Semalam,Isnin 17 Julai 2006 jam 8.30pm, Teater Penjara Kajang (TEPAK) mengadakan majlis penyampaian saguhati di Dewan Kelab Aktiviti mereka. Setelah hampir setahun barulah tenaga produksi dan pelakon teater HUKUMAN PASTI yang dipersembahkan di Dewan Budaya Shah Alam dapat menikmati imbuhannya. Itupun bukan bayaran setimpal yang sepatutnya mereka terima.
Riza merupakan salah seorang pelakon utama bersama Yanto. Bagi Riza dan Yanto, kami hanya menghadapi masalah kecil atau perkara biasa dalam karier kerana bayaran lakonan telah dilangsaikan oleh Pejabat Kebudayaan Selangor sebaik sahaja persembahan berakhir. Namun tenaga kerja dan pelakon yang merupakan pekerja dan Pegawai Penjara terpaksa menunggu sekian lama hanya kerana mereka berjuang untuk seni.
Dengan lima ribu ringgit (RM5,000) untuk satu produksi, bermula dari kos persiapan, pre-produksi hingga ke hari persembahan, hanya itu yang mereka terima. Untuk menyiapkan set sahaja tidak mungkin akan dapat mencapai kehendak audien yang mengharapkan yang terbaik. Dengan bayaran sedemikian tidak mampu untuk membayar hanya seorang pelakon yang beraksi di ISTANA BUDAYA!
Telah menjangkau empat tahun Riza membantu TEPAK dengan persembahan mereka dari masa kesemasa. Sebagai orang yang cari makan dalam bidang seni, mereka memahami dan menawarkan bayaran dengan kadar harga profesional walaupun Riza cuma menerima separuh dari bayaran sebenar mengikut pasaran seorang artis. Riza puas kerana dapat menjalankan tugasan dengan baik dan faham kedudukan mereka.
Disamping berlakon Riza juga membuat olahan skrip untuk TEPAK pada persembahan terakhir dan membantu serba sedikit dari segi lakonan dan keseluruhan persembahan. Apa yang sebenarnya ingin Riza tekankan di sini ialah persembahan kesenian dari mereka yang benar-benar komited sering dipandang sepi atau hampir dipinggirkan oleh pihak yang berwajib. Mahu atau tidak, perjalanan yang walaupun tempang harus diteruskan.
Diharap pengerusi TEPAK yang baru, Tuan Pegawai Penguatkuasa Ruhaizak yang juga hadir semalam,dapat memberi cahaya baru kepada TEPAK yang mungkin akan hanya tinggal tepak tanpa sireh dan kapur bagai dikatakan Ayahanda Pak Hassan yang merupakan pengarah HUKUMAN PASTI.
Riza bermula dari teater yang banyak mengajar erti kehidupan susah senang perjalanan anak seni. Betapa mudahnya bagi insan yang telah tersedia pakej lengkap (bagai dilaungkan orang sekarang) yang hanya memikirkan kejayaan datang bergolek tanpa usaha!
HIDUP TEATER MALAYSIA!
...Awal Bicara Bismillah, Kuatur Semula Langkah... **Dulunya 'Diari Lusuh Shahriza Mahmud'** ..Bila Terlalu Banyak Perkara, Akhirnya Tiada Perkara..
Monday, July 17, 2006
Sunday, July 16, 2006
Saturday, June 17, 2006
HARUM FADINAH

Terkadang aku menjadi pendiam dan ada waktunya aku bermenung. Menungan yang terlalu jauh,memikirkan perjalanan hidup ini yang terlalu banyak kupersia-siakan tanpa kusedari.Walau ada pencapaian dan tuah yang menyebelahi namun yang pahit tetap mendahului. Ah! Tidak salah untuk kita sesekali mengenangkan kegetiran hidup ini bukan? Terlalu banyak yang ingin kuperkatakan kepada kalian,teman dan adik-adikku. Bukan mudah untuk menjadi anak seni...
Ketabahan dan kesabaran sahaja masih tidak mencukupi.Carilah makna dari kata-kataku ini. Satu hari kamu akan mengerti juga.
Aku akan bertolak ke Pulau Pinang dalam sehari dua ini untuk penggambaran telemovie 'HARUM FADINAH' sempena hari wanita yang akan ditayangkan di RTM. Memegang watak sebagai Norlida,sahabat kepada Fadinah yang menghidap barah serviks.
Diriku,Norlida merupakan bekas pesakit barah payudara yang telah ditinggalkan suami lanjutan penderitaan yang dialami.Norlida memberikan kekuatan kepada Fadinah (Juhara Ayob) untuk meneruskan kehidupan dan berjuang hingga kesaat akhir nafasnya di bumi ini.
Karya Pyan,arahan Jamil.Antara pelakon, Juhara Ayob dan Idris Md.Diah.
Thursday, June 15, 2006
Ku Pendam Jua...

Kalau di ruangan AKTOR, segala tulisan berupa karya kreatif dan perbincangan menjurus kepada kesenian dan lebih tersusun walau pun secara santai. Di sini, saya lebih ingin meluahkan rasa yang pelbagai ini namun masih tak pandai untuk dinyatakan kerna takut disalah anggap...tapi memang sudah lumrah, apa saja yang kita perkatakan akan senantiasa disalah tafsir seolah segala yang diperkatakan ada saja makna yang berganda di sebaliknya. Kenapa harus jadi sebegitu? Jawabnya hanya untuk kepuasan hati masing-masing mencari salah dan silap dan juga mungkin dosa orang lain yang sama sekali mungkin tidak pernah duduk semeja dengannya, apalagi mengenali akrab bagai kita mendalami isi jiwa kita sendiri.
Saya telah lama memendam rasa yang terlalu pelbagai sejak menjadi kononnya orang kuat yang tabah.Memang tampak kesabaran yang tinggi juga ketenangan yang tidak langsung terganggu gugat dengan cemuhan dan salah tanggap dari dunia luar namun hanya Dia yang mengetahui betapa diri ini harus berdiri kukuh dengan genggaman yang kuat di empat penjuru agar tidak dilayangkan angin sepoi yang barangkali tidak akan menjejaskan walau seekor semut yang sedang berehat!
Subscribe to:
Posts (Atom)