Video Lusuh Shahriza Mahmud

Loading...

Sunday, March 29, 2009

Sesekali Melontar Pandangan Peribadi


Komen Riza dari blog Azri Shukri bertajuk:
'Daripada Rakyat Kepada Rakyat: Ke mana Mukhriz Selepas Ini?

Salam saudara Azli dan semua yang telah memberi komen yang cukup jelas.

Saya pernah bertekak secara online dengan seorang hamba Allah yang telah menggunakan nama samaran di dalam fan page TDM ( facebook ) satu ketika dahulu.

Isunya kerana saya menyokong UMNO, TDM, DMM dengan penyampaian saya yang berkobar melalui satu karya sajak yang membangkitkan semangat diketika TDM sering dicemuh!

Orang itu berkata dengan menggunakan kata-kata kesat, jika saya bukan ahli UMNO, saya tiada hak untuk menyibuk. Dia menuduh saya sebagai Melayu yang tidak mengambil tahu tentang jatuh bangunnya bangsa dan sebagainya.

Saya biarkan dia membebel tanpa dia mengetahui secara benar samada saya berada di dalam ataupun di luar UMNO.

Akhirnya saya menjawab sehingga dia diam.

Moral of the story is:

Berdasarkan tajuk saudara Azli, DARIPADA RAKYAT KEPADA RAKYAT.. Bukannya daripada ahli UMNO kepada ahli UMNO sahaja.

Jika benar orang yang mengutuk saya itu adalah ahli UMNO, maka sempitlah pemikiran ahli-ahlinya TAPI saya tidak menghukum terus. Ini kerana saya sedar bukan semua yang berhaluan sepertinya.

Dia adalah di antara semut-semut api yang cuba untuk menjauhkan 'rakyat' dari pemimpin yang disayangi dan dihormati seperti TDM dan DMM.

Saya kira politik wang, politik 'rayuan' yang melampau, politik 'janji' yang menggunung dan politik 'kunjungan' tidak rasmi ke laman sendiri, lebih meyakinkan dan mengikat serta menjerat leher perwakilan yang sudah lupa diri tentang kepada siapa sewajibnya mereka berkhidmat.

Mereka lupa amanah yang dibawa dari akar umbi setelah mabuk dengan gula-gula madu yang mahal harganya! Harga sebuah maruah dan amanah dari rakyat hanyalah serendah gula-gula nipis yang bersalut salam genggaman erat lagi membunuh!

Daripada Rakyat Kepada Rakyat tidak lagi bermakna.

Saya kecewa dengan kekalahan DMM. Teramat kecewa.

'Daripada Rakyat Kepada Rakyat' melalui perwakilan tidak berhasil atas pelbagai alasan dan ulasan yang diberikan semua pihak.

Saya berharap apa yang cuba saudara Azli usahakan akan membuka peluang kedua. Semoga suara rakyat tidak kira dari mana datangnya akan didengari oleh pemimpin teratas!

Ada yang berkata, DMM tidak berani 'all out' seperti KJ. Pada saya,'all out' yang bagaimana? Jika yang menggunakan 'dirty dancing' saya lebih rela DMM kalah!!

Yang terbaik dalam 'pengiraan' belum tentu akan menjadi terbaik di hati dan kemahuan rakyat.

Alangkah bagusnya jika rakyat juga berpeluang membuat undian untuk memilih KP dan apa saja jawatan yang dipertandingkan di dalam sana.

Nama pertama yang akan saya undi, sudah tentu DMM!

DMM for Menteri Belia & Sukan.

Rasional:

1. Belia perlukan DMM yang jujur di hati dan ikhlas di wajah.

2. DMM tepat untuk belia yang perlukan seorang 'abang kandung' dan bukannya 'abang tiri'.

3. Strategi sebelum PRU akan datang. Pembangkang menggunakan belia untuk kepentingan mereka. DMM mampu membawa mereka kembali.

KJ?
No comment..

Salam.

IMEJ

Sunday, March 22, 2009

Tiada Upaya..


Riza & Boboi

Salam terindah hanya buatmu sahabat!

InsyaAllah Riza akan menjadi sahabatmu yang terbaik jika diizinkan upaya minda ini untuk mengingati setiap dari kamu tapi mungkin sukar bagiku. Setiap hari Riza berharap dan berdoa agar diberikan keupayaan itu untuk tidak melupakan kalian. Dek kerana itulah, Riza rajin membalas setiap teguran kerana tahu kamu juga cuba untuk mengingatiku tapi tolonglah..jangan bersedih dan jangan terlalu berharap Riza akan singgah pada setiap rumah pada setiap hari kerana ianya tidak mungkin berlaku kerana beribu sahabatku yang berada di dalam kampung facebook-ku mahupun di mana jua..

Maafkan ya..Namun jika kamu menegurku, InsyaAllah akanku cuba sedaya mampu untuk singgah juga ke lamanmu..InsyaAllah..

Tidak dinafikan, Riza juga punya perasaan merajuk terkadang terlihat ada di antara rakan yang rancak berbual dan menegur rakan yang lain tetapi tidak menjengah Riza, jarang singgah ataupun ada yang tidak langsung pernah bertandang! :(

Riza tidak pasti samada yang tidak pernah bertegur sapa itu adalah rakan atau cuma teman sekampung yang tinggal jauh di pendalaman..

Malam ini Riza akan bertolak ke Pulau Redang bersama sahabat-sahabat 'dubbers' MY MELODY. Kami akan berada di sana selama 3 hari 2 malam. Jika dicampur perjalanan, 5 hari semuanya..

Semoga sahabatku di sini mengharungi hari-hari esok dengan tabah dan ceria ya! I will be back! Jika berpeluang, akan Riza laporkan apa yang sempat. Maaflah jika membebel di hari Ahad yang indah ini.

Hemm.. Angin sepoi menyapa pipiku. Langsir kuning cair di muka pintu balkoniku berbuai gemalai sekali.. fuh!

Alhamdulillah..
Terima kasih Tuhan..
Segala puji hanya bagiMU..
ALLAH tuhanku yang SATU..
Yang memberikan nikmat terbaik buatku..

Subhanallah ( Maha Suci Allah ) X 33..
Alhamdulillah ( Segala Puji Yang Terbaik Hanya Bagi Allah ) X 33..
Allahuakbar ( Allah Maha Besar! ) X 33..

Mendoakan yang terbaik buat kita semua!

AMIN...

Lagu Mymelo Dalam 'My Melody'

Ini lagu tema yang Mymelo nyanyikan dalam siri My Melody! Di bawah kotak 'player' Riza sertakan liriknya. Bolehlah berkaraoke! hihi! ;)


Oto Melody (My Melody Ver~) - Rie Sakuma
Sukisuki suu Fuwafuwa fuu
Konna kimochi MELO MELODY
Yume da kedo Yume ja nai Onegai ne MY MELODY

Otona ja nai Otome desu.
Koisuru no ga shigoto desu
Kimi no namae tsubuyaku to Dokidoki suru no

Kikiwake nai Kono mune ga Utai dashi te tomara nai
Jouzu ja naku te gomennasai Da kedo kii te

Todoke MY MELODY MY MELODY
Hoshizora wo koe te Kimi no yume mamoru RIBBON
MY MELODY HEART mitsuke ta nara
Guruguru maki Shi chau kara ne
Wow wow wo Kakugo shi toi te Uso ja nai

Otona ja nai Otome desu.
Nai tari datte shi chai masu
Onnanokotte mahou de Tsukura re ta no

Sukisuki suu Fuwafuwa fuu
Konna kimochi MELO MELODY
Yume da kedo Yume ja nai Onegai ne MY MELODY

Kirai ja nai Tteyuuka suki
Sunao ni nante nare mase n
Kimi no egao miru dake de Funyafunya suru no

Sorenanoni Sorre na noni!
Nikumareguchi Ucchi makuri
Jitori ni natte ochikon de Makura PUNCH!!

Dakara MY MELODY MY MELODY
Hontou no kimochi Kaze ni natte musubu RIBBON
MY MELODY Utae otomegokoro
Kuru kuru koi Tsukamae chae
Wow wow wo Nigasa nai kara Koko he ki te

Kirai ja nai Tsurai desu (T_T)
Makka ni datte naccha i masu
Onnanokotte fushigi de tsukura re ta no

Todoke MY MELODY MY MELODY
Hoshizora wo koe te Kimi no yume mamoru RIBBON
MY MELODY HEART mitsuke ta nara
Guruguru maki Shi chau kara ne
Wow wow wo Kakugo shi toi te Uso ja nai

Otona ja nai Otome desu.
Nai tari datte shi chai masu
Onnanokotte mahou de Tsukura re ta no

Sukisuki suu Fuwafuwa fuu
Konna kimochi MELO MELODY
Yume da kedo Yume ja nai Onegai ne MY MELODY

MY MELODY
♪ music by rie sakuma...^_^

Friday, March 20, 2009

Memperkenalkan MYMELO!

Ini lah dia Mymelo yang Riza dok tengah dubbing sekarang ni. Jangan tanya bila nak tayang ye.. Just nak memperkenalkan Mymelo yang sume dok tanya-tanya kat fb..


Nama saya Mymelo, saya dilahirkan pada 18 Januari di tempat yang jauh bernama Mari Land. Saya tinggal bersama emak, ayah, nenek dan seorang adik lelaki bernama Rhythm.


Saya seorang yang sangat jujur dan sangat mengambil berat tentang orang lain. Saya sangat suka memasak kek Almond dan saya suka memakannya bersama kawan baik saya bernama Flatto! Dia adalah seekor tikus! hihihi!


Gambar kat bawah ni, masa saya bersama keluarga dan rakan di Mari Land sebelum saya turun ke bumi! Di bumi saya jumpa lebih ramai kawan-kawan yang baik hati macam saya tapi saya juga jumpa ramai orang-orang yang jahat.. :(


Kalau nak jumpa saya, nanti tengoklah tv ye! Suara saya di Malaysia.. er.. suara saya bercakap bahasa Malaysia..ialah Shahriza Mahmud! hihi! Saya suka ketawa kecil dan comel, hihi!

Yay!! ;)

IMAGES:
1 , 2 & 3
4

Hikayat Setempat


1
Hikayat menceritakan
padi dituai beriring keraian
dari kampung ke kampung
canang dipukul membawa jemputan
dipinta berkampung di satu laman.

Peladang petani dikerah bersatu
tampak megah segak lawa belaka
lawak jenaka berseloka berpantun
permainan tradisi rakyat ceria

Melihat gemalai
tari anak dara
hilang lelah
keringat kering
kepuasan dituai.

Kasar tangan bukan kasar budaya yang dibuai
Itu tanda bertapak seni rakyat turun temurun.

Disini kita di hari ini,
berkumpul meriah semua bangsa
mungkin tidak di sawah, tidak di padang
tidak juga di lereng bukit mahupun di bendang
tetapi masih di satu laman yang luas terbentang.

2
Semangat nenek moyang tak pernah pudar
berkampung di bandar tiada yang kurang
di pasar di sawah apa bezanya?
Bendang menghidupkan tari
pasar menyambung seni.

Di sini warisan subur gemilang
budaya digabung dirai sekampung
mana yang datang pasti menyinggah
bersama hidupkan seni setempat
biar pun hanya duduk melihat.

Di pasar seni kita berkampung
kita tarikan lenggok yang lama
tiada ruginya pada yang baru
atau yang batu atau yang kayu.

Dicelah kota gergasi ini
kita curi kita hentikan sedetik
waktu yang deras itu
agar budaya silam mekar selalu.

Banggalah wahai anak dunia
kita masih bertegur sapa
pengisian hikayat setempat yang membara
kita segarkan segalanya yang bernama BUDAYA!

Shahriza Mahmud
Sunday, July 20, 2008
4:05:01 AM

**Ditulis dan dideklamasi di Pasar Seni sempena pelancarannya sebagai salah satu lokasi KL HOTSPOT..seni setempat KL. Tajuk asal Hikayat 'Hotspot'


IMEJ 1
IMEJ 2

Thursday, March 19, 2009

Kecoh Sang Murai


Murai pagi yang menyapaku setiap hari
datang dengan kenakalannya bernyanyi
nyanyian yang membingitkan hati nurani
dia menari,dia berbunyi ik, ik, ik, ik!

Bingit telinga ini setiap pagi
Kenapa murai itu begitu kecoh?

Suaranya seakan gagak
atau disengajakannya?

Mahu membuat aku rimas mungkin
kerana tahu aku sememangnya rimas
atau tahu aku sedang lemas
kerna dia tahu aku lemas?

Murai itu mencuri pandang aku
yang sedang ligat menaip
Murai itu menelengkan kepalanya
Dia lihat, dia teleng, dia perli

Ik, ik, ik, ik!
Perli, teleng, perli, teleng!

Kebiasaannya aku bangun
aku halau dia
Pagi ini aku diam
Aku terbalikkan kemarahanku padanya
yang saban waktu meninggalkan najis
di tembok balkoniku
Aku hanya jeling
dan terus menaip

Tiba-tiba..
Sunyi..

Kemana perginya murai kecoh tadi?
Sejak bila dia menghilangkan diri?
Tidak mahukah dia memerli aku lagi?
Kenapa tidak tunggu aku menghalau?

Sang kecoh telah pergi
selepas mengebom tembokku
dengan najis putih cair pekat

Aku yang harus mencuci lagi
Itu kalau rajin, kalau malas..
akan aku biarkan ianya kering dan keras
hancur juga nanti dek pancaran matahari
Tidakpun akan cair ditimpa hujan

Jika malang nasibku..
Belum sempat panas mengeringkannya
hujan pasti mencairkannya semula
Belum sempat hujan menyapunya bersih
hujan berhenti dan panas membakar semula
Maka najis itu akan kekal dengan
warna, bentuk dan duduknya yang sama

Aku benci kamu!

Kata kawanku,
jangan benci
jangan halau
Itu pembawa rezeki

Murai kecoh bawa rezeki?
Jadi harus aku biarkan dia
mengotorkan lamanku?

Kawanku kata lagi,
beri dia makan
kerana dia pembawa rezeki

Aku ketawa dalam
Aku tak mahu dengar
Aku cebikkan saja dia

Bukannya SiKecoh pembawa rezeki
Allah s.w.t Maha Esa pemberi abadi.

Murai itu ciptaanNYA jua
yang menumpang teduh mungkin
juga mencari rezeki di balkoniku
atau persinggahan setiap pagi
sebelum ke pasar paginya sendiri
mencari rezeki dari Allah jua
di celahan pepohon hijau
di bawah bukit sana.


SHAHRIZA MAHMUD
Thursday, March 19, 2009
10:42 AM

IMEJ

Wednesday, March 18, 2009

Hasutan Ular - Part 2


Salam!

Hampir sebulan Riza berjanji untuk meneruskan penceritaan HASUTAN ULAR bahagian pertama yang tertangguh! Maaf dipinta kerana ia memang disengajakan kerana menunggu mood yang baik untuk melemparkan kata-kata dengan lancar apabila ianya mahu Riza ceritakan.

Bagi yang belum membaca bahagian pertama, klik saja link HASUTAN ULAR bahagian-1 ini.

Baik, sekarang Riza teruskan...

Sebelum pengambaran Ikan Kering Nasi Hangit bermula, kami harus turun padang untuk mencari lokasi dan membuat segala persediaan yang perlu. Riza kehulu-kehilir bersama pengarah dan beberapa tenaga produksi yang perlu. Penolong Pengurus Produksi ( PPM ) kepada Riza cuma sesekali mengikuti. Riza pun tak kisah sebab Riza boleh buat semuanya dengan mudah walaupun pada hakikatnya dia harus turut serta. Namun demi memandangkan bayarannya tidak seberapa dan dia mempunyai isteri yang sedang sarat mengandung, Riza ikhlas tak kisah.

Di hari pengambaran pertama, 'call time' bagi semua krew dan artis adalah pada pukul 7 pagi. Apabila Riza sampai di lokasi, pengarah sudah terpacak menunggu. Kemudian barulah yang lain-lainnya muncul seorang demi seorang. Riza menjadi serba salah bilamana penolong Riza ( PPM ) tidak sampai-sampai. Dia tidak menghubungi dan tidak juga dapat dihubungi.

Memandangkan semua kerja beres, masing-masing tidak perasan dan tidak begitu kisah dengan ketiadaan dia. Kurang lebih jam 11 pagi, PPM ini datang dengan muka selamba. Dia memberikan alasan terpaksa menghantar isterinya ke hospital. Riza terima.

Setiap hari berlalu dan alasan yang sama seringkali digunakan termasuk beberapa alasan lagi yang menyesak jiwa. Riza senang saja, kalau orang dah begitu, Riza teruskan semua kerja, tak payah minta pembantu menolong.

Akhirnya Riza tinggalkan dia di lokasi untuk menguruskan keperluan produksi di set, sementara Riza berlari ke sana sini dengan van yang disediakan untuk membeli barang keperluan, untuk menghantar tape, untuk mencari lokasi yang ditukar dan bermacam-macam lagi. Riza tak suka kalau mengarahkan orang yang akan menarik muka masam kerut seribu! Namun, itu bakal merupakan pertama dan terakhir lah! Riza cuma perlu bersabar sehingga pengambaran tamat.

Setiap pagi subuh Riza terpaksa memandu seorang diri dari Kuala Lumpur untuk mengambil artis yang tinggal jauh di pendalaman di Kelang dan di beberapa tempat di KL. Kadang-kadang bersama 'runner'. PPM sudah tak boleh diharap, jadi tak guna memaksa dia. Nak ditegur dia jauh lebih berumur dari RIza. Sepatutnya sekali cakap cukuplah.

Bayangkan betapa peritnya untuk menunggu pengambaran yang memakan masa lebih kurang dua bulan itu tamat dengan terpaksa melayan kerenahnya. Riza masih bersabar kerana Riza yang memperkenalkan dia dengan penerbit dan beria-ia mengatakan dia memang boleh diharap!

Hari kian berlalu, Riza tak ambil pusing gosip-gosip di lokasi. Riza tak mahu bersangka buruk pada sesiapa tapi seperti ada satu pandangan berbeza setiap kali Riza hadir ke lokasi. Riza tiada masa untuk berceloteh kerana masa suntuk untuk menyiapkan semua kerja sendirian. PPM goyang kaki di lokasi. Pengarah pun tak bersoal banyak kerana semua kerja selesai. Dia tak pernah bertanya lebih dan hampir tidak bertanya langsung!

Hari-hari terakhir pengambaran, Riza mendapat tajaan sebuah resort hotel di Port Dickson. Terima kasih yang tidak terhingga Riza ucapkan kepada sahabat yang memberi kepercayaan kepada Riza. Sahabat ini juga ada di dalam facebook Riza sekarang. Jika dia dapat membacanya mungkin dia akan faham duduk perkara yang sebenar di sebalik tragedi yang bakal Riza ceritakan seketika nanti.

Kami diberikan beberapa buah bilik untuk artis dan krew. Penggunaan kawasan pengambaran juga percuma di resort hotel bertaraf lima bintang itu. Riza berpesan kepada PPM agar sama-sama membantu menjaga nama baik produksi sepanjang pengambaran. Harus diingat di sini, walaupun Riza malas ambil pusing dengan kerenah PPM tapi Riza tetap memberikan arahan kepadanya untuk melakukan kerja-kerja yang perlu.

Riza mahu dia tahu bahawa Riza tetap percayakan dia dan masih boleh menerimanya TETAPI Riza tetap 'backup' dengan tindakan seterusnya jika dia gagal melakukannya.

Memandangkan minggu terakhir pengambaran, banyak kerja penutupan akaun dan pembayaran kepada pihak-pihak tertentu yang wajib Riza langsaikan. Sudah tentu Riza akan menjadi terlalu sibuk. Mahu atau tidak, Riza terpaksa meminta PPM untuk membantu di set ketika Riza menyusun kerja-kerja di dalam bilik.

Tidak sampai sejam di lokasi, tiba-tiba PPM pulang ke bilik dan tidak keluar-keluar. Riza bertanya kenapa tinggalkan set? Jawapannya mudah,"Mengantuk!". Besok pula jawapannya,"Pening!" dan seterusnya dengan seribu satu alasan!

Hanya tuhan yang tahu gelodak kemarahan hati Riza. Namun Riza bersabar lagi. Cuma tinggal beberapa hari saja lagi untuk menamatkan pengambaran. Beberapa kali Riza berulang alik ke biliknya untuk mengejutkan dia. Akhirnya Riza berjaya juga memaksanya bangun kerana Riza harus pulang ke Kuala Lumpur untuk menghantar resit-resit dan baucer pembayaran. Ini prosedur, jika tidak kami tidak akan diberikan tunai untuk melangsaikan pembayaran terakhir yang berkaitan produksi.

Riza pesan kepadanya yang Riza terpaksa pulang untuk mengambil wang dan menghantar tape yang telah siap. Riza minta dia mengawasi apa yang diperlukan di lokasi. Riza minta dia keluar membelikan makanan tengahari untuk semua. Waktu itu, dek karana terpaksa menjaga banyak perkara, Riza tidak sempat untuk pulang mengambil duit dan akibatnya Riza terpaksa menggunakan wang saku sendiri. Riza cuma ada sedikit wang terakhir di ketika ini. Riza berikan kepada PPM.

Riza pesan, kalau tak cukup untuk membeli nasi, pinjamkan dulu duit dia untuk ditambah sedikit tapi Riza minta dia cuba bajet agar tidak lebih dari peruntukan yang Riza beri. Riza tanya dulu,"Abang ada duit lebih tak?". Dia jawab ada dalam RM50. Dia bersetuju untuk meminjamkan jika perlu. Riza cakap bila Riza balik dari KL nanti, Riza akan pulangkan. Itulah merupakan kali pertama sepanjang pengambaran, Riza minta dia bersedia untuk meminjamkan wangnya jika perlu.

PPM masih berlagak macho dan mengangguk konon faham.

Disebabkan kenderaan semuanya digunakan di waktu itu, Riza terpaksa memandu van krew yang panjang dan bertutup rapat tanpa hawa dingin! Hanya tuhan yang tahu selepas pengambaran ini bagaimana rupa Riza. Berjemur, berpanas, berhujan, berembun dan sebagainya! Tidur tak payah cakaplah.. Nak dapat dua jam sehari pun payah! ;)

Sepanjang perjalanan, hati Riza sentiasa gelisah. Tak tahu kenapa. Riza berselawat berkali-kali untuk menghilangkan keresahan itu. Sewaktu di pejabat, Riza terima panggilan dari lokasi. Jurusolek kata,"Baik you balik cepat, kalau tidak masalah kita nanti.".

Tanpa banyak soal, setelah semua tugasan selesai, Riza terus memandu pulang ke PD. Hanya tuhan yang tahun betapa kencang debaran jantung ini di sepanjang perjalanan pulang. Apakah yang telah berlaku dan telah dilakukannya? Riza memandu dengan cukup laju. Cukup laju untuk memenangi perlumbaan lumba kereta di Batu Tiga!

Setibanya ke bilik, Riza nampak PPM berjalan ke bilik dengan muka bengis dan dahinya berdarah. Hati Riza yang resah gelisah bertambah kencang. Serentak dengan itu, Riza menerima panggilan dari pengarah agar segera ke set pengambaran yang ketika itu di restoran resort.

Setibanya Riza di restoran hati Riza menjerit,"Ya Allah! Apa ni?"..

Riza lihat pinggan mangkuk hotel yang asalnya tersusun rapi untuk buffet makanan tengahari berselerak di lantai.

Pengarah lepas tangan. Dia cuma kata,"You settlekan semuanya.". Kemudian dia berlalu!

Penolong Pengarah dengan hilang hormatnya telah menengking Riza,"You pergi mana? Kenapa you tinggalkan lokasi? Makan tengahari mana?"

Bertubi-tubi soalan yang menggegarkan dihantukkan ke otakku yang hampir meletup ini! Padahal, Riza dah pesan pada semua yang Riza terpaksa balik ke pejabat dan telah meletakkan tanggungjawab kepada PPM. Semua orang tahu.

Nak tahu apa yang telah membuatkan Penolong Pengarah naik angin dan bagaimana turutan tragedi itu sebenarnya? Riza akan menulis lagi di Bahagian ke-3!

Fuhh!! Tension mengenangkan kembali kepedihan ini.. Biarkan Riza pulihkan semangat dulu, nanti akanku sambung semula ya!

Salam!

GAMBAR:
Eizlan Yusof ( sebagai suami Maria Farida ) dan Kartina Aziz ( sebagai emak Eizlan ) dan Riza sendiri sebagai 'pelakon teater' yang diupah oleh ibu Eizlan untuk berlakon sebagai orang gaji yang berasal dari Indonesia untuk menyatukan mereka. - Genre komedi.

IMEJ 2
IMEJ 3

Tuesday, March 17, 2009

Keadilan Kasih


kesedihan berbeda-beda..

ada yang diada-ada,
ada yang bersahaja,
ada yang mahu menduga.. ;)

matahari kini tidak seperti dulu
adakah siang dan malam berganti?

aku kini semakin keliru amat,
kerna matahariku tidak mahu malu.

bulanku bersedih,
kerna tidak tahu di mana dirinya.

lantas kubisikkan ke hatinya..
aku tetap di sini sepertimu jua..

Shahriza Mahmud
Mac 2009


IMEJ

Bisakah Diduga?


Erin, Norhajariah, Baizura, Jeff, Rabithah, Azman, Armand, Syd, Noor, Helmi, Nurul, Bob, Adrian, Afiq DAN semua sahabatku yang tidak mampu kurakam semua namamu. Sekadar menyebut beberapa nama yang menegurku di pagi yang indah ini dengan kicauan burung yang menemaniku di balkoni kamarku..

Ada yang kata rakan
dia pula suka kawan
yang itu suka sahabat
dan kamu suka teman
mungkin juga kenalan

mereka kata maknanya sama
benarkah kenyataan semua?

bagiku ianya berbeza sungguh
jika tidak masakan berbilang?

kenalan, harus kenal mungkin tidak dekat
kawan, mungkin kenal tapi belum tentu dekat
rakan, barangkali yang sewenang di'add' di fb?
sahabat, seperti kalian yang cuba memahami aku
teman, mungkin kalangan sahabat,mungkin tidak!

hemm..
kukira..
di sini..
ramai..
sekadar..
kenalan..

mungkin lebih ramai
di bwah paras kenalan.

tidak musuh tetapi tidak begitu kenal
kenal cuma pada rupa tidak pada hati
kenal pada wajah coretan dan cerita cuma
kerna tidak mendekati apalagi menyentuhi

sentuhan sahabat,
sentuhan teman,
payah ditemui.

adanya kalian
sudah memadai.

jangan berkecil hati
jika payah meletakkan diri
memilih pilihan yang diberi
kerna ia tidak datang sendiri
jauh dibuat barangan jual beli
fikirkanlah cara menyirami
persahabatan yang sejati.

syukur tidak berbelah bagi
Alhamdulillahku berkali-kali
agar persahabatan ini diberkati.

Shahriza Mahmud
Mac 2009



IMEJ 1
IMEJ 2

Sunday, March 15, 2009

Kesamaran Suku Pertama


* Catatan ini kutulis dua hari yang lalu tetapi tidak mampu kukirim kerana ada saja yang tidak mengizinkan. Maka hari ini aku tokok tambah mengikut rasa..*

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh...

Mac 15, 2009..kita berada di pertengahan bulan yang bakal menggenapkan suku tahun ini dalam 2 minggu sahaja lagi! Pejam celik, pejam celik, cepatnya masa meninggalkan kita. Nak kata masih baru tahun yang sudah berusia dua setengah bulan ni, tidaklah begitu baru. Nak kata dah tua tahunnya, tidaklah terlalu lama lagi kita tinggalkan tahun 2008 yang masih segar dalam ingatan dengan segala kenangan yang pada hakikatnya tidak banyak berubah dari tahun-tahun sebelumnya, apatah lagi berkaitan peningkatan yang tidaklah begitu meningkat dalam apa jua yang aku lakukan.

Pada pandangan orang lain mungkin ini tidak berlaku padaku tapi hakikatnya hanya aku yang tahu.

Kadangkala ada waktu yang begitu statik dan membosankan dan selebihnya rutin yang sama yang tiada keseronokan kepada jiwa yang sering memberontak dalam diam ini. Kalau adapun perkara yang menarik, semuanya yang aku sengajakan. Dalam ertikata lain, aku memaksa jiwa ini untuk bertindak mencari sesuatu yang berfaedah untuk dilakukan. Biarpun ianya tidaklah memberikan pulangan dari segi kewangan, aku harus lakukannya.

Ini perlu, demi mengelakkan dari terlalu memikirkan dan membenarkan diriku mengaku kalah dengan kegawatan yang tidak menentu.

Tahun yang masih lemah ini, cukup membimbangkan. Jika tahun-tahun yang lalu jiwaku tidak menentu, apa pula yang bakal disajikan kepada masa depanku yang kecil ini?

Aku cuba untuk menutup sebelah mata dengan keriuhan kegawatan yang semakin meruncing di sana sini. Aku katakan pada diriku bahawa aku dan kami yang berada di dalam dunia yang sedikit berbeza dari mereka yang berjuang di bilik berhawa dingin bertingkat-tingkat di sana tidak sama dengan kami. Aku sedapkan hatiku dengan berkira-kira untuk merancang itu dan ini. Aku berharap jiwa ini tidak tertelan dengan mainan ekonomi yang bakal menjerat. Aku tidak mahu tercekik, aku tidak mahu tersedak dalam menikmati makanan enak yang kusuap ke mulut ini biarpun ianya cumalah mee segera!

Aku masih berupaya menangkis segala getar rasa ketidaktentuan itu buat ketika ini. Walaupun kesamaran itu terjelma jua, aku tidak mahu termasuk ke dalam kegelapannya.

Apa yang harus aku dan kita semua lakukan untuk keluar dari kesamaran yang semakin jelas ini? Mungkin tidak kamu tapi aku sendiri yang semakin lemas. Mungkin tidak kamu yang sedang membaca tapi kawan kita yang tiada apa-apa lagi di luar sana yang tidak kita sedari keresahannya ataupun kita buat-buat tak tahu siksa yang ditanggungnya?

Jika aku berupaya, akan cuba kubantu mana yang terdaya. Namun apakan daya, diriku ini pun masih mengais pagi makannya malam dan mengais petang makannya subuh. Itupun jika bernasib baik. Itupun jika kesihatan mengizinkan. Itupun jika DIA mengurniakan dan mengatakan bahawa yang kukais itu rezeki yang telah disediakan untukku. Jika tidak, pasrahlah aku padaNYA tanpa bersoal banyak.

Hanya doa yang tinggal jika aku tetap termasuk ke dalam pintu kegelapan itu. Hanya doa yang mampu berbisik andai segala usaha menemui jalan buntu.

Saturday, March 14, 2009

Kehadiran dan Kepulangan


Kamu dilahirkan,
kamu ditinggalkan
untuk terus berjuang

"Adilkah itu?"
Itu kamu tanyakan padaku,
kamu pinta jawapan jitu

Kataku cuma satu
Jawapan hanya ada pada DIA
Tanyalah DIA yang menjemputnya

Ternyata kau tidak akan bertanya
kerana tahu bonda ada bersamaNYA
Gantikan pertanyaanmu dengan doa
jaminan kedamaian jiwa yang lara

Senyumlah wahai dinda..
Tak perlu kau tangisi lagi,
kerana bonda tenang di sana.

Shahriza Mahmud
Mac 2009

Thursday, March 12, 2009

Buat Erin Sharina


Cetusan dari ERIN SHARINA kepadaku:

"Kata-katamu membuat hatiku pedih..
mengenangkan ibuku yang tiada lagi..
sungguh tisu hatiku terkoyak kembali..
dan mata ini berkolam tidak henti" - Erin Sharina


=================================================================

Jawapanku:

dik erin,

itu tandanya ibu menyentuhi dadamu..
tatkala kau tidak menyedari hadirnya..

dia masih merenung wajah mulusmu..
di sisimu setiap saat dan ketika berlalu..
jika kau berlagu Al-Fatehah kepadanya..
nescaya ibu juga berdendang untukmu..

walau alam ibu dan anak bagai terpisah,
namun dia tetap menjaga dan membelai..
tanpa kau sedari, tanpa kau merasai,
dia ada di sisi, mungkin juga menangisi
melihat anakanda tercinta merindui..

percayalah sayang, ibu juga mencintai..
ketahuilah kasih, ibu menantimu di syurgawi...

Shahriza Mahmud
Mac 2009


p.s:
LINK IMEJ

Bicara SpontanTerkenang Ibu


Akma Badri:
buntu mencari jawapan pada persoalan

Shahriza Mahmud:
kau dan aku
kini dipinggiran atau dipinggirkan?

Akma Badri:
andai bisa kuputar waktu
menghentikan saat jarum berdetik laju

Shahriza Mahmud:
akanku pulang ke detik kelahiranku..
kerana sejuk perut ibu penenangku..

Akma Badri:
ibu lah pemangkin jiwa ku nan lara
demi dia, aku harus bangkit kuat
walau lelah menahan dugaan

Shahriza Mahmud:
terkenang ibu, percuma titisan jernih tumpah lagi..
tanpa ibu, perjalananku lemah tersadai sepi..
suara ibu walau jauh, mengejutkan aku semula..
agar lamunan berpanjangan dihentikan segera..

Akma Badri:
Demi Dia....Aku di sini
Walau payah
mencari jawapan yang pasti
ia harus kutemui....

Shahriza Mahmud:
kebuntuan itu pasti terlerai..
persoalan hanya sementara..
jawapannya ada di mana-mana
ibu tahu itu, ibu percaya kamu!

Shahriza Mahmud & Akma Badri
Mac 2009


IMAGE'S LINK

Tuesday, March 10, 2009

Semangat Sungai dan Bukit


Salam syukur!

Perkampungan Janda Baik, Pahang, bukannya jauh sangat dari Kuala Lumpur. Kalau nak ke sana, tiap-tiap hari pun boleh. Kalau kita fikir jauh, jauhlah jadinya. Bagi Riza, perjalanan keluar dari rumah ke persimpangan tol Gombak-Genting Highlands tak perlulah dikira. Ini kerana jalan-jalan di Kuala Lumpur ni, ikut manapun lebih kurang sama saja jaraknya. Pengembaraan sebenar bermula selepas tol Gombak! Untuk sampai ke Genting Sempah cuma mengambil masa sekitar 20 minit sahaja dan perjalanan ke Kampung Janda Baik lebih kurang 20 minit lagi! Kalau terperangkap di dalam kesesakan di KL, berjam-jam pun ada! Apalah sangat 40 minit? ;)

SANTAI LEPAK bersama rakan-rakan lama dan baru di Hawa Resort And Training Center, Janda Baik cukup meninggalkan kenangan yang tidak mungkin kami lupakan. Kami menggunakan jangkawaktu yang sesingkat 3 hari 2 malam untuk segala macam aktiviti yang kalau diikutkan rasa, memang memenatkan badan tapi kepuasan dan tenaga yang dikeluarkan sebenarnya memulihkan kembali kelesuan tubuh selama bertungkus lumus bekerja!

Izinkan Riza menyebut semua nama yang turut serta supaya tidak lupa di kemudian hari. Al-maklumlah..nak mengingati semua nama mungkin tidak akan semudah sekarang, pada 10 tahun akan datang di mana bukan saja diarinya sudah lusuh, malah mungkin ingatannya juga lusuh nanti.. ;)

Riza ke sana bersama rakan lama yang mana jatuh bangun kami tetap bersama sewaktu Riza di dalam kumpulan teater Artis Penjuru Alam ( A.P.A ), Wilayah Persekutuan. Bahar Mat Akhir dan Norwaty Mat, suami isteri yang kini telah menubuhkan kumpulan baru yang dikenali sebagai kumpulan PESONA Seni KL. Dua orang anak mereka, Daniel, 17 tahun, penggesek biola bersama orkestra remaja dan Mikhael yang baru berusia 13 tahun tetapi telah mahir bermain violin!

Azaiddy yang lucu telah lama mengembara mencari ilmu di United Kingdom kini kembali semula bersama teater dan minatnya cukup mendalam. Walaupun beliau merupakan seorang arkitek tapi boleh tahan juga 'gila'nya tu! hehe! Kalau nak cerita sejarah persahabatan kami memang berjela-jela! Lupakan dulu..Biar Riza kenalkan beberapa orang insan lagi yang turut serta. Saddiq, Anis, Idham, Mahathir, Sofiah, Afiq, Rafi, Hamdan dan isteri serta tiga orang anak-anak mereka yang comel!

15 orang semuanya termasuk Riza! 18 kalau dikira bersama 3 orang anak-anak kecil itu. ;)

7 Mac:

Riza, Saddiq dan Afiq sampai agak awal sekitar jam 10.30 pagi. Kami singgah di Pondok Pak Habib dulu. Jumpa Uncle ( yang citer misteri antu-antu kat NTV7 tu! ) hihi.. Uncle tengah sakit gigi, sama la pulak dengan Riza. Sepanjang perjalanan tahan je lah 'lalok' ubat penahan sakit. Borak-borak kejap, pastu jumpa Kak Fairus, anak angkat Pak Habib. Riza ajak dia makan tengahari di tempat kami sebab yang lain akan sampai lewat, sedangkan makanan telah ditempah untuk 15 orang! Riza pula bukannya boleh makan banyak sangat pun. Kalau gusi tak bengkak, boleh lah redah juga. ;)

Lewat petang menghampiri maghrib baru teman-teman yang lain sampai. Rezeki mereka memang langkah kiri. Makanan yang kami simpan telah diangkat untuk diganti dengan makanan malam! Rugi wo! Sedap sangat! Masakan ala kampung dengan sambal udang pedai, siput sedut masak lemak cili api, sayur campur dan daging masak kicap beserta ulam-ulaman. Sambal belacan tok sah citer lah! Kalau tengok menu mungkin nampak biasa je tapi enak rasanya...fulamak! Terangkat! Riza pun rasa rugi gak sebab tak boleh makan lebih.

Sebelah malamnya hujan turun mencurah-curah TETAPI kami tetap menjalankan aktiviti santai dengan acara yang menghiburkan hati masing-masing. Ada yang bermain ping pong, ada yang berlatih lakonan teater, menonton tv dan ada yang membaca buku bersama.

Mikhael Bahar sedang membaca buku Awang Vampiro karya Nizam Zakaria. Di luar hujan lebat dan angin kuat, jadi kami membaca di dalam bilik saja.

Riza memilih untuk membaca buku bersama Mikhael dan Saddiq. Kami membaca buku dengan gaya masing-masing. Buku yang kami pilih ialah Awang Vampiro dan karya Shakespeare. Dalam sakit-sakit gigi tu, sempat lagi menyakat Mikhael yang comel tu! Bila ada bahagian yang suspen di dalam novel, Riza dan Saddiq akan menggunakan suara kasar dan menyeramkan. Melompat lah Mikhael! hehe!

Bila masing-masing selesai dengan 'santai utama' pilihan masing-masing, kami bermain 'board game' dan berbual sampai awal pagi.

8 Mac:

Pagi yang menyehatkan! Jam 7 pagi kami semua berkumpul di depan bilik untuk acara SENAM SENI yang diketuai oleh Idham! Best! Bersenam menggunakan lagu-lagu dan langkah-langkah tarian tradisional Melayu Malaysia! Waktu ni, Riza masih tidak dapat mengikut sepenuhnya kerana masih di bawah pengaruh sakit gigi.. ;) TETAPI tetap nak ikut juga!

Selesai Senam Seni kami bersarapan nasi lemak kampung yang wallaaa!! Sedap! Sambalnya..fuh! Payah nak citer!

Lepas makan je, Riza berazam untuk sejukkan badan yang panas ini dengan berendam di dalam sungai. Memang tak pernah dibuat! Dari pagi sampai ke petang, baju yang melekat di tubuh hampir tak pernah kering! Sebabnya asyik berendam je! Naik ke atas untuk makan dan mengerjakan apa yang patut sahaja. Lepas tu tukar baju, terjun lagi!

Bila badan dah rasa lega sikit, di sebelah petangnya atas permintaan Riza, kami adakan satu sessi lagi SENAM SENI. Kali ini Riza buat sungguh-sungguh. Berpeluh-peluh badan. Seronoknya. Puas! Lupa sakit.

Antara aktiviti lain yang kami lakukan termasuklah menyusun batu di dalam sungai yang dibuat sebagai benteng. Best sangat! Ramai-ramai mengangkat batu kecil dan besar dan akhirnya pada hari ke-2 kami dapat membuat empangan air untuk berendam dan berenang!

Dipendekkan kisah yang panjang lebar ini, kami semua berpuashati dengan segalanya baik makan minum mahupun perkongsian persahabatan yang membawa kepada muafakat untuk bergembira melupakan duka di sana! ;)

Ikut hati nak menaip lagi ni..tapi tangan dah lenguh, kesan angkat batu dan terlebih berendam dalam sungai! ;) Nantilah..kalau teringat dan larat, akan Riza sambung lagi!

Oh ya! Hari ke-3 di sana, Riza pulih sepenuhnya! Kalau ada sisa-sisa ngilu di gigi mungkin cuma tinggal 5 peratus sahaja! Itulah dia, semangat sungai dan bukit ni, lain sikit perginya. Kalau nak rasa, jangan lupa mendekati dan memahami mereka. Kunjungilah mereka selalu agar semangat yang hilang bisa dipulihkan tanpa kita sedari! ;)

Wassalam!

Saturday, March 07, 2009

Khutbah Terakhir


Salam sayangku sahabat..

Aku diam semalam. Sehari setengah aku diam. Mulanya Riza nak update status di facebook tapi penat rasanya asyik bercerita tentang sakit saja. Entahlah, agaknya awal tahun 2009 ini merupakan permulaan tahun yang menyakitkan bagi Riza dan itulah nikmat yang diberikanNYA untuk kutempuhi.

Dua hari lepas Riza makan pizza. Riza memang suka pedas. Riza letak cili tak ingat dunia. Agaknya cili kering yang halus-halus tu terlekat di celahan gigi dan gusi yang tak tercapai dek berus gigi. Apalagi bila bangun pagi, mulalah panas gusi naik ke kepala dan tekak pun sakit kerana panas. Riza minum air, Riza berkumur dan buat macam-macam namun tak berkesan.

Akhirnya Riza telan lagi Panadol Actifast! Memang menjadi sebagai penahan sakit tapi bila efeknya hilang, datang lagi sakitnya. Nak buat macamana... Sabar je lah.. Semalam, Riza tak sentuh langsung komputer! Cuma di sebelah pagi sewaktu sakitnya bertambah, Riza rasa tak seronok kalau tak di update status di facebook. Riza akhiri pagi semalam dengan ucapan selamat pagi. Selepas itu, Riza berguling di atas katil! ;)

Dalam hati, hanya tuhan yang tahu bosannya menunggu sakit ini hilang. Sekarang jam 4.08 pagi, Sabtu 7hb. Mac 2009. Lebih kurang setengah jam yang lalu Riza bangun dan tergigil-gigil menelan dua biji lagi ubat. Sebab itu Riza boleh menulis sesuatu sekarang!

Kurang lebih 4 jam lagi Riza akan bertolak ke Janda Baik untuk SANTAI LEPAK bersama rakan-rakanku lama dan baru. Riza berharap sakit ini tidak akan mengganggu perjalanan santai kami nanti. Riza berharap dapat dengan tenang dan aman berselawat ditengah hutan yang nyaman dan segar itu. Jika tidak kerana cuti sempena kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, mungkin payah untuk sebahagian rakan-rakan untuk bercuti bersama dan bersantai menyehatkan badan..

Ingin Riza imbau kembali beberapa tahun yang lalu, Riza mengadakan persembahan monolog sempena kelahiran Nabi kita di Dewan Millinium Kepala Batas, Pulau Pinang disaksikan oleh beberapa orang kenamaan dan masyarakat di sana. MasyaAllah! Ramainya umat Nabi Muhammad tercinta! Masih terbayang dan terdengar sedu-sedan dan wajah mereka yang kesedihan tatkala Riza bercerita saat-saat terakhir junjungan besar kita sebelum pemergiannya dari kacamata seorang wanita yang cuba membayangkan bahawa 'dirinya' adalah 'Aisyah' ( tidak menyamakan dengan Aisyah ).

Riza ( 'Aisyah' ) menangis dan menangis pada setiap baris-baris yang cukup menyentap rasa. Ianya cukup terkesan. Monolog yang sepanjang lebih kurang 30 minit itu berjaya dipersembahkan dengan kesan audio visual yang menarik yang telah dirakamkan seminggu sebelum persembahan. Ianya seolah, Aisyah muncul dari dunia lain dan berjalan ke pentas dan bermonolog tentang keresahan dan kecintaannya terhadap Rasullah s.a.w.

Aisyah bercerita tentang KHUTBAH TERAKHIR baginda, Aisyah bercerita tentang kasihnya Dia kepada umatnya dan Aisyah terus bercerita dan bercerita seolah tidak sanggup melepaskan 'kekasih' yang tidak pernah dirinya bersua muka..

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan selama lebih seminggu, monolog yang Riza sampaikan itu terngiang-ngiang dikepala ini dan terbayang-bayang keanehan yang tidak terhingga..

Tiga hari di Janda Baik nanti, Riza sudah tentu tidak dapat memberi khabar berita kepada sahabatku di DIARI LUSUH yang senantiasa membakar semangatku mahupun kamu di facebook yang menyemarakkan hari-hari yang kulalui dengan penuh makna selama ini.

Dengan penuh kesyukuran Riza mengucapkan selamat beramal dan sambutlah hari kelahiran Nabi besar kita pada 9 Mac bersamaan 12 RabiulAwal, 1430 Hijrah dengan penuh keinsafan dan kenikmatan yang tidak terhingga, kerana kita bisa berkomunikasi dengan ceria dan cergas di alam yang indah ini dengan cinta dan kasih dariNYA jua dan DOA dari nabi kita yang tercinta!

Salam Maulidul Rasul buat sayang-sayangku sahabat yang dicintai sekalian!!

Wednesday, March 04, 2009

Ada Antara Kamu



Salam Rabu yang terbaik antara yang termanis di celahan hari yang paling terindah buat kamu dan diriku.. ;)

Terkadang, ada di antara hari-hari yang kita lalui seperti tidak menyebelahi apa sahaja yang kita lakukan. Semuanya serba tak kena, semua serba berkecamuk! Alangkan bagusnya kalau boleh menjadi seperti Mr.Bean yang lurus dan riang menghadapi apa saja yang tidak sempurna dan mengarut pada pandangan orang lain.

Sebagai insan biasa, aku juga tidak pernah lepas dari hari yang serba tak kena yang tak tahu di mana punca dan penyebab yang menyebabkan sesuatu. Apalagi jika tiba-tiba orang lain yang melakukan sesuatu yang langsung tidak dapat diterima akal yang waras yang telah membuatkan aku juga terjebak! Aku pula yang berjangkit! Aku pula yang menjadi serba tak kena tanpa punca. Apabila ianya bermain dengan perasaan, maka ianya akan lekat di otak yang pendendam ini dan dilipat kemas untuk kubuka bila tiba waktunya.

Itu aku tidak mahu.

Itu kata di bibirku. Kata hatiku tetap keras dengan dendam yang tetap dibawa setiap hari. Ianya kerana aku dilayan dengan tidak adil. Aku berhak untuk berkasih dan dikasih. Aku harus ditatang sebagai seorang wanita yang berhati lembut dan dimanjakan. Biarpun pada mata kasar, fizikal dan pergerakan setiap mana-mana wanita berbeza, namun ianya tidak menunjukkan hati mereka yang sebenarnya. Aku tidak faham dengan lelaki yang mahu dilayan seperti seorang raja tetapi tindakannya tidak seperti seorang raja yang berdaulat!

Aku tidak boleh menerima seorang lelaki yang kuat merajuk mengalahkan wanita sedangkan lelaki yang harus menjalankan peranan dengan berdiplomasi dalam membentuk sebuah perhubungan. Aku tidak faham dengan lelaki yang tiada perancangan dan tiada persempadanan. Aku tidak faham banyak perkara. Aku tidak faham!

Wanita tetap wanita. Apabila bermain dengan rasa, jangan dimainkan hati wanita dengan alasan wanita kini tidak perlu lagi dibelai hanya kerana mereka sudah pandai hidup berdikari, pandai mencari makan sendiri, pandai membawa diri, pandai itu dan pandai ini. Pendek kata, itu semua alasan untuk lelaki melarikan diri dari tanggungjawab sebenar sebagai seorang lelaki yang telah diamanahkan untuk menjaga wanita..

Lelaki bandar banyak menggunakan alasan tersebut untuk kononnya, saling memahami. Kononnya isteri tidak kisah dia tidak dapat mencari nafkah sebab isteri faham kedudukan suami yang tiada punca pendapatan.

Tertakluk kepada situasi.

Kebanyakan lelaki mula merasa selesa dan semakin hari semakin enak dibuai mimpi bertilamkan wang ringgit dan kudrat isteri..

Itu hanya sebutir dari punca hilangnya kasih sayang yang menyebabkan terlerai ikatan.. Tak kira ikatan perkahwinan, pertunangan, kekasih 'sementara' mahupun hanya kekasih sementara yang tiada penghujung! ( dalam ertikata lain yang selalu digunakan teman tapi mesra yang tidak kugemari sebenarnya! )

**

image from:
www.littlebrown.co.uk

Sunday, March 01, 2009

Riza Panjat Menara KL?


KL TOWER INTERNATIONAL FOREST TOWERTHON CHALLENGE 2009

Siapa sangka! Riza berjaya sampai ke puncak Menara Kuala Lumpur pada pagi ini, Ahad 1 Mac 2009! Mestilah naik panjat tangga, kalau naik lif hari-hari boleh buat. Hehehe! Walaupun setakad dapat medal FINISHER je tapi itu sudah cukup bermakna. Kalau nak kira..kalau adalah kategori selebriti wanita, memang top ten..;) Mungkin nombor 5 kut, tapi..menyedihkan sebab kategori selebriti dicampurkan lelaki dan wanita!

Mahu mengah nak mengejar Yasin Senario yang memang makanan dia pun! Yasin dapat tempat pertama dengan mencatat masa 28 minit. Dia dapat wang tunai RM1,000 tu! Artis wanita yang pertama sampai ke puncak ialah Farhan! Nak cakap apa kan... Dia memang ahli sukan di sekolah dulu! Awal-awal dari bawah bukit dia dah pecut!

Pagi tadi Riza memang masih rasa tak sedap badan tapi semangat yang membuatkan Riza sampai juga ke Menara KL. Kami warm up sikit-sikit dengan geng artis semua, siap buat pocho-pocho lagi. Just for fun! Enjoy! Itu yang penting.


Kategori selebriti dilepaskan terakhir sekali. Part yang memanjat bukit ni memang menguji minda dan fizikal betul! Ada yang dah give up awal-awal lagi. Bayangkan dari bawah bukit Menara KL yang dekat Jalan sultan Ismail tu. Naik pusing-pusing, pastu sampai naik tangga bergerak yang bawah, pastu baru naik tangga sebenar yang di dalam menara. Kalau ikutkan tingkat, ada 23 tapi setiap tingkat tangganya ada lebih kurang 4 kali pusingan baru dikira satu tingkat! Fuh! Jenuh juga nak kira satu demi satu!

Namun...BEST WOO!! Walaupun siap merangkak untuk sampai ke atas tapi bila dah selesai, rasa macam tak puas hati! Rasa nak naik lagi!

Riza bersaing dengan satu uncle yang cacat sebelah kakinya. Sorry, excited sangat sampai lupa nama dia tapi dia dah empat kali ( empat tahun ) berturut tak pernah miss panjat tangga Menara KL. Memang respect! Dia panjat guna tongkat lagi!

Fuhh! Baik kejap pening kepala.. Yang penting enjoy!

Sedikit info dari wikipedia:

Kuala Lumpur Tower

The Kuala Lumpur Tower (officially known as Menara Kuala Lumpur; referred later as KL Tower) is a tall tower located in Kuala Lumpur, Malaysia and was built in 1995. It is used for communication purposes and features an antenna that reaches 421 m (1,381 ft), which currently makes it the fifth tallest tower in the world.

The roof of the pod is at 335 m (1,099 ft). The rest of the tower below has a stairwell and an elevator to reach the upper area, which also contains a revolving restaurant, providing diners a beautiful view of the city.

Races are organised yearly where participants race up the stairs to the top. The tower also acts as the Islamic falak observatory to look for the crescent moon to mark the beginning of Muslim month of Ramadhan, Syawal, and Zulhijjah, to celebrate fasting month of Ramadhan, Hari Raya Aidilfitri and Aidiladha.

Langkah Mula


Salam Ahad Yang Teramat Mulia Sekali Lagi Buat Para Sahabat Yang Dihormati Sekalian!

Semalam, tanggal 28 February 2009 yang mengakhiri bulan yang pendek disepanjang tahun, aku ingin menitipkan sesuatu. Namun kesihatanku tidak mengizinkan. Pelbagai rasa bermain di dalam tubuhku yang kehairanan ini.

Ketika fajar pagi semakin mengundur diri, aku ingin jua untuk menurunkan apa yang termampu aku turunkan ke papan kekunci yang setia ini.

Sebentar lagi.. Bukan. Sekarang ini aku sepatutnya sudah bersedia untuk memulakan hariku di luar rumah dengan memandu ke arah tuju yang sepatutnya tetapi aku masih di sini, mengalah dengan kemahuan hati yang kuat untuk menulis.

Seperti biasa, tak banyak sikit, tak sikit, adalah juga sikit-sikit buat bekalan.. ;)

Salam ceria buat semua.. Izinkan aku beredar dulu untuk memenuhi undangan yang indah itu..