Hikayat menceritakan
padi dituai beriring keraian
dari kampung ke kampung
canang dipukul membawa jemputan
dipinta berkampung di satu laman.
Peladang petani dikerah bersatu
tampak megah segak lawa belaka
lawak jenaka berseloka berpantun
permainan tradisi rakyat ceria
Melihat gemalai
tari anak dara
hilang lelah
keringat kering
kepuasan dituai.
Kasar tangan bukan kasar budaya yang dibuai
Itu tanda bertapak seni rakyat turun temurun.
Disini kita di hari ini,
berkumpul meriah semua bangsa
mungkin tidak di sawah, tidak di padang
tidak juga di lereng bukit mahupun di bendang
tetapi masih di satu laman yang luas terbentang.
2
Semangat nenek moyang tak pernah pudar
berkampung di bandar tiada yang kurang
di pasar di sawah apa bezanya?
Bendang menghidupkan tari
pasar menyambung seni.
Di sini warisan subur gemilang
budaya digabung dirai sekampung
mana yang datang pasti menyinggah
bersama hidupkan seni setempat
biar pun hanya duduk melihat.
Di pasar seni kita berkampung
kita tarikan lenggok yang lama
tiada ruginya pada yang baru
atau yang batu atau yang kayu.
Dicelah kota gergasi ini
kita curi kita hentikan sedetik
waktu yang deras itu
agar budaya silam mekar selalu.
Banggalah wahai anak dunia
kita masih bertegur sapa
pengisian hikayat setempat yang membara
kita segarkan segalanya yang bernama BUDAYA!
Shahriza Mahmud
Sunday, July 20, 2008
4:05:01 AM
**Ditulis dan dideklamasi di Pasar Seni sempena pelancarannya sebagai salah satu lokasi KL HOTSPOT..seni setempat KL. Tajuk asal Hikayat 'Hotspot'
IMEJ 1
IMEJ 2
No comments:
Post a Comment