Video Lusuh Shahriza Mahmud

Loading...

Friday, January 23, 2009

Imbas Kembali Seawal Usiaku


Dear Diary,
Aku sebenarnya telah diasuh untuk membaca sejak usiaku di dalam kandungan lagi. Mak dan ayahku masing-masing merupakan seorang guru. Seingat aku, aku selalu dibawa ke sekolah tempat mak mengajar di Sekolah Rendah Tunku Bendahara. Walaupun kami berasal dari Bandar Diraja Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, tapi tugasan mereka sebagai guru telah membawa kami jauh dari Alor Setar.

Apa yang nak aku perkatakan di dalam Diari Lusuh ini, sebelum usiaku 7 tahun aku sudah sering berulang alik ke sekolah. Aku sudah didedahkan kepada suasana bilik guru dan buku-buku. Aku suka mengacau emak sewaktu dia menyediakan tugasannya di dalam buku ringkasan guru yang tebal bersaiz A4 itu. Tiap kali mak dan ayah pulang membawa buku-buku murid untuk disemak, aku yang lebih-lebih mencari pen merah untuk menyemak buku walau masih belum tahu membaca.

Mungkin oleh kerana itu, emak tak lupa membelikan buku-buku setiap kali pulangnya dari sekolah. Buku-buku yang dibelikan mengikut usia pembesaranku. Aku masih ingat dengan jelas, mula-mula mak membelikan gambar-gambar dan nombor-nombor yang dilekatkan di dinding rumah untuk aku belajar walaupun belum tahu erti sekolah yang sebenarnya. Bila usiaku dalam lingkungan 6 hingga 7 tahun, ibu sudah mula membelikan komik ataupun majalah comel yang berilustrasi dengan warna-warna yang cantik.

Aku masih ingat, aku punya koleksi majalah-majalah Bujal dan Bambino yang banyak kerana emak sudah membelikan untukku sejak ianya dikeluarkan mungkin dan emak akan membelikan 2 salinan. Satu untuk aku dan satu lagi untuk kakakku yang setahun lebih tua dariku, Norhaliza yang kini menetap di Johor.

Apabila aku sudah petah berbicara dan pantas membaca dalam usia 8 tahun, emak mula menambahkan koleksi rak buku kami dengan koleksi novel Enid Blyton, namun emak hanya membelikannya di musim cuti sekolah. Alasannya supaya kami tekun menghayati jalan cerita dan tidak membaca separuh jalan. Mustahil kami akan membaca separuh jalan! Malah kami membacanya tanpa henti selagi tak habis! Mana tidaknya, emak membelikan satu set untuk setiap siri novel yang diterbitkan. Apalagi! Berebutlah nak habiskan sebelum cuti sekolah tamat!

Sebut tentang Enid Blyton, baru aku sedar bahawa selama aku membesar dengan novel-novelnya, aku tidak pernah terfikir untuk mencari atau mengetahui kisah-kisah penulisnya. Apa yang aku lakukan hanyalah mengimbau jauh sewaktu aku melalui rak-rak buku kompilasi Enid Blyton samada di MPH mahupun di kedai buku lain. Kerana itu, aku akan menyambung cerita lusuhku ini kemudian, untuk memberi ruang yang lebih untuk aku mengenali penulis yang hebat itu..Sebenarnya sekejap tadi aku dah surf serba sedikit tentang Enid..ada cerita sedih..kerana itu, aku perlu berlari mengejar masa yang telah aku abaikan..

2 comments: