Wednesday, August 03, 2011

Berlaku Adil Kepada Mereka...


Alhamdulillah...Sudah hari ketiga kita berpuasa. Semoga rakan-rakanku dapat menjalani ibadah di bulan Ramadhan mulia ini dengan penuh kesabaran dan keinsafan..amin...

Sebelum masuk Ramadhan, semua orang sentiasa ternanti-nanti tarikh mulanya puasa. Macam-macam perancangan awal telah difikirkan untuk memenuhkan Ramadhan. Yang paling utama, semua umat Muhammad s.a.w berlumba-lumba untuk menunaikan solat sunat Terawih dengan sesempurna yang boleh. Bagi yang berkemampuan, sudah tentu telah mengasingkan sebahagian rezeki masing-masing bagi dikongsi oleh mereka yang tidak bernasib baik.

Anak-anak yatim piatu sekarang lebih terurus kerana terdapat banyak rumah-rumah amal yang tersedia samada dari pihak kerajaan mahupun swasta. Tidak menjadi alasan lagi buat kita untuk tidak menyalurkan sedikit sumbangan dalam apa jua bentuk kerana di mana-mana lokasi pasti mudah untuk mencari rumah mereka. Malah bagi mereka yang tidak punya masa untuk berziarah, boleh pada bila-bila memasukkan sejumlah sedekah mengikut kemampuan ke dalam tabung-tabung yang disediakan melalui khidmat pindahan wang di talian.

Namun di dalam keghairahan kita melakukan sedekah, harus diingat bahawa kita mesti berhati-hati kerana terlalu ramai manusia yang gemar mengambil kesempatan dengan mengada-adakan cerita dan 'berlakon' sebagai wakil dari pertubuhan tertentu, malah ada yang melakonkan sendiri watak yang menimbulkan belas kepada kita.

Tidak Riza nafikan, orang Malaysia terlalu pemurah dan tidak boleh melihat kesengsaraan orang lain, apalagi bila ianya di depan mata. Memang sukar untuk mengenalpasti kejujuran mereka. Ada yang mengambil keputusan untuk tidak mengambil peduli siapa yang menguhlurkan tangan kerana bagi mereka hanya Allah saja yang menentukan, janji mereka sudah beramal. Allah tahu niat mereka, katanya.

Ya, benar tapi kalau sumbangan itu dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, bukankah ianya lebih baik? Tidakkah kita terfikir bahawa apa yang kita hulurkan itu adalah sebenarnya dipunyai oleh mereka yang lebih berhak?

Apa yang Riza buat, kadangkala kita kena berdegil sikit dengan orang-orang yang suka mengambil kesempatan ini. Selain dari menyemak kejujuran mereka, Riza akan bertanya kepada gerak hati. Jika was-was dengan kejujuran mereka, Riza akan menolak dengan baik. Namun dengan penolakan itu, tidak bererti kita harus dicop sebagai manusia yang tidak bertanggungjawab dan tiada perasaan.

Jika ada rezeki sikit atau banyak, sedikit dari hasil itu, Riza salurkan kepada saluran yang Riza pilih...samada terus kepada tuan tubuh atau melalui badan yang sah. Sejak kecil Riza diajar untuk menghantar zakat fitrah dari rumah ke rumah mereka yang memerlukan. Ayah Riza memang tidak suka kalau kita wakilkan kepada orang lain. Sewaktu kecil, ayah meletakkan beberapa kampit beras dan sedikit wang dibekalkan kepada Riza dan adik-adik, kami berkayuh ke rumah orang-orang tua dan fakir miskin untuk menyerahkan sendiri sedekah kami.

Sekarang Riza sedar bahawa ianya cukup berkesan. Sehingga kini terbayang wajah-wajah orang tua yang duduk di birai pondok menunggu ketibaan Riza dan adik-adik setiap kali menjelang Ramadhan dan Syawal malah hari-hari lain di bulan-bulan yang dimuliakan. Mereka ini tidak tersenarai di dalam mana-mana list skim bantuan atau yang sewaktu dengannya.

Itu adalah salah satu cara memberi kesedaran kepada anak-anak yang dilakukan oleh ibubapa Riza. Alhamdulillah, ianya membuka mata Riza untuk menghayati dan menyedari tentang betapa beruntungnya Riza dilahirkan di dalam keluarga yang sempurna dan bahagia. Ianya juga memberi pengajaran agar kita bijak menilai dan berusaha sedikit untuk mencari sendiri mereka yang memerlukan dan menanti kehadiran kita. Tidakkah itu lebih afdal wahai rakan-rakanku?

Semoga ianya berterusan...semoga ayahanda dan bondaku akan dirahmati, diberikan kesihatan berpanjangan dan hidup bahagia sampai bila-bila....amin....

Kadangkala orang yang amat memerlukan ada di depan mata kita tetapi kita tidak sedikitpun merenung akan kesakitan dan kepayahannya. Tepuk dada tanya selera. Apapun yang kita lakukan, pasti ianya ada balasan yang sempurna dariNYA jua.

p.s:
Riza bukan menidakkan cara orang lain tetapi sekadar berkongsi pengalaman anak kecil. :)

No comments: