Video Lusuh Shahriza Mahmud

Loading...

Monday, July 17, 2006

Penjara Kajang

Semalam,Isnin 17 Julai 2006 jam 8.30pm, Teater Penjara Kajang (TEPAK) mengadakan majlis penyampaian saguhati di Dewan Kelab Aktiviti mereka. Setelah hampir setahun barulah tenaga produksi dan pelakon teater HUKUMAN PASTI yang dipersembahkan di Dewan Budaya Shah Alam dapat menikmati imbuhannya. Itupun bukan bayaran setimpal yang sepatutnya mereka terima.

Riza merupakan salah seorang pelakon utama bersama Yanto. Bagi Riza dan Yanto, kami hanya menghadapi masalah kecil atau perkara biasa dalam karier kerana bayaran lakonan telah dilangsaikan oleh Pejabat Kebudayaan Selangor sebaik sahaja persembahan berakhir. Namun tenaga kerja dan pelakon yang merupakan pekerja dan Pegawai Penjara terpaksa menunggu sekian lama hanya kerana mereka berjuang untuk seni.

Dengan lima ribu ringgit (RM5,000) untuk satu produksi, bermula dari kos persiapan, pre-produksi hingga ke hari persembahan, hanya itu yang mereka terima. Untuk menyiapkan set sahaja tidak mungkin akan dapat mencapai kehendak audien yang mengharapkan yang terbaik. Dengan bayaran sedemikian tidak mampu untuk membayar hanya seorang pelakon yang beraksi di ISTANA BUDAYA!

Telah menjangkau empat tahun Riza membantu TEPAK dengan persembahan mereka dari masa kesemasa. Sebagai orang yang cari makan dalam bidang seni, mereka memahami dan menawarkan bayaran dengan kadar harga profesional walaupun Riza cuma menerima separuh dari bayaran sebenar mengikut pasaran seorang artis. Riza puas kerana dapat menjalankan tugasan dengan baik dan faham kedudukan mereka.

Disamping berlakon Riza juga membuat olahan skrip untuk TEPAK pada persembahan terakhir dan membantu serba sedikit dari segi lakonan dan keseluruhan persembahan. Apa yang sebenarnya ingin Riza tekankan di sini ialah persembahan kesenian dari mereka yang benar-benar komited sering dipandang sepi atau hampir dipinggirkan oleh pihak yang berwajib. Mahu atau tidak, perjalanan yang walaupun tempang harus diteruskan.

Diharap pengerusi TEPAK yang baru, Tuan Pegawai Penguatkuasa Ruhaizak yang juga hadir semalam,dapat memberi cahaya baru kepada TEPAK yang mungkin akan hanya tinggal tepak tanpa sireh dan kapur bagai dikatakan Ayahanda Pak Hassan yang merupakan pengarah HUKUMAN PASTI.

Riza bermula dari teater yang banyak mengajar erti kehidupan susah senang perjalanan anak seni. Betapa mudahnya bagi insan yang telah tersedia pakej lengkap (bagai dilaungkan orang sekarang) yang hanya memikirkan kejayaan datang bergolek tanpa usaha!

HIDUP TEATER MALAYSIA!

Sunday, July 16, 2006

Saturday, June 17, 2006

HARUM FADINAH


Terkadang aku menjadi pendiam dan ada waktunya aku bermenung. Menungan yang terlalu jauh,memikirkan perjalanan hidup ini yang terlalu banyak kupersia-siakan tanpa kusedari.Walau ada pencapaian dan tuah yang menyebelahi namun yang pahit tetap mendahului. Ah! Tidak salah untuk kita sesekali mengenangkan kegetiran hidup ini bukan? Terlalu banyak yang ingin kuperkatakan kepada kalian,teman dan adik-adikku. Bukan mudah untuk menjadi anak seni...

Ketabahan dan kesabaran sahaja masih tidak mencukupi.Carilah makna dari kata-kataku ini. Satu hari kamu akan mengerti juga.

Aku akan bertolak ke Pulau Pinang dalam sehari dua ini untuk penggambaran telemovie 'HARUM FADINAH' sempena hari wanita yang akan ditayangkan di RTM. Memegang watak sebagai Norlida,sahabat kepada Fadinah yang menghidap barah serviks.

Diriku,Norlida merupakan bekas pesakit barah payudara yang telah ditinggalkan suami lanjutan penderitaan yang dialami.Norlida memberikan kekuatan kepada Fadinah (Juhara Ayob) untuk meneruskan kehidupan dan berjuang hingga kesaat akhir nafasnya di bumi ini.

Karya Pyan,arahan Jamil.Antara pelakon, Juhara Ayob dan Idris Md.Diah.

Thursday, June 15, 2006

Ku Pendam Jua...



Kalau di ruangan AKTOR, segala tulisan berupa karya kreatif dan perbincangan menjurus kepada kesenian dan lebih tersusun walau pun secara santai. Di sini, saya lebih ingin meluahkan rasa yang pelbagai ini namun masih tak pandai untuk dinyatakan kerna takut disalah anggap...tapi memang sudah lumrah, apa saja yang kita perkatakan akan senantiasa disalah tafsir seolah segala yang diperkatakan ada saja makna yang berganda di sebaliknya. Kenapa harus jadi sebegitu? Jawabnya hanya untuk kepuasan hati masing-masing mencari salah dan silap dan juga mungkin dosa orang lain yang sama sekali mungkin tidak pernah duduk semeja dengannya, apalagi mengenali akrab bagai kita mendalami isi jiwa kita sendiri.

Saya telah lama memendam rasa yang terlalu pelbagai sejak menjadi kononnya orang kuat yang tabah.Memang tampak kesabaran yang tinggi juga ketenangan yang tidak langsung terganggu gugat dengan cemuhan dan salah tanggap dari dunia luar namun hanya Dia yang mengetahui betapa diri ini harus berdiri kukuh dengan genggaman yang kuat di empat penjuru agar tidak dilayangkan angin sepoi yang barangkali tidak akan menjejaskan walau seekor semut yang sedang berehat!

ILHAM


Kau pertikai kedalaman kasihku terhadapmu
tapi kau yang sering meninggalkan aku terpilu
kau sering bertanya berapa tinggi cintaku padamu 
sepantas saat, menghilang jua tika aku perlu kamu

Aku perlukan kehadiran panas tubuhmu di sisi
aku lemas setiap kali ketidakpastian menerjah
aku resah setiap detik pergi membawa jiwa lari

Kau berjanji,
bersedia mengharungi segala kerenahku
sanggup melayan rajukku yang tak sudah
tapi semuanya kini telah beralih arah

aku yang jelas ditampar, dibuli terus
kerna melayan rajukmu yang dahsyat

Aku makin kehilangan kamu, kau terlalu jauh
kehangatan tubuh kita tidak bisa lagi bersatu
tidak lagi mahu membuahkan keindahan dulu

Aku terbuang meratap tangis tak sudah
kecewa merana bagai sang kekasih gila
tiada yang istimewa tentang cinta kita

Jangan kau pergi terlalu jauh
kakiku kebas tak jejak di bumi
kembalilah, kita serasi bersama
jangan biar aku terus merindui

Pulanglah,
wahai ilham kekasih beta
kepangkuan sang ratu jiwa


Shahriza Mahmud
Deklamasi Malam Puisi Warisan
ASK dan Persatuan Penulis Wanita Malaysia

thursday, june 15, 2006
posted by AKTOR MALAYSIA @ 8:42:00 PM

Edited on: 23 June 2011

Wednesday, June 14, 2006

Ego sia-sia

A: Siapa yang berani membantah?
Siapa yang lantang memprotes?
Siapa yang menjadi lembu?

B: Aku sahut cabaranmu sahabat.
Siapa yang mahu dibantah?
Apa yang mahu diprotes?
Tapi…Siapa yang menjadi lembu?

A: Mereka yang sentiasa menurut
Mereka yang tiada suara ketegasan
Itulah dicucuk dan ditarik hidungnya
Menjadi lembu yang tiada maruah

C: Maaf sahabat, jika aku mencelah
Lantangmu berbicara membuak rasa
Walau tidak kutahu akar puncanya
Tapi budi mulia dituntut olehNya

A: Kamu lah yang aku maksudkan
Orang seperti kamu hanya pak turut
Mengoyak perjanjian belia merdeka
Merosak generasi wawasan baru

B: Ya! Kami mahu kebebasan
Tiada kongkongan di mana-mana
Hak asasi tiada sekatan.

C: Merdeka?
Apa yang kalian fahami tentang kemerdekaan?
Adakah kebebasan membangkang tak tentu hala?
Adakah penghapusan budi bahasa yang dipinta?

A: Mereka hanya guru yang dilantik menjadi jaga
Mereka hanya jaga yang diberi makan oleh kita

C: Mengapa lancang sungguh lidahmu kawan?
Istighfarlah sebelum menderhaka terus

B: Benar katanya wahai sahabatku yang lemah
Mereka tiada secebis kuasa untuk merebahkan kita
Kita kuat, muda bertenaga bakal memerintah negara

C: Jika begini belia pewaris bangsa
Akan hancurlah negara merdeka
Dibawah panduan orang yang buta

Dulu, aku juga seperti kalian
Tiada memahami erti pengorbanan
Sangkaku hanya ayah dan ibu kandung
penjaga seumur hidupku yang kusanjung
Aku dendam bila dijentik hatiku oleh guru
Berontak tak sudah bila ditegur dinasihat guru

Kamu tidak merasai apa yang aku lalui
Kerna kamu punya segala kemewahan
Kasih sayang keluarga tiada kepayahan
Hanya pandai menuding mencari kesalahan
Jika kamu tidak mahu secebis kasih guru
Jangan halangi aku mencintai mereka

Kenapa tidak dibuka sedikit ruang di hati
Mengenali dan memahami kegetiran mereka?
Mengapa tidak disayangi mereka
bagai ayah dan ibu sendiri?


Mereka hanya insan biasa
Berjuta kali tak jemu mengasuh
Mencari jawapan kedegilan kita
Demi mendidik dan memberi makna
Kepada kita yang teraba-raba

Jika kamu sudah dijangkiti kuman hasad
Jangan dibabit adik-adik kecil yang suci
Menimba ilmu dan menagih kasih guru

Malulah pada diri sendiri
Kerana tidak layak menjadi contoh
Membimbing generasi yang bakal mengganti

A: Kenapa tidak aku terfikir sejauh itu
Andai aku benar-benar terlalu bijak
Andai aku lebih arif dari guru
yang berkorban masa dan keluarga
demi kita anak bangsa
yang tiada talian darah dengan mereka,
mengapa tidak aku ditempat mereka?

B: Aku….
Aku hanya menurut kata dia
Aku percaya hasutan dia
Kusangka dia rakan terbaik
Kerana dia bijak berkata
Aku malu denganmu sahabat
Aku menyesal dijadikan alat

Akan aku ikuti nasihatmu
Tidak malu aku menyesal
Untuk guru yang telah kuabai
Aku berjanji padamu guru
Akan kubawa segala petunjukmu
Membangun diriku dan bumi tercinta

A: Sahabat…
Tidak kuduga dendam ini sia-sia
Membunuh hati dan jiwa nurani
Terima kasih kerana mengejutkan aku
Menunjuk kebenaran sebelum terlewat

C: Rakan…
Tiada guna terus mendabik
Bila kesedaran sudah terpancar
Tiada salah kembali ke mula
Campakkan egomu yang berbara

A: Malu bukan diriku
Keegoan hanya ciptaanku
Jika aku bisa memberontak
terhantuk dan tersedar laluanku
Tiada yang lebih layak buat diri ini
Selain anak didik yang terlupa diri
Tahu semangkuk, egonya setalam

B: Biar bakal meninggalkan dunia kecil di sini
Akan kubawa jasa bakti kalian guru-guruku
Keseluruh pelusuk benua dan ceruk rantau
Agar tiada lagi mereka yang alpa sepertiku

C: Kami tidak bijak, kami tidak berkuasa
Tapi hormat tak berbelah dua

SEMUA: 
Kami sanjung dirimu
Kami perlu asuhanmu
Kami sayang padamu
Kau lah pembimbing
Kau lah penyuluh
Kau lah sahabat
Kau lah ayah
Kau lah ibu…

Maafkan keterlanjuran kami, guru.
Izinkan kami terus menyayangimu…

--------------------------------------------------------------------------------------------

KARYA BUAT GURU TERCINTA:
Shahriza Mahmud.

thursday, june 15, 2006



Sunday, May 28, 2006

UJIBAKAT ASTRO


Riza baru balik dari ujibakat untuk drama bersiri Astro. Ramainya bakat-bakat baru yang mencuba nasib. Ada seorang kakak tiba-tiba bertanya kepada Riza,"Riza saja datang je kan?". Saya jawab,"Tak lah.Saya dipanggil untuk audition.".Dia tanya balik,"Takkan dah lama berlakon pun nak kena audition lagi?".Saya jelaskan,"Apa salahnya.Ini kerja kita.Kalau orang kata kena ujibakat,kita buat je lah..". Kakak tu tersenyum. Bersama saya sewaktu ujibakat termasuk Zaibo,Sazzi,Nash dan ramai lagi artis yang ternama. Apa salahnya kalau kita benar-benar nak mencari makan dalam bidang seni ini secara ikhlas... :)

Saturday, May 27, 2006

KURSUS SENI DALAM KEFAHAMAN ISLAM

Kursus ini dianjurkan oleh JAKIM dengan kerjasama pejabat KEKKWA dan GAFIM. Riza baru balik dari Hotel Awana Genting, berkampung di sana dari 25-27 Mei 2006. Ramai karyawan dari semua persatuan seni menghantar wakil. Kursus berjalan dengan lancar. Kecoh berbicara tentang kelonggaran penapisan filem yang tak menentu garis panduannya sehingga tercetusnya resolusi yang telah diserahkan kepada Menteri Penerangan Malaysia melalui Timbalan Pengarah Penerangan, Puan Adilah. Hemm... Panjang ceritanya!

Tuesday, May 23, 2006

Busy day for me! I love it!



8.30am - 12.30pm:
Crown Princess Hotel, for Film Documentary Workshop by Discovery Channel producers-Vikram Channa and Miss Kwan. Very interesting!

LUNCH

2.30pm - 3.30pm:
Launching of Documentary Filmaking by Dato'Rais Yatim at the same location.

4.30pm:
Zoooom to Ulu Langat for sitcom shooting with Kirawang Sdn Bhd.

MISS MY KAKI sitcom series today at 6pm-RTM1.

10.53pm:
HERE! Lost words for details. Sorry... See ya!

Wednesday, May 17, 2006

PELAKON BARU


MASTERSHOT Event sedang mencari bakat baru dalam bidang lakonan khususnya dan bidang kesenian lain amnya untuk diketengahkan sebagai pelakon filem,tv dan teater.

Sila hantar gambar dan maklumat diri kepada:
master@mastershot.biz

ATAU hubungi:
Phone: 016 9955539,
http://www.mastershot.biz

Thursday, May 11, 2006

Kursus Seni Teater dan TV


PROGRAM ASAS LATIHAN SENI
DIKENDALIKAN OLEH: SHAHRIZA MAHMUD

yoriza@yahoo.com
master@mastershot.com

1. FORUM: Mengenali Kerjaya Seni & Persediaan Sebelum Ujibakat.

· Pendedahan peserta kepada situasi pekerjaan di dalam dunia hiburan
· Gambaran situasi ujibakat
· Persediaan sebelum ujibakat


2. Kursus Asas Senilakon Teater Dewasa – 13 tahun dan ke atas.

· Pengenalan kepada latihan asas gerak kerja seni lakon.
· Olah tubuh
· Pembinaan watak
· Penghayatan watak

3. Kursus Asas Senilakon Teater Kanak-kanak – 12 tahun dan ke bawah.

· Pengenalan kepada senilakon
· Pendedahan kepada pemikiran kreatif
· Adaptasi seni teater kepada penggunaan harian di dalam pembelajaran.

4. Kursus Asas Senilakon TV & Filem

· Pengenalan kepada suasana di lokasi pengambaran
· Mengenali skrip tv
· Lakonan di depan kamera

***Harus melepasi ujibakat atau mengikuti kursus asas senilakon teater.

5. Kursus deklamasi puisi & lakon puisi (dekon)

· Penghayatan mendeklamasi puisi
· Pengucapan puisi pertandingan
· Pengucapan puisi persembahan

6. Kursus Penulisan Skrip TV & Filem

7. Kursus Asas Pengarahan Drama/Dokumentari

8. Kelas Senamteater

· Alternatif dan kelainan dari senaman sedia ada seperti senamrobik atau yoga.
· Bercorak permainan di dalam teater yang menghiburkan
· Mengurangkan tekanan kerja
· Meningkatkan kreativiti
· Senaman yang tidak menyakitkan dan menghiburkan untuk mereka yang mahu mengurangkan berat badan.

http://www.mastershot.biz