Monday, September 14, 2009

Shahriza Mahmud sedih menjelang raya



Ditulis oleh Rosli Manah
Isnin, 14 September 2009 17:05

Ada sebab mengapa pelakon Shahriza Mahmud berasa sedih menjelang Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut seminggu lagi. Nampaknya kali ini Shahriza tidak boleh menyambutnya dengan penuh semangat dan bergembira.

Pelakon itu masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pergelangan kaki akibat terkena duri landak laut ketika menyelam di Pulau Perhentian, Terengganu, Julai lalu.

Sakitnya semakin beransur sembuh namun kadarnya terlalu perlahan. Malah dia belum tahu apakah dia boleh berjalan seperti biasa pada hari raya nanti.

"Daripada langsung tidak boleh berjalan, saya menggunakan kerusi roda, kemudian bertongkat dan sudah mula belajar melepaskan tongkat. Saya paksa untuk berjalan tanpa tongkat, tapi sebenarnya saya masih rasa sakit.

"Semasa belajar melepaskan tongkat, selepas beberapa langkah berjalan dengan perlahan, saya akan terjengkit-jengkit kembali," kata Shahriza.

Biasanya bisa terkena duri landak laut akan pulih dengen hanya menyimbah cuka dan merendam kaki selama sejam. Tapi kecederaannya agak berat kerana terkena pada pergelangan kaki membuatkan ia kuat membengkak.

Terpaksa tolak tawaran berlakon

Selain memikirkan sambutan raya yang tidak semeriahnya, Shahriza juga terpaksa melepaskan tawaran berlakon yang datang kepadanya akibat kecederaan tersebut.

"Saya ditawarkan watak yang memerlukan saya bergerak lasak selepas raya nanti. Saya jadi resah kerana belum tahu dapat memenuhi tuntutan watak tersebut. Kalaupun saya boleh berjalan dalam masa singkat ini, rasanya untuk watak lasak akan kelihatan sumbang sebab saya belum boleh berlari," jelasnya.

Shahriza bagaimanapun reda menempuh segala-galanya dan sedia menerima sekiranya inilah dugaan untuknya.

"Bagaimana sekalipun ikhtiar yang saya lakukan, jika Allah tidak memulihkan, hanya Dia yang tahu dan hanya Dia yang lebih mengetahui apa yang tersirat. Saya terima seadanya," kata Shahriza lagi.

http://www.manggaonline.com.my

No comments: