Sunday, March 15, 2009

Kesamaran Suku Pertama


* Catatan ini kutulis dua hari yang lalu tetapi tidak mampu kukirim kerana ada saja yang tidak mengizinkan. Maka hari ini aku tokok tambah mengikut rasa..*

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...

Mac 15, 2009..kita berada di pertengahan bulan yang bakal menggenapkan suku tahun ini dalam 2 minggu sahaja lagi! Pejam celik, pejam celik, cepatnya masa meninggalkan kita. Nak kata masih baru tahun yang sudah berusia dua setengah bulan ni, tidaklah begitu baru. Nak kata dah tua tahunnya, tidaklah terlalu lama lagi kita tinggalkan tahun 2008 yang masih segar dalam ingatan dengan segala kenangan yang pada hakikatnya tidak banyak berubah dari tahun-tahun sebelumnya, apatah lagi berkaitan peningkatan yang tidaklah begitu meningkat dalam apa jua yang aku lakukan.

Pada pandangan orang lain mungkin ini tidak berlaku padaku tapi hakikatnya hanya aku yang tahu.

Kadangkala ada waktu yang begitu statik dan membosankan dan selebihnya rutin yang sama yang tiada keseronokan kepada jiwa yang sering memberontak dalam diam ini. Kalau adapun perkara yang menarik, semuanya yang aku sengajakan. Dalam ertikata lain, aku memaksa jiwa ini untuk bertindak mencari sesuatu yang berfaedah untuk dilakukan. Biarpun ianya tidaklah memberikan pulangan dari segi kewangan, aku harus lakukannya.

Ini perlu, demi mengelakkan dari terlalu memikirkan dan membenarkan diriku mengaku kalah dengan kegawatan yang tidak menentu.

Tahun yang masih lemah ini, cukup membimbangkan. Jika tahun-tahun yang lalu jiwaku tidak menentu, apa pula yang bakal disajikan kepada masa depanku yang kecil ini?

Aku cuba untuk menutup sebelah mata dengan keriuhan kegawatan yang semakin meruncing di sana sini. Aku katakan pada diriku bahawa aku dan kami yang berada di dalam dunia yang sedikit berbeza dari mereka yang berjuang di bilik berhawa dingin bertingkat-tingkat di sana tidak sama dengan kami. Aku sedapkan hatiku dengan berkira-kira untuk merancang itu dan ini. Aku berharap jiwa ini tidak tertelan dengan mainan ekonomi yang bakal menjerat. Aku tidak mahu tercekik, aku tidak mahu tersedak dalam menikmati makanan enak yang kusuap ke mulut ini biarpun ianya cumalah mee segera!

Aku masih berupaya menangkis segala getar rasa ketidaktentuan itu buat ketika ini. Walaupun kesamaran itu terjelma jua, aku tidak mahu termasuk ke dalam kegelapannya.

Apa yang harus aku dan kita semua lakukan untuk keluar dari kesamaran yang semakin jelas ini? Mungkin tidak kamu tapi aku sendiri yang semakin lemas. Mungkin tidak kamu yang sedang membaca tapi kawan kita yang tiada apa-apa lagi di luar sana yang tidak kita sedari keresahannya ataupun kita buat-buat tak tahu siksa yang ditanggungnya?

Jika aku berupaya, akan cuba kubantu mana yang terdaya. Namun apakan daya, diriku ini pun masih mengais pagi makannya malam dan mengais petang makannya subuh. Itupun jika bernasib baik. Itupun jika kesihatan mengizinkan. Itupun jika DIA mengurniakan dan mengatakan bahawa yang kukais itu rezeki yang telah disediakan untukku. Jika tidak, pasrahlah aku padaNYA tanpa bersoal banyak.

Hanya doa yang tinggal jika aku tetap termasuk ke dalam pintu kegelapan itu. Hanya doa yang mampu berbisik andai segala usaha menemui jalan buntu.

2 comments:

Anonymous said...

samalah kita dalam kesamaran kak..:-)

Shahriza Mahmud said...

samar-pudar-suram-
-blackout!-

;)