Video Lusuh Shahriza Mahmud

Loading...

Sunday, June 12, 2011

Tentera Alam


Ia datang lagi tanpa rebana dan gendang, hadir dan pergi meninggalkan kesengsaraan. Kenapa harus kami dimangsakan berterusan?, ratap tulang belulang yang hilang tuan, juga tepekan daging mentah tanpa denyutan dan urat berselirat masuk angin bergayutan.

Tidak diundang, bertandang jua ia, menjamah apa saja tanpa rasa apa-apa, membaham tanpa kira darjat dan usia.

Semboyan sememangnya telah ada, tapi bukan dari hembusan nafas kita, serangannya telah termaktub waktu dimeterai, hanya kita yang tidak pernah mengerti.

Benar bukan kita penentu, tapi tidak boleh tidak ambil tahu, Tentera Alam bukan tandingan sesiapa, Tentera Alam hadir walau dengan apa cara, dilaut digunung di rimba di sungai di udara, di depan mata, di belakang sedar, digetar kelip mata yang tidak sempat berkata, pada nafas yang tidak ada helaan akhirnya, bagaimana mungkin melafaz syahadah jika tiba-tiba?


Tentera Alam tidak berkira bila datangnya
Tentera Alam tidak peduli kesediaan kita
Tentera Alam akur, perintahNYA tersedia

datang ia sudah diduga
walau hanya sesekali cuma
kita yang perlu meneka
petanda ada di mana-mana
tawanlah kami dengan rela
bawalah kami tanpa paksa
ambillah kami dalam lena..

Tentera Alam,
cuba jangan kau rentap tali perut diam
cuba jangan kau letupkan dapur terpendam
cuba jangan kau terbangkan atap tersergam

jangan datangmu tanpa semboyan
jangan kau hanyutkan darah Adam
jangan kau robohkan kubah hitam

Izinkan kami terus memuji pemerintahmu
sehingga zat teguh keras melekap di dada
maka pulangnya kami nanti indah tersedia
syahadah yang terpancar di setiap rongga

Aminnnn...Ya Rabbal A'lamin...

Shahriza Mahmud
Ahad 12 Jun 2011
11.30am

No comments: