Video Lusuh Shahriza Mahmud

Loading...

Tuesday, May 19, 2009

FLASHBACK ~ Hari Seniman Negara Iktiraf Insan Seni

ARKIB UTUSAN MALAYSIA: 05/11/2007

Oleh ABD. AZIZ ITAR


MUSTAPHA Maarof (tiga dari kanan) bersama ahli-ahli Seniman menunjukkan Kertas Cadangan Konsep Hari Seniman Negara pada sidang akhbarnya di Finas, Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.

SEMPENA sambutan Hari Seniman Negara yang akan disambut pada 29 Mei tahun depan, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) telah mencadangkan 22 kategori buat insan seni yang layak untuk diiktiraf mengikut cabang-cabang seni yang berbeza.

Antara kategori seniman yang akan diiktiraf pada hari khusus untuk insan seni itu ialah pelakon, pengarah, pelawak, penari, pemain silap mata, penyanyi, pemuzik, pencipta lagu, penulis skrip, pengacara, pemain wayang kulit, penyair, pelukis dan pengulas sukan.

Bagaimanapun, 22 kategori yang diusulkan itu mungkin belum mencukupi kerana definisi seniman itu sendiri merangkumi suatu bidang seni yang amat luas skopnya.

Justeru, Seniman selaku persatuan yang mengusulkan sambutan tersebut kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa) tentunya berdepan dengan cabaran besar supaya tidak ada bidang-bidang seni lain yang tercicir untuk menerima pengiktirafan pada sambutan itu nanti.

Menurut Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof, 22, kategori yang dicadangkan itu belum muktamad, sebaliknya mereka akan terus membuka lebih banyak kategori penyertaan kepada insan-insan seni lain yang layak diangkat sebagai seniman pada hari tersebut.

“Kita masih menunggu penjelasan daripada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berhubung perkara itu.

“Ini kerana, istilah seniman itu luas. Contohnya, pengukir seni khat juga boleh digelar sebagai seniman. Dalam hal ini, kita akan terus membuka cadangan dan penyertaan supaya lebih ramai seniman akan dapat diberi pengiktirafan.


“Hari Seniman Negara meraikan semua golongan orang seni di negara ini dan ia tidak terhad kepada ahli-ahli Seniman sahaja,” katanya ketika di temui selepas sidang akhbar di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Timbalan Presiden Seniman, Aimi Jarr, Setiausaha Kehormat, Yusof Kelana, Ahli Jawatankuasa, Shariza Mahmud serta Pengerusi Finas, Tan Sri Dr. Jins Shamsudin.

Hari Seniman Negara yang pertama kalinya akan diadakan itu diusulkan oleh Seniman di mana kertas cadangan sambutan perayaan itu telah dihantar kepada Rais pada 3 Mei lalu.

Pada 25 Oktober lalu, Rais mengumumkan bahawa kabinet bersetuju memilih 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Seniman Negara di mana kerajaan juga menyediakan peruntukan RM8 juta untuk mengadakan pelbagai program sempena sambutan tersebut.

Jelas Mustapha, beliau menyeru supaya semua karyawan seni di negara tanpa mengira bidang seni, agama dan kaum supaya bersatu hati dan memberi sokongan kepada acara-acara yang akan dianjurkan pada sambutan itu kelak.

“Selama ini, kita ada macam-macam perayaan seperti Hari Buruh yang diadakan pada setiap 1 Mei tetapi kita belum ada satu hari yang khusus untuk meraikan orang seni.

“Sebab itu, apabila pihak kerajaan terutamanya KeKKWa memberi pengiktirafan kepada kita (golongan orang seni) maka kita haruslah menghargainya.

“Kita (Seniman) bukanlah meminta cuti umum pada sambutan Hari Seniman Negara, tetapi cukuplah kalau setiap orang seni datang beramai-ramai dan memberi sokongan pada setiap program yang akan diadakan pada hari itu nanti,” ujarnya.

Sementara itu, Mustapha juga belum memutuskan sama ada setiap tokoh yang mendapat pengiktirafan pada Hari Seniman Negara akan menerima hadiah wang tunai atau sebaliknya.

Katanya semua itu bergantung kepada keputusan dan budi bicara KeKKWa selaku kementerian yang bertanggungjawab memberi pengiktirafan itu.

“Kami (Seniman) hanya mencadang dan menganjurkan perayaan ini sahaja. Terpulanglah kepada KeKKWa. Walaupun peruntukan yang diberi oleh KeKKWa berjumlah RM8 juta tetapi bajet itu juga akan digunakan bagi membiayai kos penganjuran dan acara-acara lain pada sambutan itu nanti,” katanya lagi.

2 comments:

anwardi said...

Za,
Dua tahun lalu lain motifnya, tapi kita tahu lah siapa yang dapat anugerah terbesar mlm tu kan baru baru ini? Presiden Seniman juga yang dapat, entah kenapa sebabnya.

Shahriza Mahmud said...

err..
Hari Seniman sebenarnya tak de kena mengena dengan Anugerah Perdana SENIMAN dari Persatuan Seniman.

Hari Seniman cuma cadangan dari Persatuan kepada Kekkwa dan Kekkwa meluluskan. Semua aktiviti hari Seniman dan apa saja keputusan semuanya Kekkwa yang buat.

Sementara anugerah perdana seniman cuma kelangsungan dari apa yang persatuan buat tiap2 tahun.

Tentang anugerah terbesar tu.. panel dilantik bukan dari seniman.. dari semua pihak.. juri luar yang memilih. Dato' menolak tapi beberapa alasan yang diberi membuatkan dia akur.

Saya tak mau komen sangat sebab saya ni kecil saja..

By d way... Dato' Mus pun tak selamanya akan di situ..

err.. jom la datang for the next election.. Why not you... u know what I mean.. shhh.... ;)