Saturday, May 30, 2009

Kuala Lumpur Merokok! ;)

Kuala Lumpur hari ini, jam 1750 hrs.


Kuala Lumpur semalam, jam 2000 hrs.

Kasihan Kuala Lumpur. Kenapa kau merokok? Sudah kupesan berkali-kali, merokok membahayakan kesihatan. Sekarang siapa yang susah? Akuuuuu juga... sebab badanku dah kering, tekak ku kehausan berpanjangan.

Kasihan Kuala Lumpur. Bukan salahmu sayang. Semua tempat nampaknya mengalami masalah yang sama. Aku harap janganlah kau tambahkan lagi dengan segala jenis asap yang tak sepatutnya. Bukan Kuala Lumpur sahaja yang akan berjerebu, hatiku jua kan kelabu.. ;)

Friday, May 29, 2009

~ FLASHBACK ~ Watak Soo Peng Berkesan

HIBURAN: UTUSAN MALAYSIA

ARKIB : 28/11/2002
Shahriza - Watak Soo Peng berkesan

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
SOO Peng adalah watak yang dikhaskan untuk perempuan Cina yang menjadi anggota komunis. Watak yang dimunculkan dalam drama bersiri Antara Maruah dan Pengorbanan ini memang memualkan hati penonton.

Justeru tidak ada pelakon Cina yang mampu membawakan watak tersebut, apa lagi lokasi penggambarannya di dalam hutan, maka peranan itu diberikan kepada Shahriza Mahmud.

Selepas beberapa siri drama yang disiarkan setiap Sabtu jam 9 malam di TV1 itu, nama Shahriza juga sedikit sebanyak sudah bertukar menjadi Soo Peng. Ini bererti Shahriza mampu menjiwai wataknya dengan begitu baik.

Meralitikan watak itu memang menggembirakan Shahriza, namun bagi mempastikan watak Soo Peng berkesan, beliau sering menggamati pergerakan wanita Cina kampung.

Melalui pengamatan itulah beliau cuba mengembangkan karektor Soo Peng mengikut arus jalan cerita.

Menceritakan pengalamannya sewaktu mula-mula melakonkan watak Soo Peng, kata Shahriza, sepanjang berada di lokasi selama empat bulan beliau sentiasa bertutur dalam loghat wanita Cina.

``Buka saja mata setiap pagi, saya pasti bertutur loghat wanita Cina untuk membiasakan diri.

``Malahan, sepanjang di lokasi saya membiasakan diri sebagai Soo Peng,'' katanya yang berlakon sebagai wanita Indonesia dalam teater Lantai T.Pinki sebelum itu.

Ternyata penghayatannya yang begitu mendalam membuatkan watak Soo Peng. Tidak mustahil beliau akan tetapi diingati dengan watak tersebut.

Shahriza yang mula berlakon teater sejak 1986 adalah seorang pelakon serba boleh. Jelasnya, beliau bersetuju membawa watak hitam (Soo Peng) kerana inginkan kelainan.

Malahan, beliau rela melakonkan watak yang jarang menjadi idaman pelakon wanita lain. Kata Shahriza, `hidup' atau `kaku' sesuatu watak bergantung kepada lakonan seseorang pelakon.

Katanya, jika diberi watak utama sekali pun tetapi jika pelakon tidak mampu menjiwainya maka watak tersebut tetap nampak hambar.

``Sebenarnya melakonkan watak yang dianggap tidak penting itulah lebih mencabar daripada watak utama. Pertama, kita kena fikir macam mana mahu menjadikan watak itu nampak menonjol,'' katanya yang diberi tanggungjawab sebagai penolong pengarah untuk filem Janji Diana.

Shahriza yang mempunyai sasaran tersendiri dalam kerjaya seni berkata, buat masa sekarang beliau sedang melengkapkan diri diri untuk menjadi seorang pengarah.

Beliau yang mempunyai kelulusan dari Akademi Seni dalam bidang pengarahan itu sebelum ini pernah menjadi penolong pengarah kepada Yusof Kelana dan Ebby Saiful.

``Sewaktu Datuk Yusof menawarkan saya menjadi penolong pengarahnya, saya tidak terus terima. Saya mengambil masa selama sebulan untuk memberikan jawapan.

``Bukan apa, saya takut tidak dapat mengikut rentak kerjanya. Tapi sekarang, saya rasa gembira kerana diberi peluang tersebut,''jelasnya.

Meskipun sekarang ini beliau sibuk sebagai penolong pengarah, namun Shahriza tidak melupakan dunia lakonan.

Sebaik sahaja selesai melaksanakan tanggungjawabnya untuk Janji Diana, beliau akan berlakon dalam sebuah drama bersiri pula.

Selain itu beliau juga bakal berlakon teater yang akan dipentaskan pada Januari tahun depan.

Melihatkan kepada pelbagai bidang yang dilakukan oleh Shahriza, pelakon itu mengaku beliau mempunyai impian yang besar dalam bidang yang dilayarinya.

Kata Shahriza, beliau ingin mempergunakan ilmu yang dimilikinya dan bukan sekadar dikenali sebagai pelakon.

``Sesiapa sahaja boleh berlakon tapi tidak semua yang mampu menampilkan lakonan berkesan. Untuk menjadi seorang pelakon dihormati, kita perlu belajar teknik mengawal pergerakan dan vokal.

``Jika kita mempunyai asas lakonan maka kita boleh mengembangkan bakat menjadi seorang pelakon yang disegani,'' katanya terus terang.

~ Remp-it ~


Bila datang waktu marah,
kaki cilok kena maki

Bila datang waktu kasih,
sedih tengok perlakuan aksi

Kadang-kadang berdebar hati,
terbayang jika mereka rebah mati

Dalam diam,
hanya doa mampu kuberi.

Shahriza Mahmud
29 Mei 2009 ~ 12:00pm
Kuala Lumpur

Thursday, May 28, 2009

Puisi Tanpa Tema, Tapi Unggul ~ BERITA HARIAN


* SASTERA

Oleh Hasnidawina Hasim
bhsastera@nstp.com.my

Penggerak majlis untuk Perhimpunan Penulis Muda Nasional dengan 170 peserta

GELANGGANG baca puisi sempena Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini, tetap memberi kepuasan kepada penyair muda dan veteran meskipun acara berlangsung dalam suasana santai.

Ketiadaan tema pada malam terbabit, rupa-rupanya lebih menggerakkan lagi mereka untuk terus tampil di pentas puisi dengan persembahan bebas, tetapi tidak menghampakan baik kalangan penyair berjenama mahupun baru.

SM Zakir yang sering menjadi usikan peserta hampir pada setiap sesi perhimpunan kerana faktor umur melepasi tahap usia muda, berdiri gah di atas pentas tatkala mendeklamasikan puisinya, Manusia Cinta, tema sensitif untuk golongan remaja.

Katanya aku adalah manusia cinta yang paling jahanam
cuba mendirikan batu-batu cinta seperti Prambanan
yang disiapkan dalam satu malam oleh kuasa para jin
rusukku pecah ditembak panah dan mengalir luka
cintaku yang merah seperti lahar Merapi yang pecah
di Kaliurang yang terbakar menanggung amarah
Nyi Roro Kidul yang menjelma dari Laut Selatan
cintaku menyelinap di kraton mendatangi istana air
melihat sang raja di menara dengan 40 selirnya
memilih-milih selir istimewa dari permandian Taman Sari
cinta apakah yang aku miliki menjadi begitu terlarang
tetapi laju menerbang seperti panah Sang Rama
langkahku menjadi kuda di padang para perajurit
Sasono Hinggil yang terkepung oleh tembok kraton
melepasi dua beringin di alun-alun selatan
dan menjadi hasrat yang terkabul oleh cinta
dari luka kasih yang sering lewat dan sering tenggelam
bagai ikan yang merenangi lautan yang tidak bertepi.


Timbalan Pengerusi Tetap Pena, Dr Ibrahim Ghaffar, memberi semangat kepada penulis muda lewat puisinya, Kesaksian; Perjuangan dan Keberanian II, bagi memperingati pemergian Sasterawan Negara (SN), (Dr) Arena Wati.

I
10 Julai 1925 layar kehidupan Ayah terkembang
Di bumi Makassar, Gelora kejauhan Ujung Pandang
Dialah Arena Wati itu; Dahlan bin Abdul Biang,
Pulau Tumasik riang mengucapkan selamat datang
Dan Kisah Tiga Pelayaran rias seorang pengarang
Bagai hulubalang menghamparkan gelanggang
Dan Sandera meningkah pencak dan rentak gendang
Seakrab Kuala Lumpur yang abadi dikenang
Bila 25 Jan. 2009 Ayah ikhlas berangkat pulang
Dan Helang Makassar telah berhenti dari terbang....

III
Meraut rindu; Di pintu waktu setelah kepergian
Satu demi satu Sasterawan Negara menemui Tuhan
Dan kami masih di sini meneruskan kelangsungan,
Di bawah langit bangsa yang semakin rawan
Mengutip reja-reja jati diri buat merajut ketuanan
Setelah lidah bangsa tidak diizin melafazkan
Bahasa ibunda; kami akan terus perjuangkan
Selagi nyawa dikandung badan
Dan mati sebagai orang beriman.
Amin

Koordinator Pena, Dr Ahmad Razali Yusof, turut memeriahkan malam terbabit dengan puisinya, Puisi Dari Benua Diam yang membakar semangat khalayak betapa puisi mampu membangkitkan semangat perjuangan bangsa.

Kurempuh lagi belantara membawa raung
Untuk mengheret puisi-puisi
Yang masih tertembus
Di kamar waktu
Dan rasuk bara menyintak parah luka
Pejuang-pejuang menghunus
Bahasa keris yang tertikam di rusuk
Ruang dewan dan balar para penghuni
Mengatur langkah duka mencari tafsir
Terbanam dalam akta yang luka
Membarah, menusuk daging khayalku.

Aku bangunkan kembali dengan jerit
Dan raungan luka bangsa
Membina ruang kukuh dengan teguh angkuhku
Lewat belentara puisi dan tembok sukar
Dari dera payah pentafsir petualang akal
Yang sesat di kota sasau kejam mimpi
Lewat belantara dan tembok sukar
Dari dera payah pentafsir
Memerangi songsang akal
Yang sesat di kota sasau kejam mimpi
Sedang para sarjana masih bersembang
Tentang tesis yang sering ditafsir kembali
Mengangkat roh dan martabat bangsa
Semua khalayak bersorak mengikut arahan
Kerana dendam dan harapan telah ditangguhkan
Ke ruang lain yang lebih jauh
Ke padang khayal dan dunia diamku.


Jadual padat perhimpunan kali ini, tidak mematahkan semangat peserta mahupun penyair untuk terus bertahan hingga ke penyudah majlis apabila ada antara mereka membuat persembahan spontan yang wajar mendapat tepukan, meskipun tanpa persiapan awal.

Pelakon drama, Shahriza Mahmud, tidak melepaskan peluang untuk beraksi di atas pentas puisi pada malam itu dengan penuh emosi mendeklamasikan puisinya, Cetusan Dari Erin Sharina.

Dik Erin,
Itu tandanya ibu menyentuhi dadamu
Tatkala kau tidak menyedari hadirnya.

Dia masih merenung wajah mulusmu
Di sisimu setiap saat dan ketika berlalu
Jika kau berlagu al-Fatehah kepadanya
Nescaya ibu juga berdendang untukmu.

Walau alam ibu dan anak terpisah jauh
Namun dia tetap menjaga dan membelai
Tanpa kau sedari, tanpa kau merasai
Dia ada di sisi, mungkin juga menangisi
Melihat anakanda tercinta merindui.

Percayalah sayang, ibu juga mencintai
Ketahuilah kasih, ibu menantimu di syurgawi.

Majlis malam itu turut dihadiri nama besar dunia sastera tanah air seperti Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Baha Zain, Nisah Haron, Amirudin Ali, Sahrunizam Abd Talib, Rahimidin Zahari, Muhammad Lutfi Ishak, Ummu Hani Abu Hassan, Salman Sulaiman dan Ibnu Ahmad al-Kurauwi.

P.S: Puisi yang disiarkan cuma sebahagian di dalam BERITA HARIAN ONLINE. Didalam suratkhabar lebih pendek.

Yang asal KLIK SINI.
DARI SURATKHABAR KLIK SINI.
Terima kasih SAL kerana mengambil inisiatif scan dan upload gambar! ;)

Wednesday, May 27, 2009

Doa Naik Kenderaan


Salam,
Doa ini memang Riza tampal kat stering kereta sejak bertahun lalu. Jangan pula ada yang bertanya, tampal saja ke? Setiap kali naik kereta, sendiri mau ingat lah! ;)

Kalau dengan ayah, bila tiap kali naik kenderaan, ayah akan bacakan untuk semua..tapi bila sendirian..Riza jadikan ini bekalan.. Kalau ada yang minat, boleh tengok dan baca. Kalau tak pandai baca jawi, bacalah makna ruminya itu.. Allah tetap akan mendengar.. ;).. tetapi jangan malas.. cari jalan untuk membaca yang jawinya juga.. hehe!

Tuesday, May 26, 2009

~ Kabut ~


Sebenarnya tidak ada sesiapapun yang tahu apa sebenarnya yang sedang bergolak di dalam jiwaku yang parah ini.. Ianya bukan sekadar hanya apa yang kamu dengar, baca dan ketahui dariku yang telah ku beritahu..

Bukan, bukan, bukan..

Itu hanyalah secebis dari apa yang telah melingkari dan menyesakkan nafas serta menutup pandangan akal untuk minggu-minggu terakhir ini.. Ada lagi.. Ada lagi.. Biarkanlah ku simpan ianya menjadi kekecewaan satu jiwa sahaja.. Aku tidak mahu mengheret sesiapapun ke dalam kancah permainan rasa yang berkabut ini..

Mahu atau tidak, aku terpaksa melalui transformasi ini, atau mungkin satu noktah di dalam keterpaksaan untuk satu lagi buku kehidupan yang perlu melalui fasa baru.

Semoga Allah memberi petunjuk yang jelas.

Amin..

~ Benci ~


Benci ku hanya gurauan
yang semakin tidak keruan.

Hatiku terus menangis
kerana tiada kebencian.

Penantian belum berakhir,
seksaan telah terzahir..

Shahriza Mahmud
26 Mei 2009 ~ 12:06pm
Kuala Lumpur

~ Kuburkan ~



Kuburkan nota itu
Hancurkan ceritanya
Aku tidak mahu lagi
mengenang kesakitan
yang membunuh diri.

Shahriza Mahmud
26 Mei 2009 ~ 6.50am.
Kuala Lumpur.

GAMBAR

Monday, May 25, 2009

~ Pembunuhan Hati ~


Mudah menghalalkan perlakuan pembunuhan,
dengan meletakkan kesalahan pada ketentuan,
padahal tindakan, hati memberi persetujuan!

Shahriza Mahmud
25 Mei 2009 ~ 22.00pm
Kuala Lumpur.

Saturday, May 23, 2009

~ Mencari Aku.. ~


Mungkin ada aku di celahannya
Mungkin tiada aku di antaranya

Mungkin satu darinya adalah aku
Mungkin ikatan aku reput dahulu

Mungkin aku yang keliru
Mungkin aku terburu-buru

Mungkin aku,
langsung bukan aku..

Shahriza Mahmud
24 Mei 2009 ~ 1.04am.
Puteri Resort,
Melaka.

Thursday, May 21, 2009

FLASHBACK ~ Teater Hikayat Qaziq ~

Hikayat Qaziq Absurditi masyarakat Malaysia?

Video sesi latihan di DBP. Rakaman menggunakan 'camera phone' sahaja.

ARKIB UTUSAN: 27/08/2007

Oleh: AZMAN ISMAIL

PENGALAMAN menonton pementasan naskhah Hikayat Qaziq karya Siti Jasmina Ibrahim dan diarahkan oleh A. Wahab Hamzah baru-baru ini memunculkan beberapa pertanyaan.

Adakah naskhah yang dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu sebuah karya absurd atau paparan absurditi masyarakat Malaysia hari ini?

Jika diteliti dengan terperinci, naskhah tersebut sebenarnya menggambarkan absurditi Malaysia dan dunia hari ini. Kejadian seperti pembuangan bayi, korupsi dan perebutan kuasa adalah sebahagian daripada absurd tersebut.

Hikayat Qaziq sendiri merupakan manifestasi daripada dua zaman yang berbeza tetapi mengangkat persoalan yang sama menggunakan simbol.

Siti Jasmina menyampaikan mesej tentang unsur-unsur absurd tersebut melalui perlambangan tertentu seperti peramal berniat jahat, Warangan.

Kedua-dua zaman yang berbeza dalam naskhah tersebut iaitu moden dan purba menceritakan perihal watak utamanya Raja Qaziq dan Qaziq.

Kedua-duanya terpaksa mengembara mencari jawapan ke mana menghilangnya bapa masing-masing dan kaitan dengan sejarah Kota Lama serta sumpahan yang terjadi di atas diri mereka.

Biarpun zaman berbeza, isu yang sama seperti cinta, kasih sayang dan konflik dengan kelompok tertentu diketengahkan dengan begitu berkesan oleh Siti Jasmina dan A. Wahab.

Demi keselamatan, kedua-dua watak utama, Raja Qaziq dihantar berguru di Pergunungan Rawi manakala Qaziq pula membesar dan menuntut di kota London.

Bagaimanapun, mereka tetap mencari kebenaran dan menyelami rahsia sebenar khususnya menyelamatkan Kota Lama daripada kemusnahan seperti yang disumpah oleh Warangan.

Sebenarnya ‘kekaburan’ yang ditonjolkan dalam Hikayat Qaziq dan isu-isu semasa masyarakat tersebut mengingatkan kita kepada naskhah-naskhah absurd Samuel Barclay Beckett.

Watak Raja Qaziq dan Qaziq seolah-olah watak Estragon atau Vladimir dalam naskhah drama terkenal Beckett, Waiting for Godot.

Apa yang diketengahkan oleh Siti Jasmina menerusi karya yang meraih hadiah utama Sayembara Mengarang Sempena 50 Tahun DBP ialah kerencaman hidup dan ada yang tidak mampu difahami dengan logik.

Selalu ada perkara-perkara dan polemik yang tidak disangka-sangka, tak boleh difahami, aneh, tidak masuk akal dan sesuatu yang memerlukan manusia harus belajar menerima.

Sama seperti Hikayat Qaziq, karya Beckett datang dengan sesuatu yang kecil, peristiwa ringkas yang sebenarnya ada di depan mata kita. Namun, melalui Waiting for Godot, beliau berjaya menyedarkan orang bahawa manusia sentiasa berhadapan dengan absurditi dan sesuatu yang kadang-kadang tidak rasional.

Naskhah-naskhah Beckett bukan seperti sebuah realisme seperti dramaturgi Emile Zola, Henrik Ibsen atau George Benard Shaw. Sebaliknya ia menekankan aspek simbol dalam mengutara pelbagai persoalan.

Karyanya (termasuk Waiting for Godot) adalah gambaran teatrikal yang pelbagai dimensi yang secara ekspresif bukti daripada pengalaman peribadi pengarang.

Watak Qaziq sendiri mungkin sebahagian situasi yang ada dalam masyarakat Malaysia hari ini. Pencarian seseorang terhadap masa yang memerlukan pengorbanan.

Kota Lama itu sendiri mungkin dapat ditafsirkan dalam banyak perspektif. Boleh sahaja ia merupakan hegemoni atau nilai-nilai tradisionalisme masyarakat Melayu.

Namun, secara tidak langsung, Hikayat Qaziq menonjolkan sebuah paparan absurditi masyarakat Malaysia dan dunia hari ini. Mungkin persoalan itu bukan isu yang paling utama.

Aspek kasih sayang, cinta dan pengorbanan adalah mesej sebenar Siti Jasmina dan A. Wahab tetapi kerencaman kisah hidup manusia-manusia di sekitarnya adalah mesej sebenar.

Namun, secara tidak langsung, Siti Jasmina membicarakan tentang aspek manusia dan dimensi-dimensi sosial yang negatif dengan lengkap.

Ada watak-watak negatif yang cuba menghancurkan manusia lain dengan menggunakan pelbagai helah dan sedaya upaya mencari kepentingan diri semata-mata.

Tidak dinafikan dalam beberapa aspek unsur absurd wujud pada naskhah itu sendiri. Kadang-kadang ia mendekati konsep pementasan bangsawan misalnya adegan pengembaraan Raja Qaziq dan kewujudan burung gergasi bernama Cemarapati.

Sementara itu, Hikayat Qaziq dijayakan oleh Azhan Abd. Rani (Raja Qaziq), Saifullah Mohd. Ghazali (Qaziq), Badrul Hisham Mohd. Noh (Warangan), Sabri Yunus (Musafir), Adman Salleh (Prof. Fariq) dan Rasdi Daud (Raja Manat).

Turut menjayakannya ialah Zuriah Mohamad (Perwara Suria), Nordayana Tajol Aris (Suria), Hisham Ahmad Tajudin (Tan Sri Syahid), Mazin Siraj (Steven Parker), Shariza Mahmud (Rabiah), Cemarapati (Sulaiman Marijan) dan Arif Ujang (Peniaga).


Rakaman dari TV oleh: shahboy83

Wednesday, May 20, 2009

FLASHBACK ~ Teater Lorong dilabelkan 18SX

Gambar LORONG dipersembahan yang pertama di Taman Budaya Kuala Lumpur ( Dulu Panggung Drama ), sekitar tahun hujung 80an. Duduk kiri, SHAHRIZA MAHMUD, tengah RAJA NALIZA, kanan sekali, IDA.

ARKIB UTUSAN MALAYSIA: 30/10/1999
Teater Lorong dilabelkan 18SX

TEATER Lorong arahan Amran Nasruddin karya Dr. Anuar Nor Arai hanya boleh ditonton oleh mereka yang berusia 18 tahun ke atas. Teater ini diklasifikasikan mengandungi sedikit unsur-unsur yang tidak wajar disajikan kepada penonton di bawah usia tersebut.

Justeru, apakah sebenarnya isu yang terkandung dalam Lorong sehingga ia dikategorikan sedemikian rupa? Apakah ia hanya gimik pihak penganjur iaitu Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Wilayah Persekutuan (PKKWP) dan Artis Penjuru Alam (APA) bagi memancing penonton atau ia benar-benar layak diklasifikasi sedemikian?

Menonton kira-kira 30 minit fregmen teater tersebut baru-baru ini, didapati adalah wajar ia dihadkan kepada golongan tertentu. Namun, ia bukanlah bermakna teater ini mengandungi unsur-unsur negatif yang membahayakan pemikiran masyarakat, sebaliknya persoalan yang ditimbulkan hanya layak difikirkan oleh penonton yang matang.

Lorong mengetengahkan kisah yang relevan tentang manusia dan kemanusiaan. Tidak ramai yang berani membawa isu pelacur secara terang-terangan kerana ia dianggap menjijikkan. Justeru, isu ini diketepikan begitu saja biarpun ia terus menular dalam mana-mana masyarakat dunia ini.

Sedia diketahui bahawa pelacuran adalah profesion tertua di dunia. Diakui juga bahawa profesion ini salah di sisi mana-mana agama Tuhan di dunia ini. Namun, ia terus berkembang dan masih belum dapat dikawal.

Bagaimanapun, Lorong yang diterbitkan kali kedua oleh APA ini bukan jawapan kepada penyelesaian kerjaya ini. Teater yang dipentaskan mulai 3 hingga 7 November ini di Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur hanya menelusuri perasaan manusia-manusia yang menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber rezeki.

Hakikatnya, watak-watak yang ditampilkan seperti Ruby, Arfah dan Tina memiliki nilai yang tersendiri.

Biarpun mereka adalah pelacur tetapi mereka tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya. Mereka juga memiliki nilai murni biarpun ia tidak kelihatan secara lahiriah.

Manusia-manusia yang dianggap tersisih daripada norma kehidupan normal ini juga digambarkan sebagai masyarakat yang mengetahui tentang perkembangan dunia yang berlaku di sekitar mereka. Perkara-perkara ini mereka perdebatkan dalam suasana yang sinikal.

Antara pelakon teater ini ialah Wan Maimunah, Rima Rashidi, Shahriza Mahmud, Harun Salim Bachik, Roslan Salleh dan Noorkhiriah Shapie.

Tuesday, May 19, 2009

FLASHBACK ~ Hari Seniman Negara Iktiraf Insan Seni

ARKIB UTUSAN MALAYSIA: 05/11/2007

Oleh ABD. AZIZ ITAR


MUSTAPHA Maarof (tiga dari kanan) bersama ahli-ahli Seniman menunjukkan Kertas Cadangan Konsep Hari Seniman Negara pada sidang akhbarnya di Finas, Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.

SEMPENA sambutan Hari Seniman Negara yang akan disambut pada 29 Mei tahun depan, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) telah mencadangkan 22 kategori buat insan seni yang layak untuk diiktiraf mengikut cabang-cabang seni yang berbeza.

Antara kategori seniman yang akan diiktiraf pada hari khusus untuk insan seni itu ialah pelakon, pengarah, pelawak, penari, pemain silap mata, penyanyi, pemuzik, pencipta lagu, penulis skrip, pengacara, pemain wayang kulit, penyair, pelukis dan pengulas sukan.

Bagaimanapun, 22 kategori yang diusulkan itu mungkin belum mencukupi kerana definisi seniman itu sendiri merangkumi suatu bidang seni yang amat luas skopnya.

Justeru, Seniman selaku persatuan yang mengusulkan sambutan tersebut kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa) tentunya berdepan dengan cabaran besar supaya tidak ada bidang-bidang seni lain yang tercicir untuk menerima pengiktirafan pada sambutan itu nanti.

Menurut Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof, 22, kategori yang dicadangkan itu belum muktamad, sebaliknya mereka akan terus membuka lebih banyak kategori penyertaan kepada insan-insan seni lain yang layak diangkat sebagai seniman pada hari tersebut.

“Kita masih menunggu penjelasan daripada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berhubung perkara itu.

“Ini kerana, istilah seniman itu luas. Contohnya, pengukir seni khat juga boleh digelar sebagai seniman. Dalam hal ini, kita akan terus membuka cadangan dan penyertaan supaya lebih ramai seniman akan dapat diberi pengiktirafan.


“Hari Seniman Negara meraikan semua golongan orang seni di negara ini dan ia tidak terhad kepada ahli-ahli Seniman sahaja,” katanya ketika di temui selepas sidang akhbar di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Timbalan Presiden Seniman, Aimi Jarr, Setiausaha Kehormat, Yusof Kelana, Ahli Jawatankuasa, Shariza Mahmud serta Pengerusi Finas, Tan Sri Dr. Jins Shamsudin.

Hari Seniman Negara yang pertama kalinya akan diadakan itu diusulkan oleh Seniman di mana kertas cadangan sambutan perayaan itu telah dihantar kepada Rais pada 3 Mei lalu.

Pada 25 Oktober lalu, Rais mengumumkan bahawa kabinet bersetuju memilih 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Seniman Negara di mana kerajaan juga menyediakan peruntukan RM8 juta untuk mengadakan pelbagai program sempena sambutan tersebut.

Jelas Mustapha, beliau menyeru supaya semua karyawan seni di negara tanpa mengira bidang seni, agama dan kaum supaya bersatu hati dan memberi sokongan kepada acara-acara yang akan dianjurkan pada sambutan itu kelak.

“Selama ini, kita ada macam-macam perayaan seperti Hari Buruh yang diadakan pada setiap 1 Mei tetapi kita belum ada satu hari yang khusus untuk meraikan orang seni.

“Sebab itu, apabila pihak kerajaan terutamanya KeKKWa memberi pengiktirafan kepada kita (golongan orang seni) maka kita haruslah menghargainya.

“Kita (Seniman) bukanlah meminta cuti umum pada sambutan Hari Seniman Negara, tetapi cukuplah kalau setiap orang seni datang beramai-ramai dan memberi sokongan pada setiap program yang akan diadakan pada hari itu nanti,” ujarnya.

Sementara itu, Mustapha juga belum memutuskan sama ada setiap tokoh yang mendapat pengiktirafan pada Hari Seniman Negara akan menerima hadiah wang tunai atau sebaliknya.

Katanya semua itu bergantung kepada keputusan dan budi bicara KeKKWa selaku kementerian yang bertanggungjawab memberi pengiktirafan itu.

“Kami (Seniman) hanya mencadang dan menganjurkan perayaan ini sahaja. Terpulanglah kepada KeKKWa. Walaupun peruntukan yang diberi oleh KeKKWa berjumlah RM8 juta tetapi bajet itu juga akan digunakan bagi membiayai kos penganjuran dan acara-acara lain pada sambutan itu nanti,” katanya lagi.

Sunday, May 17, 2009

HIDDEN is not hiding anymore!

Ok, before you watch this promo, bare in mind, I am one of the cast.. Can you find me? Try it.. Look closely.. hahaha!

World negative rights of horror/suspense film HIDDEN starring Christopher Atkins, Erra Fazira, Ellan Daly, Carlos Shona, Sinha Ro, Farooz, Razeeb, Lim Kung Seng, Shahriza Mahmud, Shawar Ali & Shahzaad.

SYNOPSIS :
Relations and emotions have no boundaries. They are not restricted to the living world but prevail beyond too. HIDDEN is a story of such a strong relation between Adam and Dian and the emotions they share. Dian is concerned about her son as he has become silent and has got a wierd habit of hiding. She restricts him from moving away from her after a stranger informs her that enclosed places pose a danger to him. His predictions comes true when Adam goes missing and is nowhere to be found. Everyone is unaware about his death. But the son comes back to his mother longing for her love and avenges every person who hurts her. How far will this strugle continue? Will Dian accept the love of Adam for the cost of other lives? Can love overcome the limits of life and death?

RONA The Show..

Saturday, May 16, 2009

FLASHBACK ~ Teater Pak Tua ( Sebagai Jarah )

SASTERA

ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 01/09/2005
Teater Pak Tua - Alunan kehidupan harmoni

Oleh WAN NAJIB WAN DAUD



SALAH satu adegan dalam pementasan Pak Tua yang di pentaskan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang baru-baru ini.


KEHIDUPAN dan hasad dengki merupakan elemen yang masih berlaku di kalangan masyarakat hari ini.Ini kerana elemen itu boleh mewujudkan persekitaran kehidupan yang tidak selesa.

Pementasan teater Pak Tua hasil nukilan Datuk Johan Jaafar merupakan naskhah gabungan versi televisyen dan pentas walaupun perbezaan kedua-duanya hanya pada latar belakang masa sahaja.

Teater yang diarahkan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Samat Salleh itu mempamerkan keprihatinan Johan membangkitkan perihal manusia mengubah alunan rentak kehidupan yang harmoni kepada persengketaan yang dipengaruhi oleh hal-hal persekitaran.

Berkisar dalam Paya Juara, Johan mengupas sebuah perkampungan yang diterokai oleh dua orang sahabat karib iaitu Pak Tua dan Hitam.

Pak Tua merupakan seorang guru silat yang berpengaruh manakala Hitam seorang penghulu yang mulanya sangat akrab akhirnya menjadi saingan sesama sendiri gara-gara berebut seorang wa-nita iaitu Mak Tua yang akhirnya menjadi milik Pak Tua.

Saingan kedua ialah kehadiran juru ukur dan peranan Agos mempengaruhi Hitam telah mengubah kehidupan masyarakat Kampung Paya Juara menjadi materialistik.

Terpengaruh dengan janji-janji manis itu, mereka sanggup meninggalkan kampung halaman untuk berpindah ke tempat lain yang belum pasti dijanjikan tempatnya.

Malah penduduk kampung turut dijanjikan dengan ganjaran yang lumayan sebagai habuan mereka untuk berpindah jika bersetuju.

Namun semua janji itu tidak dipersetujui oleh Pak Tua sebagai orang lama di situ dan beliau sanggup mempertahankan Paya Juara dari diceroboh.

Keengganan Pak Tua menjadi penghalang kepada orang kampung untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan bagi menjadikan kampung itu sebagai kubu peperangan.

Akibat tamak dan hasutan daripada Hitam, mereka sepakat mengusir Pak Tua tanpa memikirkan bahawa orang tua itu merupakan orang terawal meneroka kampung tersebut.

Pak Tua mempertahankan haknya walaupun rumahnya dibakar dan ia menimbulkan kemarahan Hitam sehingga mencetuskan pertarungan.

Dalam pertarungan itu, tiada siapa yang tewas malah semua penduduk kampung itu terpaksa mengaku kesalahan mereka dan mengaku kekesalan mereka.

Agos yang menjadi batu api dalam cerita ini akhir dipukul orang kampung kerana menjadi tali barut orang putih untuk menggadaikan Paya Juara bagi dijadikan kubu pertahanan.

Pak Tua dilakonkan oleh Mazlan Tahir, Yaakob Abdul Aziz (Hitam), Dr. Jamaluddin Osman (Utih) dan Shahriza Mahmud (Jarah).

FLASHBACK ~ GSI drama polis yang tidak membosankan


ARKIB UTUSAN MALAYSIA: 21/08/2006

GSI drama polis yang tidak membosankan

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MESKIPUN penonton tempatan sudah serasi dengan siri Gerak Khas yang disiarkan menerusi RTM 2 sejak beberapa tahun lalu, namun kehadiran sebuah lagi drama kepolisian di saluran tersebut tidak akan membosankan.

Ini kerana drama bersiri Gempur Sindiket Intelek (GSI) yang disiarkan pada 9 malam setiap Khamis bermula 17 Ogos lalu amat berbeza dengan cerita kepolisian yang sedia ada.

Drama terbitan Gemilang Network Sdn. Bhd dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu lebih banyak menonjolkan tugasan pihak polis dalam bidang penyamaran dan kehidupan keluarga polis.

Selain itu drama 13 episod arahan Azman Yahya atau Jinggo itu juga berkait antara satu sama lain dan segala persoalan akan terbongkar pada episod akhir. Sementara drama polis yang sedia ada ceritanya tamat pada setiap episod.

Menurut Jinggo, antara perbezaan yang ditonjolkan menerusi drama yang skripnya dihasilkan oleh Shahriza Mahmud itu ialah tugasan polis yang lebih ditumpukan pada usaha membanteras golongan intelek yang sering mengambil kesempatan terhadap golongan muda bagi meraih keuntungan.

“Jenayah yang dilakukan oleh golongan intelek ini lebih dahsyat. Justeru itulah dipaparkan tugas polis menyamar kerana penjenayah peringkat ini sering merancang sebelum mengambil tindakan,” katanya di majlis pelancaran drama tersebut yang dilaksanakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Rancangan) RTM, Adilah Shek Omar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jinggo juga menjelaskan sebelum penggambaran dilakukan, beberapa siri perbincangan dengan pihak berkuasa diadakan bagi memastikan setiap adegan tidak bertentangan dengan etika polis.

“Inilah drama yang pertama kali saya arah tidak dipotong oleh pihak RTM. Saya berterima kasih banyak pada pihak PDRM kerana banyak membantu dan memberi tunjuk ajar sepanjang 45 hari kami menjalani penggambaran,” katanya tentang drama yang menelan belanja sebanyak RM385,000.

Penggambaran yang dilakukan di seluruh bandar raya Kuala Lumpur itu pada Januari lalu menampilkan barisan pelakon seperti Sheila Rusly, Fauzi Nawawi, Jalaluddin Hassan, Zack Taipan, Baharin Abu Hassan, Zul Yahya, Jesse Lim, Roy Azman, Dayang Nabillah, Shahriza Mahmud dan Hairie Othman.


Sementara itu Ketua Unit Media PDRM, Kadet Asisten Supritendan (ASP) Arshad Mat yang turut hadir berkata, apa jua drama kepolisian yang diterbitkan tetap menonjolkan elemen sama.

Antara yang sering dikekalkan adalah untuk menunjukkan kepada orang ramai tentang tugasan sebenar pihak berkuasa.

Ini kerana katanya sejak dari kecil, kanak-kanak sering ditakutkan dengan ungkapan kalau enggan melakukan sesuatu yang disuruh pasti ditangkap polis.

“Kita sering dilontarkan dengan kenyataan kalau salah ditangkap polis. Sebenarnya polis bukan sembarangan menangkap orang. Drama ini bakal mempaparkan tentang tugasan polis dan pengorbanan yang perlu dilakukan oleh mereka dan ahli keluarga, sebab kerjaya ini penuh cabaran,” katanya yang sering memberi pandangan sejak awal hingga akhir drama menjalani penggambaran.

Bagi Sheila Rusly yang memegang watak Inspektor Tina berkata, setiap aksi lasak yang digayakan dalam drama tersebut adalah lakonannya

“Menerusi GSI baru saya berkesempatan melakukan adegan stunt. Dalam drama lain kalau saya nak buat, pengarah akan halang. Memandangkan drama ini arahan suami saya, jadi saya berpeluang melakukannya. Bila berjaya buat sendiri, hati rasa puas,” katanya yang mampu melakonkan pelbagai watak.

Sinopsis

GSI mengisahkan satu unit cawangan khas yang diketuai oleh DSP Mohammad (Hairie Othman), ASP Chan, Inspektor Tina, Detektif Ismail, Detektif Zainon ( Shahriza Mahmud ) dan Detektif Baharin. Ia ditubuhkan untuk melakukan tugasan risikan bagi menghapuskan Geng Lanun Bukit (GLB) yang diketuai oleh Tossai (Jalaluddin Hassan).

GLB menjalankan sindiket pengedaran dadah dan pelacuran yang beroperasi secara terancang dan mempunyai rangkaian di luar negara. Pelbagai rintangan dan dugaan terpaksa dihadapi oleh unit GSI, terutama Inspektor Tina yang perlu berhadapan dengan konflik keluarga.

Monday, May 11, 2009

Dive And Act @ Perhentian Island, MALAYSIA!



Hi All!

Our next dive at Perhentian Island, MALAYSIA will be tentatively on 15 to 18 June 2009.

You can either:

1. Take a full license for Open Water Dive. RM980
2. Discovery dive. ( No License needed ) RM170
3. A Special Acting workshop by ME! Just add RM70 for 3 nights!
4. Follow us on a diving trip and snorkeling above! ( just pay for the boat and snorkeling equipment )
5. OR just relax and breath the fresh air at your chalet!

**Price does not include chalet , transportation and marine park fee of RM5.**

Ask me what you need to know!

Price range: according to your package!

UNHIDDEN SERVICE CHARGE of RM20 only per pax.. ;)

Well, for the masters you know what you can do! Lets go!

SO? Start your calculation NOW!

Hehe!

Sunday, May 10, 2009

Hajjah HINDUN Haji MOHD. DARUS ~ Sumber ilhamku..


Izinkan daku bercerita tentang seorang ibu yang sanggup menulis surat kepadaku dan dihantarnya menggunakan pos berdaftar hampir setiap hari kepada anak manjanya ini yang sedang belajar jauh dari keluarga diketika itu. Jika tiada sepucuk surat untukku pada setiap kali penghantar surat tiba, aku akan merajuk. Apabila emak menelefon di malam harinya, akan kutanya kenapa tiada bingkisan untukku. Emak lantas berkata, surat telah diposkan, mungkin akan tiba besoknya.

Bayangkan, sudahlah seorang ibu sanggup menelefon hampir setiap hari, aku 'demand' surat lagi? Hemm.. Namun itulah ibuku Hajjah Hindun Haji Mohd. Darus yang tanpa disuruh akan melakukan yang terbaik buatku. Sehingga ke hari ini, emak tak pernah melupakan tarikh lahir setiap dari anak-anak, cucu-cucunya malah hampir semua ahli keluarga termasuk makcik pakcik dan sepupu2ku! Emak bagaikan 'alarm clock' buat kami semua. Dia akan menghantar sms mengingatkan tentang tarikh lahir seseorang dan bertanya samada kami telah mengucapkan selamat kepada mereka!

Emak akan mengirim pesanan ringkas dan kemudian menelefon semata-mata untuk mengucapkan selamat kepada kami. Semuanya bukan dekat. Ada yang di Kuala Lumpur, Johor, Pahang dan merata Malaysia! Kalau dulu, emak sanggup berlama di kedai buku untuk memilih kad-kad ucapan untuk dikirimkan. Itu ibuku. Itu guruku. Emak punyai ramai anak murid yang menyayanginya.

Sebagai anak murid dan anaknya, aku kadang-kadang terasa cemburu bila emak menunjukkan kasih kepada anak muridnya yang lain. Emak sanggup mengeluarkan duit gajinya semata-mata untuk membelikan hadiah buat anak-anak muridnya yang cemerlang. Emak sanggup membeli kad raya dan kad harijadi untuk anak muridnya. Tak hairanlah kalau setiap kali menjelang hari raya, emak cukup glamor dengan timbunan kad raya yang dia terima!

Itu lah sedikit tentang ibuku yang merupakan ibu kepada ramai orang..

Aku bertuah, amat bertuah!

Terima kasih ALLAH.. Terima kasih TUHANku yang Pengasih lagi Maha Penyayang yang telah memberikan aku seorang ibu yang cukup mengerti dan mulia di sisimu!

ALHAMDULILLAH...
SELAMAT HARI IBU BUAT BONDA TERCINTA, HAJJAH HINDUN HAJI MOHD DARUS.. I LOVE YOU! Happy mothers day to my sisters! & YOU!
morning all my tomei2 ( cute ) friends! ;)
just came back from the studio.With my health condition, i have to struggle to coop with few different voices in My Melody cartoon series.A bit tension. director did not give proper direction without making use of the intercom provided.. scream from outside and expect me to hear him with the headphone covered my ears?? :( bertambah demam!!

Saturday, May 09, 2009

is going to see Mymelo today at 6pm.. ;) miss Mymelo so much.. been busy with RONA, Perhentian & my shoot.. also my fever.. hemm..
communication is all we need.. the growing micro blogging is great! :) Really? What say you?