..dan sebenarnya.. ( macam lagu Yuna plak.. hehe )
FAKTA:
1. TERIMA KASIH SINAR!
2. Riza tak cerewet, cuma belum rezeki. Riza cakap masa ditemuramah, kalau jodoh datang hari ini, hari ini juga Riza tak kisah!
3. Riza dah tak minat menerbitkan drama sebab tak de duit. Nak buat drama kena ada banyak duit untuk 'rolling'. Kalau takat ada RM70K, lupakan!
4. Seharum Kasturi, berlakon, menulis dan mengarah.
5. Sinar Pelangi, drama bersiri dan bukan telemovie.
6. Teater D, bukan di Istana Budaya. Bertuah kalau orang IB nak bagi Riza masuk Istana!! Masin mulutnya, InsyaAllah..Alhamdulillah... tapi Riza tak mahu mengharap dan menagih. -----------------------------------------------------------------------------------
Sinar Harian, 8 Jun 2009. Shahriza cerewet pilih teman hidup
Sudah lama tidak mendengar khabar dramatis yang pernah popular dengan siri-siri drama Spektra satu waktu dahulu, Shahriza Mahmud. Justeru kehadirannya di majlis pelancaran Akademi Polis 4 baru-baru ini mencetuskan tanda tanya.
“Saya ada terlibat dalam drama ini sebagai artis undangan di samping menulis skrip untuk musim pertama siri ini,” ujar Shahriza yang tidak jauh berbeza daripada dahulu.
Menurutnya, dia berminat juga untuk menerbitkan drama sendiri tapi buat masa ini masih belum berkemampuan dari segi kewangan. Bagaimanapun dia masih aktif berlakon, mengarah dan menulis skrip drama.
“Tawaran berlakon memang tidak sebanyak dulu. Ini kerana banyak orang baru dalam industri sekarang. Mungkin mereka tidak mempunyai nombor telefon saya jadi tidak tahu bagaimana untuk menghubungi kalaupun mereka berminat untuk mengambil saya berlakon,” ujarnya pernah menghasilkan skrip dan berlakon dalam drama bersiri Seharum Kasturi di samping telemovie Sinar Pelangi dan Janji Kita.
“Demi meneruskan hidup kenalah pandai-pandai mengatur. Jika tidak berlakon, saya mengadakan kelas lakonan,” kata Shahriza yang kini terlibat dengan pementasan teater yang menggunakan ‘working title’ D di Istana Budaya.
Menyentuh tentang kehidupan peribadinya, Shahriza mengakui sedang menjalinkan hubungan dengan seseorang.
Namun begitu dia tidak berani untuk menyatakan bilakah tarikh sebenar dia akan mengakhiri zaman solonya.
“Sedar-sedar sudah lebih sepuluh tahun hidup saya hidup seorang setelah mengalami kegagalan rumah tangga tahun 2000 dahulu. Nak diikutkan kadang-kadang memang rasa kecewa dan sunyi tapi syukurlah ada keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa menyokong.
"Masa mula-mula bercerai dulu, tiga bulan saya tak jejak tanah sebelum mendapat kekuatan semula. Mungkin kerana itulah saya menjadi agak cerewet memilih teman untuk berkahwin semula,” luahnya terus terang.
ARKIB : 28/11/2002 Shahriza - Watak Soo Peng berkesan Oleh KHADIJAH IBRAHIM SOO Peng adalah watak yang dikhaskan untuk perempuan Cina yang menjadi anggota komunis. Watak yang dimunculkan dalam drama bersiri Antara Maruah dan Pengorbanan ini memang memualkan hati penonton.
Justeru tidak ada pelakon Cina yang mampu membawakan watak tersebut, apa lagi lokasi penggambarannya di dalam hutan, maka peranan itu diberikan kepada Shahriza Mahmud.
Selepas beberapa siri drama yang disiarkan setiap Sabtu jam 9 malam di TV1 itu, nama Shahriza juga sedikit sebanyak sudah bertukar menjadi Soo Peng. Ini bererti Shahriza mampu menjiwai wataknya dengan begitu baik.
Meralitikan watak itu memang menggembirakan Shahriza, namun bagi mempastikan watak Soo Peng berkesan, beliau sering menggamati pergerakan wanita Cina kampung.
Melalui pengamatan itulah beliau cuba mengembangkan karektor Soo Peng mengikut arus jalan cerita.
Menceritakan pengalamannya sewaktu mula-mula melakonkan watak Soo Peng, kata Shahriza, sepanjang berada di lokasi selama empat bulan beliau sentiasa bertutur dalam loghat wanita Cina.
``Buka saja mata setiap pagi, saya pasti bertutur loghat wanita Cina untuk membiasakan diri.
``Malahan, sepanjang di lokasi saya membiasakan diri sebagai Soo Peng,'' katanya yang berlakon sebagai wanita Indonesia dalam teater Lantai T.Pinki sebelum itu.
Ternyata penghayatannya yang begitu mendalam membuatkan watak Soo Peng. Tidak mustahil beliau akan tetapi diingati dengan watak tersebut.
Shahriza yang mula berlakon teater sejak 1986 adalah seorang pelakon serba boleh. Jelasnya, beliau bersetuju membawa watak hitam (Soo Peng) kerana inginkan kelainan.
Malahan, beliau rela melakonkan watak yang jarang menjadi idaman pelakon wanita lain. Kata Shahriza, `hidup' atau `kaku' sesuatu watak bergantung kepada lakonan seseorang pelakon.
Katanya, jika diberi watak utama sekali pun tetapi jika pelakon tidak mampu menjiwainya maka watak tersebut tetap nampak hambar.
``Sebenarnya melakonkan watak yang dianggap tidak penting itulah lebih mencabar daripada watak utama. Pertama, kita kena fikir macam mana mahu menjadikan watak itu nampak menonjol,'' katanya yang diberi tanggungjawab sebagai penolong pengarah untuk filem Janji Diana.
Shahriza yang mempunyai sasaran tersendiri dalam kerjaya seni berkata, buat masa sekarang beliau sedang melengkapkan diri diri untuk menjadi seorang pengarah.
Beliau yang mempunyai kelulusan dari Akademi Seni dalam bidang pengarahan itu sebelum ini pernah menjadi penolong pengarah kepada Yusof Kelana dan Ebby Saiful.
``Sewaktu Datuk Yusof menawarkan saya menjadi penolong pengarahnya, saya tidak terus terima. Saya mengambil masa selama sebulan untuk memberikan jawapan.
``Bukan apa, saya takut tidak dapat mengikut rentak kerjanya. Tapi sekarang, saya rasa gembira kerana diberi peluang tersebut,''jelasnya.
Meskipun sekarang ini beliau sibuk sebagai penolong pengarah, namun Shahriza tidak melupakan dunia lakonan.
Sebaik sahaja selesai melaksanakan tanggungjawabnya untuk Janji Diana, beliau akan berlakon dalam sebuah drama bersiri pula.
Selain itu beliau juga bakal berlakon teater yang akan dipentaskan pada Januari tahun depan.
Melihatkan kepada pelbagai bidang yang dilakukan oleh Shahriza, pelakon itu mengaku beliau mempunyai impian yang besar dalam bidang yang dilayarinya.
Kata Shahriza, beliau ingin mempergunakan ilmu yang dimilikinya dan bukan sekadar dikenali sebagai pelakon.
``Sesiapa sahaja boleh berlakon tapi tidak semua yang mampu menampilkan lakonan berkesan. Untuk menjadi seorang pelakon dihormati, kita perlu belajar teknik mengawal pergerakan dan vokal.
``Jika kita mempunyai asas lakonan maka kita boleh mengembangkan bakat menjadi seorang pelakon yang disegani,'' katanya terus terang.
Video sesi latihan di DBP. Rakaman menggunakan 'camera phone' sahaja.
ARKIB UTUSAN: 27/08/2007
Oleh: AZMAN ISMAIL
PENGALAMAN menonton pementasan naskhah Hikayat Qaziq karya Siti Jasmina Ibrahim dan diarahkan oleh A. Wahab Hamzah baru-baru ini memunculkan beberapa pertanyaan.
Adakah naskhah yang dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu sebuah karya absurd atau paparan absurditi masyarakat Malaysia hari ini?
Jika diteliti dengan terperinci, naskhah tersebut sebenarnya menggambarkan absurditi Malaysia dan dunia hari ini. Kejadian seperti pembuangan bayi, korupsi dan perebutan kuasa adalah sebahagian daripada absurd tersebut.
Hikayat Qaziq sendiri merupakan manifestasi daripada dua zaman yang berbeza tetapi mengangkat persoalan yang sama menggunakan simbol.
Siti Jasmina menyampaikan mesej tentang unsur-unsur absurd tersebut melalui perlambangan tertentu seperti peramal berniat jahat, Warangan.
Kedua-dua zaman yang berbeza dalam naskhah tersebut iaitu moden dan purba menceritakan perihal watak utamanya Raja Qaziq dan Qaziq.
Kedua-duanya terpaksa mengembara mencari jawapan ke mana menghilangnya bapa masing-masing dan kaitan dengan sejarah Kota Lama serta sumpahan yang terjadi di atas diri mereka.
Biarpun zaman berbeza, isu yang sama seperti cinta, kasih sayang dan konflik dengan kelompok tertentu diketengahkan dengan begitu berkesan oleh Siti Jasmina dan A. Wahab.
Demi keselamatan, kedua-dua watak utama, Raja Qaziq dihantar berguru di Pergunungan Rawi manakala Qaziq pula membesar dan menuntut di kota London.
Bagaimanapun, mereka tetap mencari kebenaran dan menyelami rahsia sebenar khususnya menyelamatkan Kota Lama daripada kemusnahan seperti yang disumpah oleh Warangan. Sebenarnya ‘kekaburan’ yang ditonjolkan dalam Hikayat Qaziq dan isu-isu semasa masyarakat tersebut mengingatkan kita kepada naskhah-naskhah absurd Samuel Barclay Beckett.
Watak Raja Qaziq dan Qaziq seolah-olah watak Estragon atau Vladimir dalam naskhah drama terkenal Beckett, Waiting for Godot.
Apa yang diketengahkan oleh Siti Jasmina menerusi karya yang meraih hadiah utama Sayembara Mengarang Sempena 50 Tahun DBP ialah kerencaman hidup dan ada yang tidak mampu difahami dengan logik.
Selalu ada perkara-perkara dan polemik yang tidak disangka-sangka, tak boleh difahami, aneh, tidak masuk akal dan sesuatu yang memerlukan manusia harus belajar menerima.
Sama seperti Hikayat Qaziq, karya Beckett datang dengan sesuatu yang kecil, peristiwa ringkas yang sebenarnya ada di depan mata kita. Namun, melalui Waiting for Godot, beliau berjaya menyedarkan orang bahawa manusia sentiasa berhadapan dengan absurditi dan sesuatu yang kadang-kadang tidak rasional.
Naskhah-naskhah Beckett bukan seperti sebuah realisme seperti dramaturgi Emile Zola, Henrik Ibsen atau George Benard Shaw. Sebaliknya ia menekankan aspek simbol dalam mengutara pelbagai persoalan.
Karyanya (termasuk Waiting for Godot) adalah gambaran teatrikal yang pelbagai dimensi yang secara ekspresif bukti daripada pengalaman peribadi pengarang.
Watak Qaziq sendiri mungkin sebahagian situasi yang ada dalam masyarakat Malaysia hari ini. Pencarian seseorang terhadap masa yang memerlukan pengorbanan.
Kota Lama itu sendiri mungkin dapat ditafsirkan dalam banyak perspektif. Boleh sahaja ia merupakan hegemoni atau nilai-nilai tradisionalisme masyarakat Melayu.
Namun, secara tidak langsung, Hikayat Qaziq menonjolkan sebuah paparan absurditi masyarakat Malaysia dan dunia hari ini. Mungkin persoalan itu bukan isu yang paling utama. Aspek kasih sayang, cinta dan pengorbanan adalah mesej sebenar Siti Jasmina dan A. Wahab tetapi kerencaman kisah hidup manusia-manusia di sekitarnya adalah mesej sebenar.
Namun, secara tidak langsung, Siti Jasmina membicarakan tentang aspek manusia dan dimensi-dimensi sosial yang negatif dengan lengkap.
Ada watak-watak negatif yang cuba menghancurkan manusia lain dengan menggunakan pelbagai helah dan sedaya upaya mencari kepentingan diri semata-mata.
Tidak dinafikan dalam beberapa aspek unsur absurd wujud pada naskhah itu sendiri. Kadang-kadang ia mendekati konsep pementasan bangsawan misalnya adegan pengembaraan Raja Qaziq dan kewujudan burung gergasi bernama Cemarapati.
Sementara itu, Hikayat Qaziq dijayakan oleh Azhan Abd. Rani (Raja Qaziq), Saifullah Mohd. Ghazali (Qaziq), Badrul Hisham Mohd. Noh (Warangan), Sabri Yunus (Musafir), Adman Salleh (Prof. Fariq) dan Rasdi Daud (Raja Manat).
Turut menjayakannya ialah Zuriah Mohamad (Perwara Suria), Nordayana Tajol Aris (Suria), Hisham Ahmad Tajudin (Tan Sri Syahid), Mazin Siraj (Steven Parker), Shariza Mahmud (Rabiah), Cemarapati (Sulaiman Marijan) dan Arif Ujang (Peniaga).
Gambar LORONG dipersembahan yang pertama di Taman Budaya Kuala Lumpur ( Dulu Panggung Drama ), sekitar tahun hujung 80an. Duduk kiri, SHAHRIZA MAHMUD, tengah RAJA NALIZA, kanan sekali, IDA.
ARKIB UTUSAN MALAYSIA: 30/10/1999 Teater Lorong dilabelkan 18SX
TEATER Lorong arahan Amran Nasruddin karya Dr. Anuar Nor Arai hanya boleh ditonton oleh mereka yang berusia 18 tahun ke atas. Teater ini diklasifikasikan mengandungi sedikit unsur-unsur yang tidak wajar disajikan kepada penonton di bawah usia tersebut.
Justeru, apakah sebenarnya isu yang terkandung dalam Lorong sehingga ia dikategorikan sedemikian rupa? Apakah ia hanya gimik pihak penganjur iaitu Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Wilayah Persekutuan (PKKWP) dan Artis Penjuru Alam (APA) bagi memancing penonton atau ia benar-benar layak diklasifikasi sedemikian?
Menonton kira-kira 30 minit fregmen teater tersebut baru-baru ini, didapati adalah wajar ia dihadkan kepada golongan tertentu. Namun, ia bukanlah bermakna teater ini mengandungi unsur-unsur negatif yang membahayakan pemikiran masyarakat, sebaliknya persoalan yang ditimbulkan hanya layak difikirkan oleh penonton yang matang.
Lorong mengetengahkan kisah yang relevan tentang manusia dan kemanusiaan. Tidak ramai yang berani membawa isu pelacur secara terang-terangan kerana ia dianggap menjijikkan. Justeru, isu ini diketepikan begitu saja biarpun ia terus menular dalam mana-mana masyarakat dunia ini.
Sedia diketahui bahawa pelacuran adalah profesion tertua di dunia. Diakui juga bahawa profesion ini salah di sisi mana-mana agama Tuhan di dunia ini. Namun, ia terus berkembang dan masih belum dapat dikawal.
Bagaimanapun, Lorong yang diterbitkan kali kedua oleh APA ini bukan jawapan kepada penyelesaian kerjaya ini. Teater yang dipentaskan mulai 3 hingga 7 November ini di Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur hanya menelusuri perasaan manusia-manusia yang menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber rezeki.
Hakikatnya, watak-watak yang ditampilkan seperti Ruby, Arfah dan Tina memiliki nilai yang tersendiri.
Biarpun mereka adalah pelacur tetapi mereka tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya. Mereka juga memiliki nilai murni biarpun ia tidak kelihatan secara lahiriah.
Manusia-manusia yang dianggap tersisih daripada norma kehidupan normal ini juga digambarkan sebagai masyarakat yang mengetahui tentang perkembangan dunia yang berlaku di sekitar mereka. Perkara-perkara ini mereka perdebatkan dalam suasana yang sinikal.
Antara pelakon teater ini ialah Wan Maimunah, Rima Rashidi, Shahriza Mahmud, Harun Salim Bachik, Roslan Salleh dan Noorkhiriah Shapie.
MUSTAPHA Maarof (tiga dari kanan) bersama ahli-ahli Seniman menunjukkan Kertas Cadangan Konsep Hari Seniman Negara pada sidang akhbarnya di Finas, Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.
SEMPENA sambutan Hari Seniman Negara yang akan disambut pada 29 Mei tahun depan, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) telah mencadangkan 22 kategori buat insan seni yang layak untuk diiktiraf mengikut cabang-cabang seni yang berbeza.
Antara kategori seniman yang akan diiktiraf pada hari khusus untuk insan seni itu ialah pelakon, pengarah, pelawak, penari, pemain silap mata, penyanyi, pemuzik, pencipta lagu, penulis skrip, pengacara, pemain wayang kulit, penyair, pelukis dan pengulas sukan.
Bagaimanapun, 22 kategori yang diusulkan itu mungkin belum mencukupi kerana definisi seniman itu sendiri merangkumi suatu bidang seni yang amat luas skopnya.
Justeru, Seniman selaku persatuan yang mengusulkan sambutan tersebut kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa) tentunya berdepan dengan cabaran besar supaya tidak ada bidang-bidang seni lain yang tercicir untuk menerima pengiktirafan pada sambutan itu nanti.
Menurut Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof, 22, kategori yang dicadangkan itu belum muktamad, sebaliknya mereka akan terus membuka lebih banyak kategori penyertaan kepada insan-insan seni lain yang layak diangkat sebagai seniman pada hari tersebut.
“Kita masih menunggu penjelasan daripada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berhubung perkara itu.
“Ini kerana, istilah seniman itu luas. Contohnya, pengukir seni khat juga boleh digelar sebagai seniman. Dalam hal ini, kita akan terus membuka cadangan dan penyertaan supaya lebih ramai seniman akan dapat diberi pengiktirafan.
“Hari Seniman Negara meraikan semua golongan orang seni di negara ini dan ia tidak terhad kepada ahli-ahli Seniman sahaja,” katanya ketika di temui selepas sidang akhbar di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.
Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Timbalan Presiden Seniman, Aimi Jarr, Setiausaha Kehormat, Yusof Kelana, Ahli Jawatankuasa, Shariza Mahmud serta Pengerusi Finas, Tan Sri Dr. Jins Shamsudin.
Hari Seniman Negara yang pertama kalinya akan diadakan itu diusulkan oleh Seniman di mana kertas cadangan sambutan perayaan itu telah dihantar kepada Rais pada 3 Mei lalu.
Pada 25 Oktober lalu, Rais mengumumkan bahawa kabinet bersetuju memilih 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Seniman Negara di mana kerajaan juga menyediakan peruntukan RM8 juta untuk mengadakan pelbagai program sempena sambutan tersebut.
Jelas Mustapha, beliau menyeru supaya semua karyawan seni di negara tanpa mengira bidang seni, agama dan kaum supaya bersatu hati dan memberi sokongan kepada acara-acara yang akan dianjurkan pada sambutan itu kelak.
“Selama ini, kita ada macam-macam perayaan seperti Hari Buruh yang diadakan pada setiap 1 Mei tetapi kita belum ada satu hari yang khusus untuk meraikan orang seni.
“Sebab itu, apabila pihak kerajaan terutamanya KeKKWa memberi pengiktirafan kepada kita (golongan orang seni) maka kita haruslah menghargainya.
“Kita (Seniman) bukanlah meminta cuti umum pada sambutan Hari Seniman Negara, tetapi cukuplah kalau setiap orang seni datang beramai-ramai dan memberi sokongan pada setiap program yang akan diadakan pada hari itu nanti,” ujarnya.
Sementara itu, Mustapha juga belum memutuskan sama ada setiap tokoh yang mendapat pengiktirafan pada Hari Seniman Negara akan menerima hadiah wang tunai atau sebaliknya.
Katanya semua itu bergantung kepada keputusan dan budi bicara KeKKWa selaku kementerian yang bertanggungjawab memberi pengiktirafan itu.
“Kami (Seniman) hanya mencadang dan menganjurkan perayaan ini sahaja. Terpulanglah kepada KeKKWa. Walaupun peruntukan yang diberi oleh KeKKWa berjumlah RM8 juta tetapi bajet itu juga akan digunakan bagi membiayai kos penganjuran dan acara-acara lain pada sambutan itu nanti,” katanya lagi.
ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 01/09/2005 Teater Pak Tua - Alunan kehidupan harmoni
Oleh WAN NAJIB WAN DAUD
SALAH satu adegan dalam pementasan Pak Tua yang di pentaskan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang baru-baru ini.
KEHIDUPAN dan hasad dengki merupakan elemen yang masih berlaku di kalangan masyarakat hari ini.Ini kerana elemen itu boleh mewujudkan persekitaran kehidupan yang tidak selesa.
Pementasan teater Pak Tua hasil nukilan Datuk Johan Jaafar merupakan naskhah gabungan versi televisyen dan pentas walaupun perbezaan kedua-duanya hanya pada latar belakang masa sahaja.
Teater yang diarahkan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Samat Salleh itu mempamerkan keprihatinan Johan membangkitkan perihal manusia mengubah alunan rentak kehidupan yang harmoni kepada persengketaan yang dipengaruhi oleh hal-hal persekitaran.
Berkisar dalam Paya Juara, Johan mengupas sebuah perkampungan yang diterokai oleh dua orang sahabat karib iaitu Pak Tua dan Hitam.
Pak Tua merupakan seorang guru silat yang berpengaruh manakala Hitam seorang penghulu yang mulanya sangat akrab akhirnya menjadi saingan sesama sendiri gara-gara berebut seorang wa-nita iaitu Mak Tua yang akhirnya menjadi milik Pak Tua.
Saingan kedua ialah kehadiran juru ukur dan peranan Agos mempengaruhi Hitam telah mengubah kehidupan masyarakat Kampung Paya Juara menjadi materialistik.
Terpengaruh dengan janji-janji manis itu, mereka sanggup meninggalkan kampung halaman untuk berpindah ke tempat lain yang belum pasti dijanjikan tempatnya.
Malah penduduk kampung turut dijanjikan dengan ganjaran yang lumayan sebagai habuan mereka untuk berpindah jika bersetuju.
Namun semua janji itu tidak dipersetujui oleh Pak Tua sebagai orang lama di situ dan beliau sanggup mempertahankan Paya Juara dari diceroboh.
Keengganan Pak Tua menjadi penghalang kepada orang kampung untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan bagi menjadikan kampung itu sebagai kubu peperangan.
Akibat tamak dan hasutan daripada Hitam, mereka sepakat mengusir Pak Tua tanpa memikirkan bahawa orang tua itu merupakan orang terawal meneroka kampung tersebut.
Pak Tua mempertahankan haknya walaupun rumahnya dibakar dan ia menimbulkan kemarahan Hitam sehingga mencetuskan pertarungan.
Dalam pertarungan itu, tiada siapa yang tewas malah semua penduduk kampung itu terpaksa mengaku kesalahan mereka dan mengaku kekesalan mereka.
Agos yang menjadi batu api dalam cerita ini akhir dipukul orang kampung kerana menjadi tali barut orang putih untuk menggadaikan Paya Juara bagi dijadikan kubu pertahanan.
Pak Tua dilakonkan oleh Mazlan Tahir, Yaakob Abdul Aziz (Hitam), Dr. Jamaluddin Osman (Utih) dan Shahriza Mahmud (Jarah).
MESKIPUN penonton tempatan sudah serasi dengan siri Gerak Khas yang disiarkan menerusi RTM 2 sejak beberapa tahun lalu, namun kehadiran sebuah lagi drama kepolisian di saluran tersebut tidak akan membosankan.
Ini kerana drama bersiri Gempur Sindiket Intelek (GSI) yang disiarkan pada 9 malam setiap Khamis bermula 17 Ogos lalu amat berbeza dengan cerita kepolisian yang sedia ada.
Drama terbitan Gemilang Network Sdn. Bhd dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu lebih banyak menonjolkan tugasan pihak polis dalam bidang penyamaran dan kehidupan keluarga polis.
Selain itu drama 13 episod arahan Azman Yahya atau Jinggo itu juga berkait antara satu sama lain dan segala persoalan akan terbongkar pada episod akhir. Sementara drama polis yang sedia ada ceritanya tamat pada setiap episod.
Menurut Jinggo, antara perbezaan yang ditonjolkan menerusi drama yang skripnya dihasilkan oleh Shahriza Mahmud itu ialah tugasan polis yang lebih ditumpukan pada usaha membanteras golongan intelek yang sering mengambil kesempatan terhadap golongan muda bagi meraih keuntungan.
“Jenayah yang dilakukan oleh golongan intelek ini lebih dahsyat. Justeru itulah dipaparkan tugas polis menyamar kerana penjenayah peringkat ini sering merancang sebelum mengambil tindakan,” katanya di majlis pelancaran drama tersebut yang dilaksanakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Rancangan) RTM, Adilah Shek Omar di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jinggo juga menjelaskan sebelum penggambaran dilakukan, beberapa siri perbincangan dengan pihak berkuasa diadakan bagi memastikan setiap adegan tidak bertentangan dengan etika polis.
“Inilah drama yang pertama kali saya arah tidak dipotong oleh pihak RTM. Saya berterima kasih banyak pada pihak PDRM kerana banyak membantu dan memberi tunjuk ajar sepanjang 45 hari kami menjalani penggambaran,” katanya tentang drama yang menelan belanja sebanyak RM385,000.
Penggambaran yang dilakukan di seluruh bandar raya Kuala Lumpur itu pada Januari lalu menampilkan barisan pelakon seperti Sheila Rusly, Fauzi Nawawi, Jalaluddin Hassan, Zack Taipan, Baharin Abu Hassan, Zul Yahya, Jesse Lim, Roy Azman, Dayang Nabillah, Shahriza Mahmud dan Hairie Othman.
Sementara itu Ketua Unit Media PDRM, Kadet Asisten Supritendan (ASP) Arshad Mat yang turut hadir berkata, apa jua drama kepolisian yang diterbitkan tetap menonjolkan elemen sama.
Antara yang sering dikekalkan adalah untuk menunjukkan kepada orang ramai tentang tugasan sebenar pihak berkuasa.
Ini kerana katanya sejak dari kecil, kanak-kanak sering ditakutkan dengan ungkapan kalau enggan melakukan sesuatu yang disuruh pasti ditangkap polis.
“Kita sering dilontarkan dengan kenyataan kalau salah ditangkap polis. Sebenarnya polis bukan sembarangan menangkap orang. Drama ini bakal mempaparkan tentang tugasan polis dan pengorbanan yang perlu dilakukan oleh mereka dan ahli keluarga, sebab kerjaya ini penuh cabaran,” katanya yang sering memberi pandangan sejak awal hingga akhir drama menjalani penggambaran.
Bagi Sheila Rusly yang memegang watak Inspektor Tina berkata, setiap aksi lasak yang digayakan dalam drama tersebut adalah lakonannya
“Menerusi GSI baru saya berkesempatan melakukan adegan stunt. Dalam drama lain kalau saya nak buat, pengarah akan halang. Memandangkan drama ini arahan suami saya, jadi saya berpeluang melakukannya. Bila berjaya buat sendiri, hati rasa puas,” katanya yang mampu melakonkan pelbagai watak.
Sinopsis
GSI mengisahkan satu unit cawangan khas yang diketuai oleh DSP Mohammad (Hairie Othman), ASP Chan, Inspektor Tina, Detektif Ismail, Detektif Zainon ( Shahriza Mahmud ) dan Detektif Baharin. Ia ditubuhkan untuk melakukan tugasan risikan bagi menghapuskan Geng Lanun Bukit (GLB) yang diketuai oleh Tossai (Jalaluddin Hassan).
GLB menjalankan sindiket pengedaran dadah dan pelacuran yang beroperasi secara terancang dan mempunyai rangkaian di luar negara. Pelbagai rintangan dan dugaan terpaksa dihadapi oleh unit GSI, terutama Inspektor Tina yang perlu berhadapan dengan konflik keluarga.