Monday, October 12, 2009

Penat tetapi puas, tak seberapa tapi berbaloi..


Alhamdulillah..... Bengkel senilakon, penulisan skrip dan dubbing telah berjalan dengan lancar dan sempurna. Penat tetapi puas, tak seberapa tapi berbaloi.

Bengkel senilakon dan skrip bertempat di studio Persatuan SENIMAN Malaysia telah Riza kendalikan pada 10 Oktober mulai jam 0900 hingga 1300. Walaupun cuma dua orang pelajar yang memberikan keputusan untuk hadir, Riza tidak membatalkan bengkel hanya kerana tiada pelajar. Riza pernah mengajar cuma seorang sahaja di dalam satu kelas. Riza sedar, Riza bergerak secara bersendirian tanpa bantuan sesiapa. Jika selalunya Riza dibantu oleh Saddiq tetapi kali ini dia mempunyai tugasan lain.

Walaupun banyak yang perlu dipelajari dan didalami oleh Raihan dan Afiq, namun mereka telah mencuba sebaik mungkin untuk mempraktikkan apa yang telah diajar. Riza berbangga dengan mereka. Afiq cukup bersemangat tetapi dia mempunyai masalah gugup yang agak melampau. Riza terpaksa menenangkannya setiap kali dia gugup untuk mencuba sesuatu yang Riza arahkan. Afiq pelu banyak belajar. Semoga Afiq akan berjaya satu hari nanti, InsyaAllah..

Raihan seorang guru sanggup memandu dari Grik ditemani oleh isteri, semata-mata untuk mengikuti bengkel senilakon dan skrip yang diminati sejak sekian lama tetapi peluang tidak pernah muncul. Walaupun tidak pernah belajar tentang penulisan skrip, Riza kagum dengan semangatnya yang meniru dan mencuba menulis skrip dari apa yang dilihat dan didengarnya sahaja sehingga siap sebuah skrip telemovie. Bagus atau tidak bukan ukurannya kerana mereka yang mempunyai ilmu dalam penulisan pun, belum tentu rajin menulis!

Kelas skrip dihadiri oleh Raihan dan Ali yang sama-sama bersemangat. Ali datang dengan cerpennya yang telah disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia. Ali ingin menjadikannya sebuah skrip. Nasihat dan panduan yang termampu, Riza berikan padanya. Akhirnya ada keputusan menarik yang Ali capai. Riza tak boleh memberitahunya kerana biarlah dia siapkan apa yang akan ditulisnya.

Dari pagi hingga senja Riza mencurahkan apa yang terdaya. Di sebelah malamnya Riza menghadiri jamuan rumah terbuka Dato' Yusof Haslam dan diikuti dengan perjumpaan serta perbincangan bersama teman sehingga jam 0200.

Pagi AHAD, 11 Oktober, Riza tiba di studio dubbing untuk bengkel seterusnya. Steven Patrick merupakan pelajar pertama yang tiba sebelum jam 0900. Memang berdisiplin dan bersemangat!

Kami memulakan kelas lewat 30 minit kerana sedikit masalah. Kelas bermula dengan sesi perkenalan dengan semua pelajar dan Puan Norhayati Yusof, seorang pengarah dubbing, pemilik studio dan rakan lama yang sama-sama berteater di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Riza memulakan sesi pertama dengan latihan persediaan teknik-teknik vokal bagi seorang dubber. Sesi yang cukup menarik! Riza terhibur dengan gelagat Steven, Wan, Anis dan Andrew yang berhempas pulas menggayakan semua teknik yang diajar. TAHNIAH! Anda semua fantastik!

Sesi berlangsung dengan kemas sehingga kepada sesi latihan praktikal di studio di mana kami menyaksikan masing-masing kecut perut apabila benar-benar berhadapan dengan situasi pengalaman seorang dubber. Kami pecah perut melihat gelagat Andrew yang terkial-kial dengan penyebutan bahasa Melayunya yang penuh dengan 'lidah tergeliat'! :) Maklumlah bak kata Andrew sendiri,"Saya anak Mat Saleh..".. Berderai tawa kami dengan slanga Andrew yang comel itu.. :) Pun begitu, tabik! Andrew tidak langsung menunjukkan rasa takut, malu mahupun berkecil hati. Andrew tetap seronok dan 'enjoy' sesi latihan tersebut!

Sesi tamat jam 1330. Kami makan tengahari bersama dan banyak berbual perkara-perkara yang menarik. Jam 1430, ada sesi dubbing sebenar untuk sebuah siri terkenal dari Hollywood. Steven terpaksa pulang kerana akan menghadiri sesi ujibakat di Petaling Jaya tetapi Wan, Anis dan Andrew terus lepak di studio dan melihat setiap proses dubbing sehingga jam 2000 dan kami pulang bersama-sama.

Penatnya tak usah cerita lah tapi Riza puas dan gembira dengan perancangan yang bertukar kepada kenangan manis!

TERIMA KASIH KEPADA SEMUA YANG TERLIBAT!
Kita akan bertemu lagi InsyaAllah!

2 comments:

Anis said...

Tq Riza, mmmg best n njoy attending the dubbing workshop. I sampai la ni dok gelak sorang2 bila dengar balik suara dubbing masing2. Tambah si Andrew yang sebut 'itikkkkkkkkkkkkk' hahaha so cute :)) Hope lps ni ada lg yg menyusul ye, i tunggu bengkel teater plak hehehe. Go Riza Go......

Shahriza Mahmud said...

u r most welcome anis!

i sebenarnya ari tu memang penat sebab malam tak cukup rehat tapi semua tu hilang bila jumpa u all.. ;)