Salam terbaik buat semua. Semoga pagi Jumaat yang sentiasa indah akan bisa bernafas di sebalik kesamaran Kuala Lumpur yang kelabu..
Rupanya banyak perkara yang berlaku di antara tiada perkara yang kurasakan tidak berlaku. Aku tidak mahu ianya menjadi tiada perkara bila terlalu banyak perkara. Biarlah Riza mulakan dengan Boboi kucing kesayangan yang menjadi teman sekamarku. :)
Kurang lebih setahun lalu, sewaktu Riza meninggalkan Boboi selama dua minggu untuk pengambaran di Melaka, Boboi telah dijangkiti virus yang membuatkan sistem penghadamannya tidak normal. Ini berpunca dari makanannya yang terkena air dan menyebabkan 'fungus' tumbuh. Mulanya Riza berikan Boboi glukose tetapi tidak berkesan. Apabila susut badan Boboi semakin ketara dan selera makannya sudah hilang, Riza semakin resah kerana mula memikirkan yang bukan-bukan. Riza tak sanggup kehilangannya yang begitu manja dan rapat dengan tuannya ini.
Akhirnya Riza bawa Boboi ke Klinik Veterinar di Taman Melawati. Riza tak sanggup melihat kesakitan yang Boboi tanggung. Dia menjadi kurus kering! :( Boboi ditahan di klinik selama dua minggu. Doktor tidak memberikan apa-apa jaminan. Macam-macam penyakit yang dijangkakan oleh doktor, dari sakit perut disebabkan keracunan sehinggalah ke HIV yang tidak boleh diselamatkan lagi, katanya!
Bagaikan seorang perindu kekasih, Riza menjadi murung dan memikirkan segala kemungkinan. Setiap hari Riza melawat Boboi dan bertanyakan khabarnya dari doktor sekiranya Riza tidak berkesempatan untuk hadir. Doktor masih tidak dapat memberikan jawapan.
Setelah dua minggu di klinik, doktor menyatakan tiada banyak perkembangan tetapi keadaannya stabil. Perubahan cuma pada selera makannya yang sudah mula terbuka. Itupun mungkin terpaksa, sebab dia memerlukan tenaga.
Doktor menyuruh Riza membawa Boboi balik. Dia memberikan beberapa jenis ubatan dan makanan yang perlu diberikan sepanjang proses pemulihan. Pun begitu, doktor masih tidak memberikan kepastian samada Boboi boleh sembuh dan sihat seperti biasa. Yang pasti, kajian telah dilakukan dan doktor mengesahkan tiada jangkitan HIV ataupun sakit lainnya seperti jantung dan sebagainya.
Riza yakin Boboi akan kembali gemuk dan sihat seperti sediakala.
Bil perubatan sekitar RM400 langsai! Waktu ini Riza cuma ada RM500 di tangan untuk kegunaan diri, namun demi Boboi Riza rela.
Sewaktu hendak membawa Boboi pulang, dia tidak mahu memandang Riza dan tidak mahu keluar. Boboi merajuk! Mungkin dia menyangka Riza sudah tidak sayangkannya kerana meninggalkannya di tempat yang asing itu bersama jeritan anjing di kandang sebelah setiap hari.
Riza terpaksa memujuk untuk beberapa ketika. Doktor hanya memandang dan tersenyum simpati. Akhirnya, walaupun dalam hati yang berbelah bagi antara merajuk dan rindu barangkali, Boboi akur. Riza mengangkatnya dengan berhati-hati kerana dia terlalu ringan dan kurus.. :(
Hanya ucapan terima kasih berkali-kali yang dapat diberikan sebagai tanda syukur kepada doktor kerana Boboi masih boleh bernafas dan sudah tentu kepada Allah yang menyelamatkan nyawa Boboi yang sudah kritikal.
Riza bawa Boboi balik dan menjaganya bagaikan seorang bayi. Sejak dari hari itu, Riza terpaksa memberikan makanan yang paling mahal ( melebihi RM50 satu bungkusan ) kepadanya demi untuk memastikan dia benar-benar pulih.
Hari berlalu, Alhamdulillah setelah beberapa bulan, dengan kuasa Allah yang mana doktor pakar tidak menjaminkan Boboi akan pulih, Boboi bertambah sihat dan gemuk! Bukan seperti biasa malah lebih sihat dari sebelum dia jatuh sakit! Boboi menjadi aktif seolah anak kecil.. :)
Lebih setahun berlalu sudah.. tiba-tiba, tiga, empat hari yang lalu Boboi sakit lagi.. Riza mula terbayangkan apa yang pernah kami lalui sebelum ini.. Setelah melihat dari kesan pembuangan najisnya dan atas nasihat rakan-rakanku di alam maya ini terutamanya di Facebook, Riza mahu membawanya ke klinik tetapi kesuntukan waktu Riza tidak dapat membawa Boboi berjumpa doktor, namun Riza sempat singgah ke klinik Taman Melawati yang baru, berdekatan pejabat SENIMAN setelah menamatkan mesyuarat bulanan AJK.
Doktor memberikan pil untuk membunuh cacing, vitamin, ubat cecair untuk sakit perut dan antibiotik. Sekiranya Boboi tidak menunjukkan perubahan positif, doktor meminta Riza membawa Boboi ke Klinik.
Riza tidak dapat untuk terus pulang ke rumah kerana memenuhi satu undangan sehingga lewat malam. Keresahan dan kerinduan serta ketakutan mengenangkan Boboi yang pasti di dalam kesakitan dan kesedihan membuatkan Riza tidak senang duduk. Sepatutnya Riza sudah pulang sekitar jam 12 malam tetapi Riza terpaksa terus ke Kajang kerana perlu bertemu dengan anak buah yang akan pulang ke Sungai Petani pada keesokannya.
Riza tiba di rumah sekitar jam 3 pagi!
Aduh...
Riza terpaksa berperang dengan Boboi!
Payahnya nak bagi dia makan ubat.. siap kena bedung bagai bayi kerana dia mempunyai kekuatan yang luarbiasa. ;) Dalam sakit-sakit pun melawan juga. Setelah hampir setengah jam berhempas pulas, akhirnya dapat juga semua pil yang perlu, dipaksa masuk ke perut Boboi! :)
Setelah Boboi dah makan ubat, Riza berikan dia makan makanan baru untuk 'orang' sakit.. hehe.. Prescription Diet, I/D jenama Hills, satu bungkus harganya RM61. Paketnya tak besar mana pun. Riza minta kurang dengan doktor, dapatlah RM55. Tempat lain memang tak dapat harga ni sebab harganya standard. Campur dengan ubat RM38, jadi lah RM93. Ini klinik baru. Riza lihat harganya lebih murah dari klinik lain. Ianya sederet dengan 7E Taman Melawati, berdekatan dengan JPN.
Sehari berlalu...
Semalam dan pagi ini Riza lihat di tandas Boboi, tiada lagi kesan yang meresahkan jiwa! Boboi pun berselera makan seperti biasa dan masih terus mengejar dan memintas langkah Riza setiap kali Riza berjalan di dalam rumah! Yang paling rimas bila dia akan duduk di tepi roda kerusi yang Riza duduk ini sewaktu menggunakan komputer. Bukannya apa, takut jadi macam cerita Lancang Kuning pula nanti! Tak pasal-pasal perut dia kena gilis dengan roda kerusi Riza pulak!
Hemm.. Itu lah Boboi.. Kemana saja Riza bergerak dia akan menjadi pengiring setia. Masuk bilik air tunggu depan pintu, nak keluar rumah hantar sampai depan pintu, bila balik sambut di pintu, nak tidur mesti rapat di sebelah, kalau Riza pura-pura tidur, dia akan cium-cium hidung Riza! Hehehe!
Sekarang Boboi tengah tidur di bawah kerusi. Dia dah selamat makan dan buang air serta mandi sendiri ( mandi cara kucing lah! ;) ) hihi..
Nite2 Boboi! Sweet dreams!
I love you!
*****
2 comments:
Comeynya kuching Riza.....
Boboi kata,"tima cih!".. ;)
Post a Comment