Tuesday, January 06, 2009

Surat Khabar Lama


Salam sahabat salam 2009,

Terlalu banyak yang ingin kuperkatakan. Masih banyak yang tidak sempat kucoretkan samada di atas kertas mahupun ke dalam komputer riba yang tidak pernah berenggang dariku sebagaimana Boboi kucing kesayangan yang menjadi teman setiaku yang asyik melekat di sebelahku ini!

Sebenarnya sewaktu aku berkira-kira untuk menulis sesuatu tetapi tidak pasti di mana mahu kumulakan coretan ini kerana terlalu banyak yang berserabut ataupun mungkin belum tersusun kemas kembara 2009 yang masih bertatih kumulakan ini, aku pandang sekeliling dan sebuah buku tulisan S.H.Alattas mencuri tumpuanku. Buku berwarna merah dengan tajuk Surat Khabar Lama menjadi ayat pertama untukku.

Kujadikan ianya sebagai tajuk dan selebihnya akan kufikirkan dan kucurahkan tanpa sempadan di sini. Maksudku garapan yang tidak mahu kufikir terlalu dalam. Biarkan ianya datang mencuruh dari mindaku, terus ke jari yang menaip pantas ini.

Biar kusentuh sedikit tentang buku Pak Habib yang menjadi buah tangan istimewa yang kubawa pulang dari University Of Life, Janda Baik. Hadiah istimewa ini kuterima sewaktu semua rakan yang lain bersama program Seni Budaya anjuran Jabatan Kebudayaan Wilayah Persekutuan telah pulang. Buku terakhir yang kuterima ini tidak semua yang menerimanya.

Apabila kuselak helaian demi helaian kulihat ada puisi-puisi semangat yang amat kuminati. Lantas aku berkata kepada Pak Habib,"Pak,kenapa tak berikan semalam. Tentu saya akan mendeklamasikannya sewaktu majlis penutup bengkel!". Amran Nasrudin dan Zaifri menyampuk,"Tak pe lah, kita buatlah sekarang.".

Secara spontan, kami yang tinggal lebih kurang 6 orang terus mendeklamasikan puisi-puisi dari buku Pak Habib dimulai oleh diriku yang cukup membara dengan kerinduan berpuisi bersama teman-teman lama. Dapat kulihat keriangan dan riaksi terperanjat serta terharu Pak Habib yang tidak menyangkakan acara santai puisi terjadi secara tiba-tiba!

Kami benar-benar terharu. Pak Habib terus menyarankan agar program SEPETANG BERSAMA PAK HABIB diadakan pada waktu yang akan ditentukan kelak!

Tengok! Sebenarnya ada benda lain melintas difikiran sewaktu terlihat buku SKL dan rasanya nak tulis perkara lain tapi yang ini yang tercetus dulu. Bagai yang dikatakan, aku hanya mahu menulis, tak kiralah apa yang terkeluar..Cukuplah dulu..

1 comment:

AbnormalSuam said...

yeaaaa.. lama tak berkawan, seronok bersuara bersama... sekurang-kurangnya dapat mengimbau semula kenangan lama.... atau sekurang-kurangnya mengulangi suara yang telah lama hanyut dibawa arus masa...