Friday, January 23, 2009

Imbas Kembali Seawal Usiaku


Dear Diary,
Aku sebenarnya telah diasuh untuk membaca sejak usiaku di dalam kandungan lagi. Mak dan ayahku masing-masing merupakan seorang guru. Seingat aku, aku selalu dibawa ke sekolah tempat mak mengajar di Sekolah Rendah Tunku Bendahara. Walaupun kami berasal dari Bandar Diraja Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, tapi tugasan mereka sebagai guru telah membawa kami jauh dari Alor Setar.

Apa yang nak aku perkatakan di dalam Diari Lusuh ini, sebelum usiaku 7 tahun aku sudah sering berulang alik ke sekolah. Aku sudah didedahkan kepada suasana bilik guru dan buku-buku. Aku suka mengacau emak sewaktu dia menyediakan tugasannya di dalam buku ringkasan guru yang tebal bersaiz A4 itu. Tiap kali mak dan ayah pulang membawa buku-buku murid untuk disemak, aku yang lebih-lebih mencari pen merah untuk menyemak buku walau masih belum tahu membaca.

Mungkin oleh kerana itu, emak tak lupa membelikan buku-buku setiap kali pulangnya dari sekolah. Buku-buku yang dibelikan mengikut usia pembesaranku. Aku masih ingat dengan jelas, mula-mula mak membelikan gambar-gambar dan nombor-nombor yang dilekatkan di dinding rumah untuk aku belajar walaupun belum tahu erti sekolah yang sebenarnya. Bila usiaku dalam lingkungan 6 hingga 7 tahun, ibu sudah mula membelikan komik ataupun majalah comel yang berilustrasi dengan warna-warna yang cantik.

Aku masih ingat, aku punya koleksi majalah-majalah Bujal dan Bambino yang banyak kerana emak sudah membelikan untukku sejak ianya dikeluarkan mungkin dan emak akan membelikan 2 salinan. Satu untuk aku dan satu lagi untuk kakakku yang setahun lebih tua dariku, Norhaliza yang kini menetap di Johor.

Apabila aku sudah petah berbicara dan pantas membaca dalam usia 8 tahun, emak mula menambahkan koleksi rak buku kami dengan koleksi novel Enid Blyton, namun emak hanya membelikannya di musim cuti sekolah. Alasannya supaya kami tekun menghayati jalan cerita dan tidak membaca separuh jalan. Mustahil kami akan membaca separuh jalan! Malah kami membacanya tanpa henti selagi tak habis! Mana tidaknya, emak membelikan satu set untuk setiap siri novel yang diterbitkan. Apalagi! Berebutlah nak habiskan sebelum cuti sekolah tamat!

Sebut tentang Enid Blyton, baru aku sedar bahawa selama aku membesar dengan novel-novelnya, aku tidak pernah terfikir untuk mencari atau mengetahui kisah-kisah penulisnya. Apa yang aku lakukan hanyalah mengimbau jauh sewaktu aku melalui rak-rak buku kompilasi Enid Blyton samada di MPH mahupun di kedai buku lain. Kerana itu, aku akan menyambung cerita lusuhku ini kemudian, untuk memberi ruang yang lebih untuk aku mengenali penulis yang hebat itu..Sebenarnya sekejap tadi aku dah surf serba sedikit tentang Enid..ada cerita sedih..kerana itu, aku perlu berlari mengejar masa yang telah aku abaikan..

Antara nyata dan kenyataan..


Apabila kenyataan dibalas dengan soalan, maka ianya bukan lagi menjadi kenyataan. Ianya tidak lagi nyata pada penerima kenyataan itu. Maka jadilah ianya suatu perdebatan yang melencong jauh sehingga tersasar dari landasan asas arah tuju kenyataan itu dibuat.

Kenapa harus ada perdebatan bila sesuatu kenyataan itu tidak menyentuh peribadi tukang soal? Mengapa harus ada hasad yang tersorok untuk membangkitkan persoalan demi persoalan? Sedangkan apa yang dinyatakan cukup jelas bagi yang bijak memahami dan ikhlas merenung apa yang nyata dan apa yang hanya dongengan belaka.

Jangankan kalian, malah aku juga terkadang keliru dengan jenis manusia sebegitu. Namun setelah kupujuk minda yang masih waras bersoal dan menjawab dengan rasional pada nafsu amarah ini, maka ianya terlerai dengan sendirinya..

Thursday, January 22, 2009

Masih...


Terlalu lama rasanya perjalanan meniti bara dan merenangi lautan airmata yang tak pernah kering.. Biarpun ianya kering di pipi namun mengapa di hati masih pedih dan bernanah? Luka yang dulu yang kusangka tidak akan ada lagi rupanya masih ada?

Mengapa dan kenapa ianya terus berlaku dalam lautan pengalaman dan ilmu yang semakin mendalam? Segalanya hanyalah persoalan yang akhirnya kujawab sendiri. Jawapannya ada, namun tetap tidak memuaskan hatiku. Kenapa? Sebab..hanya aku dan diriku yang berbalas kata untuk menyedapkan rasa hati yang kecewa.

Ya. Sememangnya itu jawapan yang tepat..dan aku terus menyoal diriku dengan soalan yang sama..Jawapan yang sama dan jalan cerita yang sama akan berulang..

..dan aku masih di sini..dengan persoalan dan permasalahan yang masih sama..

Monday, January 12, 2009

Hidayah Mahabbah Ramadhan

 
Skrip & Arahan : Shahriza Mahmud fdam
Posted by Picasa

“Berapa ramai yang berpuasa, tidak ada baginya daripada puasa melainkan hanya lapar.”
– Riwayat Ibn Majah.

Kalau sudah kaki pancing tegar, digelar Hantu Lubuk pun tidak dipedulikan.

JAMAL sudah berusia 56 tahun tetapi penyakit gila pancingnya melampau-lampau seperti tidak dapat dirawat lagi. Anak isteri dan cucu bagaikan tidak wujud di dalam kamus hidupnya lagi. Hanya lubuk ikan bertemankan anjing menyalak bulan. Dia tidak lagi nampak matahari.

Usia pencennya tidak digunakan untuk beramal ibadat tetapi di mana ada tasik, sungai, laut dan lubuk yang diberitakan banyak ikan, di situlah dia akan berlari pergi.

Isterinya puas berleter. Anak-anak yang bertugas jauh terpaksa berulang alik semata-mata untuk menemankan ibunya yang keseorangan berpuasa. Malam hari JAMAL hilang, siang dia tidur sehingga waktu berbuka. Itupun kalau dia berpuasa. Selalunya alasan tidak mampu kerana telah berumur dan badan sentiasa sakit serta sentiasa panas badan. Tubuhnya yang kononnya kekurangan air membuatkan dia terpaksa sentiasa meminum air.

Jiran dan penghulu kampung selalu bertanya tentang kelibat JAMAL yang tidak langsung muncul di surau. Situasi JAMAL sememangnya merunsingkan bukan sahaja isteri dan anak-anak tetapi semua jiran tetangga yang mengambil berat terhadap keluarganya.

JAMAL pekakkan telinga setiap kali ditegur. Padanya, ini masa untuknya berehat setelah berpuluh tahun menghambakan diri pada pekerjaan.

Ditakdirkan Allah dek kerana berpanas berhujan, tubuh badan JAMAL yang sering sakit-sakit dan lemah telah membuatkannya pengsan di tepi lubuk yang baru ditemuinya. Keluarga dan rakan serta orang kampung mencarinya dimerata tempat.

Allah s.w.t telah memberikannya mimpi selama dia pengsan bertemu dengan pelbagai makhluk yang menyedarkannya akan kebesaran Allah. Walaupun makhluk yang dijelmakan berwajah hodoh yang menakutkannya namun makhluk tersebut tetap menyembah Allah dengan taat setia mereka yang tidak berbelah bagi.

JAMAL akhirnya dipulangkan ke dunia yang fana ini. Anak-anaknya menjumpainya dalam keadaan demam panas dan mereka membawanya pulang. Kini baru JAMAL memberi perhatian kepada segala nasihat TOK IMAM yang mengunjunginya.

TAMAT.