Monday, April 18, 2011

Lorong Seni & Teater K.A.M.I



Permulaan langkah kerjaya Riza di dalam bidang seni bermula dengan RAKAN MUDA. Seawal tertubuhnya Rakan Muda, Riza mendaftar di 'Central Market' pada tahun 1986. Dari situ Riza diserapkan kedalam kumpulan teater Artis Penjuru Alam (APA) di bawah kendalian Encik Latip Ariff sebagai Pengerusi di kala itu. Riza baru lepas sekolah dan sudah mula bekerja di dalam bidang perakaunan di sebuah syarikat. Langkah awal hanya mahu memenuhkan waktu bosan selepas waktu kerja. Setiap hari bermula jam enam petang, Riza akan mengikuti latihan di Kompleks Budaya Negara, sekarang sudah menjadi ASWARA. Terlalu banyak peristiwa yang menjadi sejarah indah di sepanjang perjalanan itu, namun kalau mahu diceritakan sekarang, ianya terlalu panjang. :)

Tinggalkan dulu kisah permulaan kerjaya Riza. Apa yang mahu Riza kisahkan di sini pada saat ini sebenarnya ialah tentang LORONG SENI.

Kurang lebih setahun yang lalu Riza berkenalan dengan Yusrikar Bahar yang bakal menamatkan pengajiannya di UITM. Perkenalan melalui email dan facebook telah menemukan kami setelah Yusrikar amat rajin mengirimkan karya-karyanya untuk Riza nilai. Sebagaimana Riza katakan kepada semua anak seni yang ingin pergi lebih jauh di dalam bidang penulisan skrip mahupun apa jua seni, mereka harus menerima kritikan dengan terbuka dan positif. Riza tidak pandai untuk berselindung dan memuji-muji tanpa sebab dan menerima apa yang disogokkan dengan bepura-pura suka kepada apa yang sebenarnya tidak 'masak' dan tidak layak dipersembahkan kepada dunia seni dan khalayak.

Yusikar menerima. Dia tidak gentar dan tidak kisah sama sekali sekiranya Riza mahu berkata apa saja tentang karyanya yang memerlukan perhatian. Penerimaannya adalah benar. Bukan sekadar 'ya' di depan dan 'tidak' di belakang. Jangan salah faham, kritikan yang Riza berikan bukan bertujuan untuk menjatuhkannya tetapi pasti untuk pembinaan yang meransang minda.

Bermula dari situ, hampir setiap hari Yusrikar menghantar sms dan menelefon. Dia mempunyai pelbagai ide yang ingin diketengahkan. Dia mempunyai banyak visi yang harus diketengahkan.



Hari berlalu dengan pantas, kini Yusrikar sudah berada di LORONG SENI. Beliau mengasaskannya hanya dengan sokongan rakan-rakan dan semangat Kementerian Belia & Sukan (KBS) di bawah pemerhatian Puan Wasitah Mohd Yusof yang memberikan kepercayaan penuh kepadanya. Bermula dengan hanya beberapa rakan yang meminati seni, yang baru dan lama, yang popular dan biasa-biasa saja, Lorong Seni semakin hari semakin menerima kunjungan peminat seni tanpa diduga.

Bukan beribu tetapi berpuluh orang setiap hujung minggu sudah cukup baik, kerana yang berkunjung bukan calang-calang anak. Semuanya peminat tegar seni yang sanggup datang dari segala pelusuk negeri. Putrajaya bukannya di London, cuma di Malaysia! Jangan ada alasan untuk tidak menjenguk ke LORONG SENI, kerana anda pasti akan kehilangan dan ketinggalan jika jadual LORONG SENI terkeluar dari prioriti anda.

Riza sudah beberapa kali berkunjung dan mendeklamasi puisi di sana. Cukup santai dan meriah diselangi dengan alunan muzik dan lagu puisi. Jangan silap, bukan puisi semata, dentuman drum , petikan gitar dan vokal mantap Indie band dari serata tempat pasti membuatkan anak muda dan dewasa mengikut rentaknya.

Pentas disediakan secara PERCUMA! Anda dahagakan hiburan hujung minggu yang bergaya? Anda aktivis yang kelaparan ruang dan khalayak untuk dipertontonkan karya dan bakat? Lihat jadual LORONG SENI, ikuti fb LORONG SENI, pastikan anda menempah tempat untuk persembahan bersama LORONG SENI.



Hari Belia Negara 2011 yang bakal berlangsung pada 28 & 29 May nanti pasti akan menjamu anda dengan pelbagai acara yang HEBAT! Riza pasti, sebab Riza sudah mengikutinya. Antara acara LORONG SENI yang hebat sudah pasti persembahan drama muzikal K.A.M.I yang akan dipersembahkan oleh KTMP (Kaki Teater Muda Putrajaya) secara PERCUMA di dalam dewan KBS (Lorong Seni). InsyaAllah jika tiada aral, Riza akan mengambilalih tugasan Yusrikar sebagai Pengarah Persembahan bersama Noraniza Idris dan kumpulannya dan ramai lagi yang berkaliber dan terkenal di seantero Malaya! :)

Yusrikar memikul terlalu banyak tugasan. Beliau harus memastikan semua persembahan yang berlangsung serentak di LORONG SENI berjalan dengan lancar. Maka sebab itu Yus mengagihkan tugasan kepada yang difikirkan sanggup bersama LORONG SENI.

Satu perkara yang harus diingat dan direnungkan di sini, artis terkenal yang hadir ke LORONG SENI adalah secara sukarela. Hanya mereka yang memahami akan turun padang. Semalam, 17 april 2011, Serina Redzuawan juga hadir bagi memberikan sokongan dan memberi sedikit tips buat anak-anak Rakan Muda yang hadir.

Bagi Riza pula, apa salahnya mengikuti perkembangan dan mencurahkan sedikit ilmu di dada, setelah langkah awal Riza bermula bersama RAKAN MUDA jua! JOM kita gegarkan Putrajaya pada Mei nanti!

P.S:
Gambar dikutip dari fb Lorong Seni dan Rakan Muda..

No comments: