...Awal Bicara Bismillah, Kuatur Semula Langkah... **Dulunya 'Diari Lusuh Shahriza Mahmud'** ..Bila Terlalu Banyak Perkara, Akhirnya Tiada Perkara..
Thursday, May 19, 2011
Harga & Nilai
Riza telah melakukan beberapa siri jelajah bagi mengadakan bengkel Seni Lakonan di seluruh Malaysia sejak lama dahulu. Ramai yang tidak menyedarinya malah ramai yang tidak mengetahui tentang keujudan Riza sebagai seorang fasilitator dalam banyak perkara. Ini kerana Riza menjalankan bengkel secara individu tanpa sokongan dari mana-mana badan atau pihak yang menyara, menaja atau apa saja yang berkaitan sepanjang tugasan dilakukan. Kalau adapun sedikit sokongan moral dan pertolongan dari seorang dua kawan yang tinggal di merata lokasi di seluruh Malaysia seperti Salina Mohd Sobri yang berada di Pulau Pinang. Beliau amat menghargai apa yang Riza lakukan dan memahami susah senang hidup insan seni yang kais pagi makan pagi ini.
Kerana minat dan kesungguhan diri ini, makanya berkali-kali sesetengah pihak dan individu mengambil kesempatan di atas kemurahan hati ini. Kalau orang biasa mendengar keluhan artis tidak dibayar harga khidmat lakonannya, apa kurangnya Riza. Pelbagai cara yang Riza lakukan secara bersendiri untuk membuka mata dan minda para belia dan dewasa tentang betapa pentingnya mempunyai ilmu lakonan sebelum terjun ke bidang yang dikatakan glamor itu NAMUN hampir 100% usaha itu gagal kerana ramai yang mencemuh dan melontarkan kata-kata sinis,"Nak berlakon pun kena belajar ke? Saya boleh terus berlakon sebab saya memang ada bakat. Kalau ada watak untuk saya, panggil lah!".
Sedangkan yang telah lama berkecimpung di dalam bidang lakonan dan telah dikenali ramaipun belum tentu penerbit akan panggil, apalagi seseorang yang tidak pernah langsung masuk ke dalam bidang seni! Keluhan demi keluhan yang tidak pernah sudah, Riza luahkan dan hempas ke dinding. Rasa hati macam merajuk dan hilang semangat tetapi Riza masih tetap di sini. Mengharap sesuatu akan berlaku dengan jayanya.
Alhamdulillah, setelah sekian lama ada juga yang menyedari tentang kepentingan ilmu lakonan, itupun tertakluk kepada mereka yang benar-benar ingin berjaya dan mahu melihat hasil dari apa yang dikerjakan mereka menjadi yang terbaik. Riza 'salute' anak-anak muda mahupun yang telah 'senior' yang sanggup datang untuk belajar. Riza pernah mengadakan kelas penulisan skrip dengan kehadiran hanya seorang sahaja, begitu juga dengan kelas lakonan.
Bila mahukan makanan yang sedap sudah pasti ada harganya. Bila berkira untuk untuk kebaikan, makanya kita pasti akan tetap berabuk di situ juga. Tidak akan kemana-mana. Riza telah mengadakan pelbagai bengkel di merata tempat. Dari yang percuma kepada yang berbayar. Namun tidak ramai yang sanggup untuk mengeluarkan sedikit modal untuk mengutip pengalaman dan ilmu yang Riza ada untuk dicurahkan kepada mereka. Ianya amat menyedihkan apabila semua perkara yang ditawarkan diminta secara percuma oleh mereka. Walaupun apa yang Riza usahakan ini tidak mendapat imbuhan yang sewajarnya tetapi Riza tetap lakukan. Kalau orang berniaga, mereka akan kata Riza bodoh, sebab berkali-kali Riza tawarkan khidmat dengan tidak meminta apa-apa dan akhirnya diri sendiri terhutang dan terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri setelah program tamat. Apa yang tinggal hanyalah kepuasan mengajar dan anak-anak buah mendapat ilmu...namun, mereka tidak tahu samada Riza punya cukup wang untuk meneruskan hidup seharian.
Tidak perlu ditunjukkan di depan mereka, maka simpan saja, biar sendiri yang tanggung. Bila keadaan reda, rezeki Allah datang dari pelbagai cabang tetapi sementara menanti nikmat itu, hanya DIA juga yang tahu liku-liku yang dilalui.
Apa yang boleh Riza katakan di sini, Riza masih berdiri teguh di sini, menanti dan menanti. Menanti tawaran lakonan, menanti hasil tulisan skrip diterima, menanti proposal TV menjadi, menanti anak-anak seni yang masih mencari tapak untuk hadir di dalam hidup ini agar dapat kucurahkan ilmu yang tidak boleh kubawa mati ini! :(
Entah apa yang Riza merapu ni pun, tak tahu! Banyak yang terpendam, banyak yang masih bertapis. Biarlah... Biarlah ianya berkarat lagi bersama DIARI LUSUH ini...
Ya Allah, aku masih perlukan kekuatan yang telah kau kurniakan kepadaku selama ini. Jangan ambil ia dariku sehingga aku bersedia melepaskannya...amin Ya Robbal a'lamin..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment