasaran! Alhamdulillah...

Kalau nak tahu lebih lanjut, dengar Radio Bicara Lusuh SM! ;)

Alhamdulillah...


Alhamdulillah, rasanya situasi sedang beralih kearah yang lebih baik. Walaupun sedikit demi sedikit, ianya membuatkan hati ini rasa lapang dan mudah memberi tumpuan kepada apa saja yang dilakukan. Perancangan dan harapan masa mendatang diharap dapat membawa satu lagi kejayaan kepada Riza. Kecil atau besar, Riza tak kisah...asalkan dapat menyuap sesudu nasi bagi mengalas perut dan menghirup seteguk kepuasan sebagai bekal untuk esok hari.

Riza tak minta banyak. Riza tak mimpi untuk jadi jutawan, hartawan mahupun hidup mewah. Namun jika rezeki itu menjenguk dan mengetuk pintu impianku, Alhamdulillah. Terus terang, Riza sekarang lebih leka untuk berkarya, walaupun tanpa sebarang imbuhan dari sesiapa, kerana tidak ramai yang mendengar dan memahaminya. Semoga apa yang Riza usahakan walau dalam keadaan susunan yang tidak sempurna, akan membuahkan hasil yang lumayan satu hari nanti, InsyaAllah...Amin....amin...YaRobbal A'lamin...

Saturday, July 23, 2011

Tips Lakonan


Riza akan menyiarkan pelbagai tips lakonan melalui Radio Bicara Lusuh SM mulai esok Ahad 24 Julai 2011, jam 1pm dan ulangannya pada pada jam 10pm InsyaAllah. Jika anda mempunyai soalan yang berkaitan, boleh ajukan di dalam kotak Bicara Lusuh SM (chat box) di blog Diari Lusuh Shahriza Mahmud atau anda boleh rekodkan suara anda jika mahu Riza keudarakannya. InsyaAllah apa yang terdaya akan Riza cuba bantu.

Tidaklah tinggi sekolahnya, tidak juga banyak ilmunya, namun apa yang ada, yang sesuai boleh saja dikongsi bersama, InsyaAllah.

Monday, July 18, 2011

Kem Motivasi Bina Semangat Melalui Teater & Filem


Hari ini Isnin 18 Julai 2011 hingga Rabu, Riza akan mengendalikan bengkel adaptasi teater dalam kehidupan seharian selama tiga hari bersama Saddiq Raffali dan team kami. Seramai 200 orang peserta di bawah pengurusan sebuah badan koporat yang terkenal di seluruh dunia akan turut serta. Peserta terdiri dari lepasan Universiti hinggalah kepada pegawai-pegawai besar di syarikat korporat. Bengkel sebegini telah menjadi rutin kami pada setiap tahun di mana ianya diadakan sekurang-kurang 3 kali setahun melibatkan peserta yang ramai. Ada satu ketika pada tiga tahun lepas Riza mengendalikan 500 orang peserta bersama beberapa orang lagi tenaga pengajar.

Kami menyediakan pelbagai konsep dan pakej sebagai pilihan kepada client utama. Mereka faham dan cukup berpuashati dengan apa yang telah kami berikan sehingga membolehkan graduan dan pekerja mahir lebih memahami dan mendekati kepentingan 'team building motivation' melalui konsep yang lebih dekat dengan mereka melalui pengendalian Theatre Production Company, Film Production, Golfing, Conquer The Ship dan pelbagai lagi konsep yang memberi impact yang dahsyat sehingga syarikat-syarikat tersebut sanggup melaburkan sejumlah kos yang besar bagi memastikan mereka mendapat tenaga kerja yang cekap dan bersemangat tinggi.

Kami lari dari konsep dan pengamalan biasa pengendalian team building walaupun ianya masih releven seperti motivasi di dalam hutan, pantai dan sebagainya. Jika permintaan ada, kami tetap mengendalikannya. Pun begitu, konsep baru yang kami ketengahkan ini masih menggunakan lokasi-lokasi menarik di luar Kuala Lumpur bagi memberikan kesegaran berkarya kepada peserta.

Syarikat yang benar-benar berjaya di seluruh dunia tidak akan teragak-agak untuk melabur hanya beberapa Ringgit Malaysia kerana sedar tentang keperluan memperbaharui semangat amat diperlukan bagi meningkatkan produktiviti syarikat. Trust me, Riza dah lihat bagaimana pegawai atasan dan pekerja biasa mereka boleh 'kamcing' bagaikan adik beradik setelah tamat bengkel /seminar 3 hari bersama team Riza! Mereka lebih bersemangat dan 'big boss' mengakui bahawa kami telah berjaya meningkatkan prestasi kerja mereka di dalam syarikat.

Ianya serius tetapi cukup 'fun'. Menghiburkan dengan penerapan perkara-perkara baru yang tidak pernah mereka fikirkan sebelum ini. Ia bukan sekadar bengkel biasa-biasa kerana kami juga memberi kuliah ekonomi dan hubungkait antara konsep yang kami ketengahkan. Mereka harus membuat kiraan anggaran perbelanjaan dan target untung dan rugi hasil daripada projek yang mereka pilih.

Perantaraan bahasa, Inggeris dan Malaysia.

Apa yang pasti, di lokasi yang hendak Riza tuju ini, broadband Riza tidak dapat digunakan... huuhuu... :( so, Riza akan update perkembangan melalui Blackberry ke facebook, InsyaAllah.

Selamat mendengar Radio Bicara Lusuh SM! :)

Saturday, July 16, 2011

Radio 'Bicara Lusuh SM'



Dua hari lepas, Riza telah mendaftar untuk Internet Radio Broadcasting. Selepas digodek-godek, kini Riza dah ada Radio BICARA LUSUH SM yang Riza setup khusus untuk anda, teman-temanku.

Riza akan gunakan live streaming radio BICARA LUSUH SM di blog Diari Lusuh Shahriza Mahmud sebagai penghubung secara lebih akrab dengan anda. Jika ada yang mahukan pandangan dan ada sebarang pertanyaan, InsyaAllah akan Riza jawab. Buat waktu ini, Riza akan bersiaran tanpa waktu yang tetap tapi Riza akan update jika Riza bersiaran.

Artis baru dan lama yang nak promote lagu-lagu atau deklamasi sajak anda sila hantar ke inbox Riza di SINI. Kalau nak add Riza, add di SINI. Bukan setakad lagu dan muzik malah jika anda ada sesuatu yg nak diperkatakan, sila rekod dalam bentuk mp3 dan hantar ke inbox fb Riza. InsyaAllah kalau lulus ujian, Riza akan siarkan! :)

Untuk mendapat semua ini, Riza telah keluarkan sedikit modal, tenaga dan masa demi kerana minat. Jika ada yang sudi untuk melihat kesinambungan BICARA LUSUH SM tidak terhenti separuh jalan, anda boleh menjadi penaja. Sikit atau banyak, sekurang-kurangnya dapat kita sama-sama membantu. Terima kasih!

Sila lah berkunjung untuk mendengar lagu2 pilihan Riza di SINI!

P.s: Jika internet connection anda slow, harap bersabar tapi rata-rata rakan, tak ada masalah untuk mendengar siaran dengan jelas.

Friday, July 15, 2011

Monday, September 14, 2009

Shahriza Mahmud sedih menjelang raya



Ditulis oleh Rosli Manah
Isnin, 14 September 2009 17:05

Ada sebab mengapa pelakon Shahriza Mahmud berasa sedih menjelang Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut seminggu lagi. Nampaknya kali ini Shahriza tidak boleh menyambutnya dengan penuh semangat dan bergembira.

Pelakon itu masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pergelangan kaki akibat terkena duri landak laut ketika menyelam di Pulau Perhentian, Terengganu, Julai lalu.

Sakitnya semakin beransur sembuh namun kadarnya terlalu perlahan. Malah dia belum tahu apakah dia boleh berjalan seperti biasa pada hari raya nanti.

"Daripada langsung tidak boleh berjalan, saya menggunakan kerusi roda, kemudian bertongkat dan sudah mula belajar melepaskan tongkat. Saya paksa untuk berjalan tanpa tongkat, tapi sebenarnya saya masih rasa sakit.

"Semasa belajar melepaskan tongkat, selepas beberapa langkah berjalan dengan perlahan, saya akan terjengkit-jengkit kembali," kata Shahriza.

Biasanya bisa terkena duri landak laut akan pulih dengen hanya menyimbah cuka dan merendam kaki selama sejam. Tapi kecederaannya agak berat kerana terkena pada pergelangan kaki membuatkan ia kuat membengkak.

Terpaksa tolak tawaran berlakon

Selain memikirkan sambutan raya yang tidak semeriahnya, Shahriza juga terpaksa melepaskan tawaran berlakon yang datang kepadanya akibat kecederaan tersebut.

"Saya ditawarkan watak yang memerlukan saya bergerak lasak selepas raya nanti. Saya jadi resah kerana belum tahu dapat memenuhi tuntutan watak tersebut. Kalaupun saya boleh berjalan dalam masa singkat ini, rasanya untuk watak lasak akan kelihatan sumbang sebab saya belum boleh berlari," jelasnya.

Shahriza bagaimanapun reda menempuh segala-galanya dan sedia menerima sekiranya inilah dugaan untuknya.

"Bagaimana sekalipun ikhtiar yang saya lakukan, jika Allah tidak memulihkan, hanya Dia yang tahu dan hanya Dia yang lebih mengetahui apa yang tersirat. Saya terima seadanya," kata Shahriza lagi.

http://www.manggaonline.com.my

Thursday, May 28, 2009

Puisi Tanpa Tema, Tapi Unggul ~ BERITA HARIAN


* SASTERA

Oleh Hasnidawina Hasim
bhsastera@nstp.com.my

Penggerak majlis untuk Perhimpunan Penulis Muda Nasional dengan 170 peserta

GELANGGANG baca puisi sempena Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini, tetap memberi kepuasan kepada penyair muda dan veteran meskipun acara berlangsung dalam suasana santai.

Ketiadaan tema pada malam terbabit, rupa-rupanya lebih menggerakkan lagi mereka untuk terus tampil di pentas puisi dengan persembahan bebas, tetapi tidak menghampakan baik kalangan penyair berjenama mahupun baru.

SM Zakir yang sering menjadi usikan peserta hampir pada setiap sesi perhimpunan kerana faktor umur melepasi tahap usia muda, berdiri gah di atas pentas tatkala mendeklamasikan puisinya, Manusia Cinta, tema sensitif untuk golongan remaja.

Katanya aku adalah manusia cinta yang paling jahanam
cuba mendirikan batu-batu cinta seperti Prambanan
yang disiapkan dalam satu malam oleh kuasa para jin
rusukku pecah ditembak panah dan mengalir luka
cintaku yang merah seperti lahar Merapi yang pecah
di Kaliurang yang terbakar menanggung amarah
Nyi Roro Kidul yang menjelma dari Laut Selatan
cintaku menyelinap di kraton mendatangi istana air
melihat sang raja di menara dengan 40 selirnya
memilih-milih selir istimewa dari permandian Taman Sari
cinta apakah yang aku miliki menjadi begitu terlarang
tetapi laju menerbang seperti panah Sang Rama
langkahku menjadi kuda di padang para perajurit
Sasono Hinggil yang terkepung oleh tembok kraton
melepasi dua beringin di alun-alun selatan
dan menjadi hasrat yang terkabul oleh cinta
dari luka kasih yang sering lewat dan sering tenggelam
bagai ikan yang merenangi lautan yang tidak bertepi.


Timbalan Pengerusi Tetap Pena, Dr Ibrahim Ghaffar, memberi semangat kepada penulis muda lewat puisinya, Kesaksian; Perjuangan dan Keberanian II, bagi memperingati pemergian Sasterawan Negara (SN), (Dr) Arena Wati.

I
10 Julai 1925 layar kehidupan Ayah terkembang
Di bumi Makassar, Gelora kejauhan Ujung Pandang
Dialah Arena Wati itu; Dahlan bin Abdul Biang,
Pulau Tumasik riang mengucapkan selamat datang
Dan Kisah Tiga Pelayaran rias seorang pengarang
Bagai hulubalang menghamparkan gelanggang
Dan Sandera meningkah pencak dan rentak gendang
Seakrab Kuala Lumpur yang abadi dikenang
Bila 25 Jan. 2009 Ayah ikhlas berangkat pulang
Dan Helang Makassar telah berhenti dari terbang....

III
Meraut rindu; Di pintu waktu setelah kepergian
Satu demi satu Sasterawan Negara menemui Tuhan
Dan kami masih di sini meneruskan kelangsungan,
Di bawah langit bangsa yang semakin rawan
Mengutip reja-reja jati diri buat merajut ketuanan
Setelah lidah bangsa tidak diizin melafazkan
Bahasa ibunda; kami akan terus perjuangkan
Selagi nyawa dikandung badan
Dan mati sebagai orang beriman.
Amin

Koordinator Pena, Dr Ahmad Razali Yusof, turut memeriahkan malam terbabit dengan puisinya, Puisi Dari Benua Diam yang membakar semangat khalayak betapa puisi mampu membangkitkan semangat perjuangan bangsa.

Kurempuh lagi belantara membawa raung
Untuk mengheret puisi-puisi
Yang masih tertembus
Di kamar waktu
Dan rasuk bara menyintak parah luka
Pejuang-pejuang menghunus
Bahasa keris yang tertikam di rusuk
Ruang dewan dan balar para penghuni
Mengatur langkah duka mencari tafsir
Terbanam dalam akta yang luka
Membarah, menusuk daging khayalku.

Aku bangunkan kembali dengan jerit
Dan raungan luka bangsa
Membina ruang kukuh dengan teguh angkuhku
Lewat belentara puisi dan tembok sukar
Dari dera payah pentafsir petualang akal
Yang sesat di kota sasau kejam mimpi
Lewat belantara dan tembok sukar
Dari dera payah pentafsir
Memerangi songsang akal
Yang sesat di kota sasau kejam mimpi
Sedang para sarjana masih bersembang
Tentang tesis yang sering ditafsir kembali
Mengangkat roh dan martabat bangsa
Semua khalayak bersorak mengikut arahan
Kerana dendam dan harapan telah ditangguhkan
Ke ruang lain yang lebih jauh
Ke padang khayal dan dunia diamku.


Jadual padat perhimpunan kali ini, tidak mematahkan semangat peserta mahupun penyair untuk terus bertahan hingga ke penyudah majlis apabila ada antara mereka membuat persembahan spontan yang wajar mendapat tepukan, meskipun tanpa persiapan awal.

Pelakon drama, Shahriza Mahmud, tidak melepaskan peluang untuk beraksi di atas pentas puisi pada malam itu dengan penuh emosi mendeklamasikan puisinya, Cetusan Dari Erin Sharina.

Dik Erin,
Itu tandanya ibu menyentuhi dadamu
Tatkala kau tidak menyedari hadirnya.

Dia masih merenung wajah mulusmu
Di sisimu setiap saat dan ketika berlalu
Jika kau berlagu al-Fatehah kepadanya
Nescaya ibu juga berdendang untukmu.

Walau alam ibu dan anak terpisah jauh
Namun dia tetap menjaga dan membelai
Tanpa kau sedari, tanpa kau merasai
Dia ada di sisi, mungkin juga menangisi
Melihat anakanda tercinta merindui.

Percayalah sayang, ibu juga mencintai
Ketahuilah kasih, ibu menantimu di syurgawi.

Majlis malam itu turut dihadiri nama besar dunia sastera tanah air seperti Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Baha Zain, Nisah Haron, Amirudin Ali, Sahrunizam Abd Talib, Rahimidin Zahari, Muhammad Lutfi Ishak, Ummu Hani Abu Hassan, Salman Sulaiman dan Ibnu Ahmad al-Kurauwi.

P.S: Puisi yang disiarkan cuma sebahagian di dalam BERITA HARIAN ONLINE. Didalam suratkhabar lebih pendek.

Yang asal KLIK SINI.
DARI SURATKHABAR KLIK SINI.
Terima kasih SAL kerana mengambil inisiatif scan dan upload gambar! ;)