Saturday, January 31, 2009

Gara-Gara Logo Bencikan Skim Cepat Kaya


Aku baru saja memuji keluargaku di Facebook semalam..Dalam keghairahan aku menyayangi dan menghormati ahli keluarga dan sahabat di sana, tiba-tiba bagai halilintar aku dipakukan ke tempat yang paling menyakitkan. Semuanya gara-gara logo ini yang telah disalahtafsirkan oleh orang yang tidak langsung aku menduga.

Gara-gara membenci Skim Cepat Kaya, aku kini dibenci seorang insan yang menuduh aku mempromosi skim cepat kaya?? :( Allahuakbar..Subhanallah..Demi Allah..itu bukan aku..

Walau apapun dia telah melepaskan kata-kata kesat yang tidak sepatutnya aku terima. :( . Bukan aku! Bukan aku! Bukan aku!

Hanya kerana nama laman web empunya logo dan namanya seolah laman skim cepat kaya, tanpa usul periksa aku dihukum, walaupun laman yang aku 'link'kan cuma menceritakan tentang perbezaan dan bagaimana untuk mengenali skim cepat kaya di internet. Aku cuma mahu berkongsi agar tidak ada lagi yang tertipu kerana aku juga seringkali di harass oleh orang-orang yang sebegini.

Niat baikku kini menjadikan aku mangsa akhirnya.. :(

Friday, January 30, 2009

Diari Lusuh Di Facebook

Khai dan isteri, Rosma di antara rakan Facebook. Sewaktu pengambaran SEMANIS JANJI di Cameron Highlands, kurang lebih dua minggu lepas.

Terlalu banyak lokasi yang aku singgah sebelum bertapak kekal di Facebook.

Diaryland, Globe, Angelfire, Fortunecity, Blogspot dan banyak lagi yang malas nak aku ingati di saat ini. Apa yang ingin aku perkata hari ini ialah, aku telah bersama Blogspot ( Blogger ) terlalu lama, sebelum Google mengambil alih, sejak ianya mula-mula diperkenalkan. Satu ketika akaunku hilang begitu saja. Aku mula menjauhkan diri dari Blogspot bilamana servisnya teramat lembab dan menyakitkan hati. Untuk memuatnaik sekeping gambarpun kadang-kadang sampai hilang begitu saja. Itu kisah dulu.

Bila timbul macam-macam laman social networking yang lain, aku mula beralih arah dan mengembara dari satu ke satu lokasi sehinggalah kepada mendaftar untuk domain berbayar. Beberapa kali bertukar domain.

Akhirnya aku lekat dengan Facebook yang pada mulanya cumalah kudaftar atas dasar jemputan dari Antares. Setelah sebulan dua kutinggalkan, aku kembali dan mencuba untuk mengembara kedalam Facebook. Ternyata ianya tidak lagi boleh kutinggalkan! Payah nak kuceritakan secara terpeinci. Harus mencuba baru tahu keanehannya. ;)

Paling menarik apabila menulis di dalam blognya yang dipanggil 'notes' di sana. Aku tidak pernah kecewa dengan respon dari rakan-rakan yang cukup supportive! Ada saja yang nak dikomen dan dikongsi. Apatah lagi jikalau aku menukar status update yang dapat dilihat dengan pantas oleh semua rakan yang berjumlah lebih 3,000 orang itu!

Semuanya sudah menjadi sebahagian dari ahli keluargaku. Bagaimana mungkin aku tinggalkan Facebook yang banyak memberikan keceriaan dan ketenangan kepadaku?

Ada beberapa perkara yang membuatkan aku kembali menulis di Blogspot ini. Ianya kerana, semua catatan tersusun dengan mudah dan tumpuan hanya pada catatan yang jelas. Aku mahu menulis dari hati yang lebih dalam. Dari jiwa yang tenang, kusut, gembira, marah, sedih dan penuh dengan rasa yang tersendiri.

Jika di Facebook, ianya lebih kepada seolah gurauan adik beradik. Umpama, itu keluargaku di mana kami bergaul mesra setiap hari sebelum tiba waktu untuk masing-masing beradu dan diketika semua nyenyak tidur, aku membuka diari untuk mencatatkan apa yang telah aku lalui seharian bersama keluarga dan rakan.

Lagipun..sudah lama mata ini terlalu terang dengan hanya warna biru putih di dalam Facebook, membuatkan aku mencari warna dan cahaya yang sedikit ceria di sini..

Aku berharap, keluarga di Facebook memahami dan sesekali singgahlah dan mengembaralah ke dalam DIARI LUSUH saudaramu ini..

Temui daku di FACEBOOK melalui link ini.

Terokailah NOTAKU di sini.

Terima kasih kepada semua rakan dan pengunjung!

Thursday, January 29, 2009

Kesedihan..


Kadangkala aku bersedih tak menentu bila kucuba mententeramkan diri apabila terasa bidasanku menyakiti hati rakan-rakan, ataupun mungkin juga bukan rakan tapi hanya sekadar insan lain yang baru kutemui samada di alam siber mahupun di alam nyata.

Pabila aku sedar secara nyata bahawa seseorang itu tak kira siapa, telah menyentuh hati atau lebih tepat mengguris hatiku, maka aku akan bertindak mempertahankan diri mahupun membalas kembali tindakannya.

Namun kenapa aku pula yang terasa bersalah dan kasihankan insan itu? Hem.. Pelik.. Lemah sangatkah diriku? Lembut sangatkah hatiku? Mungkin ianya kerana aku sayangkan insan lain sebagaimana aku sayangkan rakan-rakan yang telah lama aku kenali.. Ini adalah kerana, dengan adanya rasa kasih di dalam diriku membuatkan aku kisah dan ambil peduli..tapi jika ianya tidak dipedulikan, siapa aku untuk bertanya lagi dan berbaik sangka serta berbudi?

Tuesday, January 27, 2009

Kenapa Diari Lusuh?

Di waktu ini, di pagi subuh hening ini, di ketika nyanyian burung hutan berlagu sesekali, bersaing cengkerik dan si 'riang-riang', aku di dalam kedinginan yang syahdu di pertengahan puncak Genting Highlands yang nyaman teramat. Telah dua hari berlalu tanpa aku melarikan jemari ini di papan kekunci 'laptop'ku. Maka apa yang akan kucoretkan di sini akan menjadi lusuh dengan sendirinya kerana ianya telah berlalu...

Sedari kecil, emak telah memberikan aku dan adik beradikku sebuah diari pada setiap tahun baru (baharu)..err..maaf, tak biasa dengan ejaan baharu ini ;)..

Mak kata,
Tulis apa saja yang terasa di hati dan luahkan segala yang terbuku di dalamnya setiap hari...
Ya..aku telah melakukannya pada setiap hari... Rupanya itu adalah cara bagi emak untuk mengajar kami pelbagai rahsia kehidupan secara tersusun. Walau masih di bawah usia 10 tahun, kami telah membiasakan diri menulis sesuatu pada setiap hari di dalam diari yang dibelikan emak..

Itu dulu..Sejak dewasa, sejak berkomputer, sejak menulis atau lebih tepat menaip skrip, aku menjadi malas untuk menulis ke dalam diari pada setiap hari.. Namun tetap aku berusaha untuk menyimpan ingatan apa saja peristiwa untuk aku catatkan kemudian..

Maka lusuhlah ia setelah catatan itu terkemudian dari masa jadinya..


Kerana itu, terciptalah DIARI LUSUH ini..

..dan..sejarah dua hari lalu masih belum kuceritakan di sini.. mungkin besok akan aku turunkan dari minda lusuh ini di sini..

Jika lusuh, maka biarlah ianya masak dan padat dahulu sebelum diluahkan.. ;)