Video Lusuh Shahriza Mahmud

Loading...

Thursday, May 28, 2009

Puisi Tanpa Tema, Tapi Unggul ~ BERITA HARIAN


* SASTERA

Oleh Hasnidawina Hasim
bhsastera@nstp.com.my

Penggerak majlis untuk Perhimpunan Penulis Muda Nasional dengan 170 peserta

GELANGGANG baca puisi sempena Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini, tetap memberi kepuasan kepada penyair muda dan veteran meskipun acara berlangsung dalam suasana santai.

Ketiadaan tema pada malam terbabit, rupa-rupanya lebih menggerakkan lagi mereka untuk terus tampil di pentas puisi dengan persembahan bebas, tetapi tidak menghampakan baik kalangan penyair berjenama mahupun baru.

SM Zakir yang sering menjadi usikan peserta hampir pada setiap sesi perhimpunan kerana faktor umur melepasi tahap usia muda, berdiri gah di atas pentas tatkala mendeklamasikan puisinya, Manusia Cinta, tema sensitif untuk golongan remaja.

Katanya aku adalah manusia cinta yang paling jahanam
cuba mendirikan batu-batu cinta seperti Prambanan
yang disiapkan dalam satu malam oleh kuasa para jin
rusukku pecah ditembak panah dan mengalir luka
cintaku yang merah seperti lahar Merapi yang pecah
di Kaliurang yang terbakar menanggung amarah
Nyi Roro Kidul yang menjelma dari Laut Selatan
cintaku menyelinap di kraton mendatangi istana air
melihat sang raja di menara dengan 40 selirnya
memilih-milih selir istimewa dari permandian Taman Sari
cinta apakah yang aku miliki menjadi begitu terlarang
tetapi laju menerbang seperti panah Sang Rama
langkahku menjadi kuda di padang para perajurit
Sasono Hinggil yang terkepung oleh tembok kraton
melepasi dua beringin di alun-alun selatan
dan menjadi hasrat yang terkabul oleh cinta
dari luka kasih yang sering lewat dan sering tenggelam
bagai ikan yang merenangi lautan yang tidak bertepi.


Timbalan Pengerusi Tetap Pena, Dr Ibrahim Ghaffar, memberi semangat kepada penulis muda lewat puisinya, Kesaksian; Perjuangan dan Keberanian II, bagi memperingati pemergian Sasterawan Negara (SN), (Dr) Arena Wati.

I
10 Julai 1925 layar kehidupan Ayah terkembang
Di bumi Makassar, Gelora kejauhan Ujung Pandang
Dialah Arena Wati itu; Dahlan bin Abdul Biang,
Pulau Tumasik riang mengucapkan selamat datang
Dan Kisah Tiga Pelayaran rias seorang pengarang
Bagai hulubalang menghamparkan gelanggang
Dan Sandera meningkah pencak dan rentak gendang
Seakrab Kuala Lumpur yang abadi dikenang
Bila 25 Jan. 2009 Ayah ikhlas berangkat pulang
Dan Helang Makassar telah berhenti dari terbang....

III
Meraut rindu; Di pintu waktu setelah kepergian
Satu demi satu Sasterawan Negara menemui Tuhan
Dan kami masih di sini meneruskan kelangsungan,
Di bawah langit bangsa yang semakin rawan
Mengutip reja-reja jati diri buat merajut ketuanan
Setelah lidah bangsa tidak diizin melafazkan
Bahasa ibunda; kami akan terus perjuangkan
Selagi nyawa dikandung badan
Dan mati sebagai orang beriman.
Amin

Koordinator Pena, Dr Ahmad Razali Yusof, turut memeriahkan malam terbabit dengan puisinya, Puisi Dari Benua Diam yang membakar semangat khalayak betapa puisi mampu membangkitkan semangat perjuangan bangsa.

Kurempuh lagi belantara membawa raung
Untuk mengheret puisi-puisi
Yang masih tertembus
Di kamar waktu
Dan rasuk bara menyintak parah luka
Pejuang-pejuang menghunus
Bahasa keris yang tertikam di rusuk
Ruang dewan dan balar para penghuni
Mengatur langkah duka mencari tafsir
Terbanam dalam akta yang luka
Membarah, menusuk daging khayalku.

Aku bangunkan kembali dengan jerit
Dan raungan luka bangsa
Membina ruang kukuh dengan teguh angkuhku
Lewat belentara puisi dan tembok sukar
Dari dera payah pentafsir petualang akal
Yang sesat di kota sasau kejam mimpi
Lewat belantara dan tembok sukar
Dari dera payah pentafsir
Memerangi songsang akal
Yang sesat di kota sasau kejam mimpi
Sedang para sarjana masih bersembang
Tentang tesis yang sering ditafsir kembali
Mengangkat roh dan martabat bangsa
Semua khalayak bersorak mengikut arahan
Kerana dendam dan harapan telah ditangguhkan
Ke ruang lain yang lebih jauh
Ke padang khayal dan dunia diamku.


Jadual padat perhimpunan kali ini, tidak mematahkan semangat peserta mahupun penyair untuk terus bertahan hingga ke penyudah majlis apabila ada antara mereka membuat persembahan spontan yang wajar mendapat tepukan, meskipun tanpa persiapan awal.

Pelakon drama, Shahriza Mahmud, tidak melepaskan peluang untuk beraksi di atas pentas puisi pada malam itu dengan penuh emosi mendeklamasikan puisinya, Cetusan Dari Erin Sharina.

Dik Erin,
Itu tandanya ibu menyentuhi dadamu
Tatkala kau tidak menyedari hadirnya.

Dia masih merenung wajah mulusmu
Di sisimu setiap saat dan ketika berlalu
Jika kau berlagu al-Fatehah kepadanya
Nescaya ibu juga berdendang untukmu.

Walau alam ibu dan anak terpisah jauh
Namun dia tetap menjaga dan membelai
Tanpa kau sedari, tanpa kau merasai
Dia ada di sisi, mungkin juga menangisi
Melihat anakanda tercinta merindui.

Percayalah sayang, ibu juga mencintai
Ketahuilah kasih, ibu menantimu di syurgawi.

Majlis malam itu turut dihadiri nama besar dunia sastera tanah air seperti Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Baha Zain, Nisah Haron, Amirudin Ali, Sahrunizam Abd Talib, Rahimidin Zahari, Muhammad Lutfi Ishak, Ummu Hani Abu Hassan, Salman Sulaiman dan Ibnu Ahmad al-Kurauwi.

P.S: Puisi yang disiarkan cuma sebahagian di dalam BERITA HARIAN ONLINE. Didalam suratkhabar lebih pendek.

Yang asal KLIK SINI.
DARI SURATKHABAR KLIK SINI.
Terima kasih SAL kerana mengambil inisiatif scan dan upload gambar! ;)

3 comments:

D'Rimba said...

Malunya gambar orangpun ada terselit di situ. Latihan lagu dan puisi di SMK Taman Melati berhampiran rumah saya dekat dengan syarikat produksi Pena Ziela Jalil di Melati Utama. Sajak buat sendiri. Sedapppppp kalau hendak dengar kenalah datang. Hehehe....

Shahriza Mahmud said...

Malu ke suka? hehehehe!

Bila berlatih?

D'Rimba said...

Malula kak sebab saya menumpang MPR je tu bukan ahlipun. Saya bebas. Huhuhu......