...Awal Bicara Bismillah, Kuatur Semula Langkah... **Dulunya 'Diari Lusuh Shahriza Mahmud'** ..Bila Terlalu Banyak Perkara, Akhirnya Tiada Perkara..
Monday, April 18, 2011
Lorong Seni & Teater K.A.M.I
Permulaan langkah kerjaya Riza di dalam bidang seni bermula dengan RAKAN MUDA. Seawal tertubuhnya Rakan Muda, Riza mendaftar di 'Central Market' pada tahun 1986. Dari situ Riza diserapkan kedalam kumpulan teater Artis Penjuru Alam (APA) di bawah kendalian Encik Latip Ariff sebagai Pengerusi di kala itu. Riza baru lepas sekolah dan sudah mula bekerja di dalam bidang perakaunan di sebuah syarikat. Langkah awal hanya mahu memenuhkan waktu bosan selepas waktu kerja. Setiap hari bermula jam enam petang, Riza akan mengikuti latihan di Kompleks Budaya Negara, sekarang sudah menjadi ASWARA. Terlalu banyak peristiwa yang menjadi sejarah indah di sepanjang perjalanan itu, namun kalau mahu diceritakan sekarang, ianya terlalu panjang. :)
Tinggalkan dulu kisah permulaan kerjaya Riza. Apa yang mahu Riza kisahkan di sini pada saat ini sebenarnya ialah tentang LORONG SENI.
Kurang lebih setahun yang lalu Riza berkenalan dengan Yusrikar Bahar yang bakal menamatkan pengajiannya di UITM. Perkenalan melalui email dan facebook telah menemukan kami setelah Yusrikar amat rajin mengirimkan karya-karyanya untuk Riza nilai. Sebagaimana Riza katakan kepada semua anak seni yang ingin pergi lebih jauh di dalam bidang penulisan skrip mahupun apa jua seni, mereka harus menerima kritikan dengan terbuka dan positif. Riza tidak pandai untuk berselindung dan memuji-muji tanpa sebab dan menerima apa yang disogokkan dengan bepura-pura suka kepada apa yang sebenarnya tidak 'masak' dan tidak layak dipersembahkan kepada dunia seni dan khalayak.
Yusikar menerima. Dia tidak gentar dan tidak kisah sama sekali sekiranya Riza mahu berkata apa saja tentang karyanya yang memerlukan perhatian. Penerimaannya adalah benar. Bukan sekadar 'ya' di depan dan 'tidak' di belakang. Jangan salah faham, kritikan yang Riza berikan bukan bertujuan untuk menjatuhkannya tetapi pasti untuk pembinaan yang meransang minda.
Bermula dari situ, hampir setiap hari Yusrikar menghantar sms dan menelefon. Dia mempunyai pelbagai ide yang ingin diketengahkan. Dia mempunyai banyak visi yang harus diketengahkan.
Hari berlalu dengan pantas, kini Yusrikar sudah berada di LORONG SENI. Beliau mengasaskannya hanya dengan sokongan rakan-rakan dan semangat Kementerian Belia & Sukan (KBS) di bawah pemerhatian Puan Wasitah Mohd Yusof yang memberikan kepercayaan penuh kepadanya. Bermula dengan hanya beberapa rakan yang meminati seni, yang baru dan lama, yang popular dan biasa-biasa saja, Lorong Seni semakin hari semakin menerima kunjungan peminat seni tanpa diduga.
Bukan beribu tetapi berpuluh orang setiap hujung minggu sudah cukup baik, kerana yang berkunjung bukan calang-calang anak. Semuanya peminat tegar seni yang sanggup datang dari segala pelusuk negeri. Putrajaya bukannya di London, cuma di Malaysia! Jangan ada alasan untuk tidak menjenguk ke LORONG SENI, kerana anda pasti akan kehilangan dan ketinggalan jika jadual LORONG SENI terkeluar dari prioriti anda.
Riza sudah beberapa kali berkunjung dan mendeklamasi puisi di sana. Cukup santai dan meriah diselangi dengan alunan muzik dan lagu puisi. Jangan silap, bukan puisi semata, dentuman drum , petikan gitar dan vokal mantap Indie band dari serata tempat pasti membuatkan anak muda dan dewasa mengikut rentaknya.
Pentas disediakan secara PERCUMA! Anda dahagakan hiburan hujung minggu yang bergaya? Anda aktivis yang kelaparan ruang dan khalayak untuk dipertontonkan karya dan bakat? Lihat jadual LORONG SENI, ikuti fb LORONG SENI, pastikan anda menempah tempat untuk persembahan bersama LORONG SENI.
Hari Belia Negara 2011 yang bakal berlangsung pada 28 & 29 May nanti pasti akan menjamu anda dengan pelbagai acara yang HEBAT! Riza pasti, sebab Riza sudah mengikutinya. Antara acara LORONG SENI yang hebat sudah pasti persembahan drama muzikal K.A.M.I yang akan dipersembahkan oleh KTMP (Kaki Teater Muda Putrajaya) secara PERCUMA di dalam dewan KBS (Lorong Seni). InsyaAllah jika tiada aral, Riza akan mengambilalih tugasan Yusrikar sebagai Pengarah Persembahan bersama Noraniza Idris dan kumpulannya dan ramai lagi yang berkaliber dan terkenal di seantero Malaya! :)
Yusrikar memikul terlalu banyak tugasan. Beliau harus memastikan semua persembahan yang berlangsung serentak di LORONG SENI berjalan dengan lancar. Maka sebab itu Yus mengagihkan tugasan kepada yang difikirkan sanggup bersama LORONG SENI.
Satu perkara yang harus diingat dan direnungkan di sini, artis terkenal yang hadir ke LORONG SENI adalah secara sukarela. Hanya mereka yang memahami akan turun padang. Semalam, 17 april 2011, Serina Redzuawan juga hadir bagi memberikan sokongan dan memberi sedikit tips buat anak-anak Rakan Muda yang hadir.
Bagi Riza pula, apa salahnya mengikuti perkembangan dan mencurahkan sedikit ilmu di dada, setelah langkah awal Riza bermula bersama RAKAN MUDA jua! JOM kita gegarkan Putrajaya pada Mei nanti!
P.S:
Gambar dikutip dari fb Lorong Seni dan Rakan Muda..
Saturday, April 16, 2011
Kepulangan & Penghijrahan
Setelah sekian lama meninggalkan DIARI LUSUH sehingga ianya benar-benar lusuh, hati ini sering berkira-kira untuk pulang dan menitip sesuatu di laman usang ini. Namun segala macam perkara yang merentangi langkah pulangku tidak memberi upaya untuk Riza berkata-kata terus di sini. Hanya facebook yang menjadi ruang buat Riza mencurah segala rasa yang terputus-putus.
Setahun yang lalu Riza telah mengumumkan untuk mengalih segala coretan ke laman baru. Ianya telah berlaku, namun kini ianya telah 'hilang'. Pun begitu, Riza tidak terasa sangat akan kehilangannya kerna ia telah membawa Riza pulang ke sini. Penghijrahan dan kepulangan adalah perkara biasa yang berlaku kepada sesiapa sahaja dan ianya pasti untuk sesuatu yang lebih baik dari biasa.
Setahun bukan waktu yang singkat, juga bukan terlalu lama. Pejam celik, tak terasa kita sudah berada di mana kita bermula.
Setiap awal tahun Riza membuat penilaian terhadap diri sendiri. Kemana arah dan tujuan bakal diarah perjalanan ini? Adakah jalan yang dulu sudah terhasil apa yang didoakan? Bila Riza katakan pejam celik kita tetap di sini, maka bermakna tiada apa-apa perubahan yang berlaku. Barangkali banyak perkara , banyak peristiwa tetapi adakah ianya membawa kita selangkah kedepan atau kebelakang?
Jujur, Riza memang cekap dan tekun melaksanakan tugasan yang pasti berada di tangan sehingga berjaya dengan kepuasan hati yang tidak terperi, namun jujur juga Riza katakan bahawa ianya 99% bukan untuk diri sendiri dan bukan kejayaan peribadi. Adakah 1% itu dikira sebagai peningkatan jua?
Benarkan Riza membebel kembali, sebelum mengatursusun semula apa yang telah terlepas, yang sewajarnya dicatatkan di dalam Diari Lusuh ini agar keusangan itu tidak menjadi sia-sia. Benar, Riza katakan bahawa Bila Terlalu Banyak Perkara, Akhirnya Tiada Perkara...TETAPI itu hanyalah alasan agar Riza kembali tenang dan membuat bangkangan tentang 'statement' Riza sendiri agar tidak mahu ianya terjadi sebegitu. Riza tidak mahu punyai terlalu banyak perkara yang akhirnya tidak diketahui apakah perkara-perkara itu yang menumpang hidup ini.
Tidak adil benar diri ini, pabila tidak ada waimah sekeping gambar perkahwinan Riza di sini, sedangkan itu adalah penghijrahan yang amat ketara dan membahagiakan! :)
Setelah 2 bulan 11 hari akad itu dilafazkan...izinkan Riza menyambut kehadiran suami tercinta yang telah mengisi ruang kosong di sudut hati ini.
My love Mohd Khalif Saddiq Mohd Raffali, tiada yang mustahil, ketenangan milik kita. Semoga penghijrahan kita dirahmati Allah s.w.t. Bersama kita mulakan langkah dengan Bismillah, InsyaAllah segalanya dipermudah.. Amin...
Your Sayang,
Shahriza Mahmud.
Subscribe to:
Posts (Atom)